بسم الله الرحمن الرحيمMENELUSURI KECEMERLANGAN: Mencari Nilai Hakiki – Siri 29 ‘perantara atau penghujung…’
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Dalam setiap apa yang kita cari untuk mencapai kecemerlangan, kita akan dapati bahawa apa yang kita lakukan selama ini ialah untuk mencapai sesuatu kepuasan atau suatu penghujung. Satu nilai yang sangat bermakna, suatu nilai yang mungkin tidak difahami oleh orang lain, suatu nilai yang tiada tara atau bandingannya yakni suatu nilai yang tidak dapat diletakkan tanda harga padanya. Suatu nilai yang hakiki.
Kadangkala kita tercari-cari apa maksud sebenarnya nilai itu. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan nilai itu sendiri? Antara takrif nilai ialah satu prinsip atau garis panduan yang menjadi pegangan seseorang dalam menjalani kehidupan. Ianya juga merupakan suatu piawaian yang agak berkekalan dari segi masa atau suatu standard yang mengatur satu sistem perlakuan. Yang pasti ianya mempunyai maksud yang berbeza bagi setiap orang kerana setiap orang mempunyai nilai-nilai yang berbeza.
Jika kita kita kaji dengan lebih mendalam, nilai adalah kompas atau penunjuk arah dalam mencarta kehidupan. Ia adalah pedoman yang mengerakkan kita untuk mencapai sesuatu kejayaan atau kecemerlangan. Ia menentupastikan dayafikir, cara dan sistem yang menjadi pemacu yang memberi motivasi diri dalam setiap pemikiran, perkataan dan perbuatan kita.
Untuk memberi nilai kepada sesuatu ialah untuk meletakkan kepentingan ke atasnya. Apa sahaja yang kita rasakan penting kepada kita adalah nilai. Nilai sebenarnya terbahagi kepada 2 kategori iaitu Nilai Penghujung (Terminal Values) iaitu nilai akhir yang dicari dan Nilai Perantara (Instrumental Values) iaitu nilai yang menjadi alat ke arah pencapaian nilai akhir tersebut.
Jika kita tanya kepada sesiapa sahaja apa yang paling penting dalam hidupnya, mungkin jawapan tersebut termasuklah agama, kebahagiaan, keluarga, keselesaan, kesihatan, wang dan bermacam macam lagi yang diberi nilai olehnya mengikut apa yang difikirkan penting pada ketika itu. Nilai-nilai ini akan berubah mengikut keadaan, masa, umur, perspektif hidup dan pelbagai lagi faktor yang menentukan keutamaan tersebut. Contohnya sewaktu di bangku sekolah suatu ketika dulu nilai utama kita mungkin adalah keseronokan bersama rakan sebaya, wang untuk berbelanja, berpakaian mengikut trend semasa dan sebagainya demi mencapai kepuasan diri.
Apabila kita semakin dewasa, nilai tersebut akan berubah terutamanya setelah memasuki alam pekerjaan. Pendidikan, kemahiran dan kerjaya mungkin menjadi antara nilai utama pada seseorang itu termasuk pangkat, kemewahan hidup, pasangan hidup dan apa sahaja nilai yang menyokong dalam memberi kepuasan dalam perjalanan hidup ketika itu. Di sini kebahagiaan atau ketenangan sebenarnya adalah nilai penghujung iaitu suatu keadaan emosi yang dikehendaki sementara wang dan kerjaya pula merupakan nilai perantara di mana kedua-dua ini adalah penyebab atau sarana kepada kebahagiaan hakiki yang dicari.
Jika kita selidiki dengan lebih mendalam, apa yang boleh didapati daripada sebuah institusi kekeluargaan? Kita mungkin menjawab kebahagiaan, kasih sayang dan rasa selamat. Nilai sebenar di sini ialah nilai penghujung tersebut iaitu kebahagiaan, kasih sayang dan rasa selamat. Begitulah juga kalau kita tanya apakah yang boleh kita dapati daripada wang? Mungkin jawapannya ialah kebebasaan, kebolehan untuk menyumbang dan membeli, perasaan selamat (sekiranya berlaku sesuatu kecemasan) dan sebagainya. Jadi wang hanyalah sebagai nilai perantara kepada nilai sebenar yang kita kehendaki.
Maka secara langsung kita dapat lihat persamaan dari segi nilai yang diletakkan oleh para remaja sekarang ini, kita dapati nilai seperti kasih sayang, rasa kekeluargaan, kebahagiaan dan sebagainya ini boleh didapati di luar rumah kerana di dalam rumah KADANGKALA sudah tidak ada nilai-nilai yang mereka dambakan itu. Maka merekapun akan pergi ‘membeli’ nilai-nilai yang telah mereka tetapkan sendiri seperti kebebasan, kasih sayang & cinta di luar rumah melalui kaedah lain seperti di kelab malam, menagih dadah, lepak bersama kawan dan pelbagai lagi aktiviti yang selalunya tidak bermoral sebagai ganti kepada ibubapa mereka yang kadangkala terlalu sibuk untuk memberikan nilai-nilai tersebut kepada mereka.
Tatkala ini ramai yang tidak tahu membezakan di antara nilai perantara dan nilai penghujung atau nilai sebenar ini. Sebab itulah tidak semua orang yang mempunyai banyak wang atau kaya merasa bahagia. Mereka terlalu sibuk mengejar nilai perantara seperti wang, pangkat, harta benda dan kepalsuan duniawi yang akhirnya tidak berjaya mengecapi nilai penghujung yang mereka impikan iaitu apa yang sebenarnya mereka kehendaki semasa mereka masih belum berjaya.
Walaupun tidak semua orang yang kaya dan berjaya sedemikian rupa tetapi ianya menghampiri realiti kehidupan masa kini. Pada waktu yang sama tidak semua pula orang yang kurang berkemampuan juga faham dan mempunyai nilai-nilai hakiki ini. Dengan sebab itulah, insan yang cemerlang adalah mereka yang harus tahu dan dapat membezakan yang mana permata dan yang mana kaca kerana akhirnya walaupun wang boleh membeli rumah besar, kereta besar, katil mewah dan sebagainya namun ianya tidak dapat membeli kasih sayang keluarga, tidur yang nyenyak, kesihatan, kebahagiaan hidup dan keselamatan dunia akhirat. Maka berhati hatilah dalam membezakan apa yang kita kehendaki dengan apa yang menjadi alat kepada apa yang sebenarnya kita kehendaki itu. In shaa Allah kita akan beroleh nilai kecemerlangan yang hakiki.
Merangkum nilai: –
- Nilai Perantara adalah nilai alatan atau instrumen yang perlu ada untuk mencapai penghujung contohnya bercita-cita, berani, suka membantu dan kejujuran.
- Nilai Penghujung adalah nilai hakiki yang dicari seperti kehidupan yang selesa dan menyeronokkan, kebahagiaan dan kesejahteraan dunia akhirat.
- Insan yang cemerlang adalah mereka yang tahu untuk membezakan antara nilai perantara dan nilai penghujung agar tidak tersasar dari tujuan asal kecemerlangan.
Akhir kata: –
Nilai kompas kehidupan ini
Menjadi buruan insan sejati
Jangan tertipu mainan duniawi
Pastikan ianya nilai hakiki
Salam ceria cemerlang…
هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.
* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.
* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474