Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Apabila Kita ‘Ditegur’ – Siri 39 ‘menerima dengan terbuka…’

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Apabila Kita ‘Ditegur’ – Siri 39 ‘menerima dengan terbuka…’

229
0

| Oleh Champ Hussain

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah kita diberi kesempatan oleh Allah SWT kerana dapat bertemu dengan bulan Ramadan Al Mubarak yang penuh dengan berkah dan rahmatNya ini. Bulan yang rata-rata punya kelebihan kerana dalam satu bulan ini terdapat di dalamnya 1,000 bulan pula andai kita antara orang-orang yang beruntung untuk dianugerahkan dengan kelebihan malam yang lebih baik dari seribu bulan itu. Siapa pun yang bergelar orang Islam pasti mendambakan malam Lailatul Qadar itu namun ianya tidak semudah yang disangkakan untuk mendapatkannya. Kita tidak akan berberbicara tentang malam tersebut pada siri kali ini. Sebaliknya kita akan membicarakan tentang kaedah Allah SWT menegur umatnya dan yang lebih penting lagi bagaimana kita pula menerima teguran tersebut.

Pernahkah kita ditegur, dimarahi, diberikan kritikan atau komentar keras samada dari ayah, ibu, abang, kakak, adik, penyelia, bos atau sesiapa sahaja di mana sahaja? Sudah tentu pernah kan. Kadangkala ianya ‘teguran’ dari seorang anak kecil yang mungkin menyakitkan hati kita tapi apabila difikirkan kita dapati sebenarnya ada kebenarannya. Walaupun kita telah bicarakan tentang ‘Si Tukang Kritik’ pada Siri ke 37 yang lepas tentang cara orang yang suka mengkritik, kita harus melihat apa sebenarnya yang tersirat di sebalik teguran tersebut. Ada kalanya kita menerima teguran tersebut ketika menonton tv, radio atau sedang mendengar kuliah. Ada masanya kita mendapat teguran tersebut dari bentuk bacaan samada dari Al Qur’an, suratkhabar atau majalah (yang kadangkala muncul ketika kita menyelak secara rawak Al Qur’an atau bahan bacaan tersebut) dan kita dapati ianya memang seolah-olah ditujukan khusus kepada kita.

Sebagai orang biasa, kebanyakan kita akan selalunya merasa geram, marah, sedih atau tersinggung dengan teguran ini dan sukar untuk menerimanya namun insan cemerlang adalah mereka yang sanggup menerima teguran dalam bentuk apa sekalipun secara terbuka dan mengambil iktibar di sebalik teguran tersebut. Sebagai contoh, pada suatu ketika (waktu itu WAZE dan MAPS belum ada) seorang yang sedang memandu kereta sedang mencari hotelnya yang agak tersorok di sekitar Port Dickson. Setelah beberapa lama dan kecewa kerana tidak menemuinya, dia berhenti di sebuah warung untuk bertanya kepada peniaga tersebut dengan menurunkan cermin keretanya. Kerana dia meletakkan kereta agak jauh dari warung tersebut, jalan tersebut juga agak sibuk dan dia tidak mahu keluar dari keretanya, dia terpaksa meninggikan suara dan memanggil peniaga tersebut untuk bertanya arah. Peniaga tersebut agak berang dan berkata “Awak yang nak bertanya, sepatutnya awaklah yang datang ke sini bukannya saya yang ke sana!” sergah perniaga tersebut.

Sebagai seorang yang ‘punya kedudukan’, pemandu tersebut agak terkejut dengan nada suara peniaga tersebut dan terus beredar dalam keadaan marah kerana diperlakukan sedemikian. Namun dia menyedari bahawa sememangnya dia yang bersalah dalam keadaan tersebut dan peniaga tersebut sebenarnya mempunyai hak untuk marah bukan sahaja kerana dipanggil semasa dia sedang sibuk melayani pelanggannya tetapi juga kerana orang yang meminta pertolongan tidak tahu adab untuk memohon pertolongan tersebut. Ini adalah contoh bagaimana Allah SWT menyedar dan mengajar kita untuk beradab dalam apa keadaan sekalipun tak kira siapa kita kerana kedudukan kita sama sahaja di sisiNya kecuali orang-orang yang bertaqwa sebagaimana firman Allah dalam ayat berikut:-

“…Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” Al Hujurat (49) ayat (13)

Ini semua bukan kebetulan. Kita memang sedang ditegur. Ditegur memang menyakitkan tetapi ianya ubat yang perlu kita telan untuk kita sedar bahawa kita bukanlah siapa-siapa di dunia ini. Samada gelaran, harta benda, wang ringgit malahan jasad dan roh kita semuanya adalah pinjaman belaka. Insan cemerlang tahu dan faham bahawa Allah SWT berhak menguji kita pada bila-bila masa di mana sahaja dan selalunya kita diuji sesama manusia sebagaimana firman Allah SWT dalam ayat berikut:-

“…Dan kami jadikan sebahagian kamu cobaan bagi sebahagian yang lain. Maukah kamu bersabar?; dan adalah Tuhanmu Maha Melihat.” Al Furqan (25) ayat (20)

Maka hendaklah kita belajar untuk menerima apa sahaja teguran dengan hati terbuka walaupun kadangkala kita merasa bahawa kita tidak wajar ‘ditegur’ dengan cara itu tapi terimalah hakikat bahawa ‘teguran’ Allah SWT itu dalam bentuk apa sekalipun termasuk penyakit, musibah, kekurangan harta benda, kesusahan dan apa sahaja sebenarnya ialah caraNya untuk mendidik kita agar lebih banyak bersabar, istiqamah dan bertaqwa padaNya. Siapa, apa dan di mana teguran tersebut adalah semata-mata instrumen yang terbaik untuk menegur kita. Insan cemerlang akan sentiasa bersifat positif, terbuka dan rela menerima teguran ini kerana dia faham ianya hanyalah bersifat sementara dan ia sebenarnya adalah NASIHAT. Yang kekal adalah pendidikan mahal yang tersembunyi di dalamnya. Wallahu a’lam.

Sebagai rangkuman: –

  1. Teguran datang dalam pelbagai bentuk, cara dan masa sebagai ujian Allah SWT kepada hambaNya. Teguran adalah sebenarnya nasihat.
  2. Setiap manusia harus sedar bahawa segala yang ada padanya hanyalah berbentuk pinjaman sahaja kerana tiada yang kekal kecuali Allah SWT.
  3. Kita harus belajar menerima teguran dengan hati terbuka dan memperbaiki hidup kita agar tidak terus ‘ditegur’ Allah SWT.

Teguran datang pelbagai cara

Sakit di hati bagai dihiris luka

Jangan pertikai kaedah dan caraNya

Terimalah dengan hati terbuka

Salam cakna, ceria dan cemerlang…

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين

Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.