Home Inspirasi Niaga REZEKI USAHAWAN COVID-19: DARI PERNIAGAAN SPA KE PERNIAGAAN BISKUT KELAPA.

REZEKI USAHAWAN COVID-19: DARI PERNIAGAAN SPA KE PERNIAGAAN BISKUT KELAPA.

386
0
Pemilik Oven Mat Ton (dari kiri bertudung kelabu) bersama salah seorang pekerjanya

Oleh: NUR AIN BT MOHD SAHRUZ ZAMRI

Tidak mudah bagi seseorang usahawan itu untuk bangkit semula pada situasi yang mencabar ini. Namun, bagi usahawan ini, pandemik COVID-19 bukanlah penghalang baginya untuk terus maju. Selaton binti Nuri atau lebih dikenali sebagai Aton merupakan usahawan wanita yang berjiwa kental. Wanita berusia 56 tahun yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor ini memulakan perniagaannya pada usia yang agak lewat. Namun usia bukanlah penghalang baginya untuk terus maju ke hadapan. Mengambil sijil kemahiran merupakan langkah pertamanya dalam menceburi bidang perniagaan. Pelbagai kelas dan latihan dihadiri beliau bagi menyiapkan dirinya sebelum terjun ke dalam dunia perniagaan. Selaton mengatakan bahawa pada awalnya, perniagaan yang dijalankan berjalan dengan sangat lancar tanpa sebarang masalah yang serius. Perniagaan Spa tradisional merupakan perniagaan pertama yang diusahakannya sejak dari tahun 2018. Perniagaanya berjalan dengan konsisten selama 3 tahun. Namun apabila wabak pandemik COVID-19 telah melanda negara, hamper kesemua sektor perniagaan terjejas termasuklah sektor perkhidmatan. Selaton terpaksa menutup perniagaan spanya kerana terpaksa menanggung kerugian yang sangat besar. Tidak berputus asa setakat itu, usahawan ini berusaha untuk menceburi perniagaan baru. Usahawan ini sedar akan risiko yang bakal dihadapinya jika ingin memulakan perniagaan baru. Namun, beliau tidak mahu terus berdiam diri.

Pemilik Oven Mat Ton (dari kiri bertudung kelabu) bersama salah seorang pekerjanya

Bermula dengan cetusan idea daripada suami dan anak-anaknya. Selaton beralih arah untuk menceburi bidang perniagaan makanan. Usahawan ini memang dikenali kerana kepakaran memasak dalam kalangan ahli keluarganya. Menjadikan kelebihannya itu sebagai sumber idea dan satu kelebihan, Selaton menjinakkan diri dengan perniagaan dengan membuat biskut kelapa tradisional. Memulakan perniagaan baru bukanlah sesuatu yang mudah. Kos merupakan faktor penting yang perlu diambil kira. Namun, Selaton bersyukur kerana mempunyai seorang suami yang sentiasa memberi sokongan. Walaupun beliau mempunyai kemahiran, namun beliau tetap menghadiri kelas dan latihan bagi memantapkan lagi ilmunya. Kelas membuat biskut tradisional merupakan salah satu kelas yang dihadirinya. Menurutnya, jualan awal biskut kelapa ini tidaklah begitu tinggi atas faktor kurangnya aktiviti pemasaran. Namun, dengan bantuan anak-anak dan saudara mara. Tempahan biskut ini saban hari semakin tinggi dan kini beliau telah mempunyai 3 orang agen tetap. Produknya kini turut dipasarkan ke setiap negeri. Keunikan rasa biskut kelapa tradisional ini membuatkan pelanggannya membuat tempahan ulangan. Katanya lagi sesetengah pelanggan pernah menempah sehingga 10 bekas untuk dirinya sahaja. Kini Selaton mampu mencapai pendapatan sehingga lebih dari tiga angka sebulan dengan hanya menjual biskut kelapa tradisional.

Biskut Kelapa Rangup Oven Mak Ton

Melalui temubual ini juga Selaton menceritakan bahawa faktor utama beliau menceburi bidang baru ini adalah kerana kegagalannya dalam perniagaan spa yang dijalankan sebelum ini. Baginya kini sudahlah masanya untuk menceburi bidang baru yang mana pasarannya jauh lebih meluas dan kukuh. Selaton juga berkata dengan perniagaan biskut kepala tradisional yang  dijalankannya kini, beliau dapat membantu individu lain yang kehilangan punca pendapatan disebabkan kesan wabak Covid-19. Matlamatnya adalah untuk mengembangkan lagi perniagaan ini agar lebih ramai lagi individu dapat dibantu.

Perniagaan yang dijalankan Selaton ini diberi nama sebagai “Oven Mak Ton” dan hanya terdapat satu jenis produk biskut sahaja iaitu biskut kelapa rangup buat masa ini. Namun, beliau merancang untuk menambah lagi aneka pilihan bagi memenuhi citarasa pelanggan. Selaton juga berharap agar perniagaannya ini akan dapat bertahan tatkala ekonomi Malaysia berada di dalam keadaan yang tidak menentu sekarang ini. Beliau berpesan kepada bakal-bakal usahawan di luar sana agar bersikap berani untuk menceburkan diri dalam bidang ini. Katanya lagi, tugas sesorang wanita itu bukanlah sekadar di dapur sahaja, wanita perlulah sentiasa berusaha untuk memperbanyakkan ilmu agar kita setanding dengan lelaki di luar sana. Beliau juga berdoa agar kesemua mereka yang terkesan ini semakin kuat dan sentiasa berusaha kea rah yang lebih baik bagi mendepani hari-hari yang mendatang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.