Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Kebebasan Yang Berbatasan – Siri 19

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Kebebasan Yang Berbatasan – Siri 19

295
0

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Kebebasan Yang Berbatasan – Siri 19
tiada yang mutlak…

| Oleh Champ Hussain

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Dalam siri-siri sebelum ini, kita telahpun berkongsi tentang beberapa asas kecemerlangan iaitu pegangan ugama yang kukuh, sokongan keluarga dan Rasullulah SAW sebagai suri tauladan yang sewajibnya diikuti sebagai seorang Muslim. Kali ini kita berbincang pula tentang asas yang seterusnya iaitu kebebasan. Kalau kita kaji asas ini, kita mungkin akan berkata semua orang bebas sekarang ini (kecuali yang dalam penjara atau mana-mana pusat tahanan) namun adakah itu benar? Apakah kepentingan peranan kebebasan yang dimainkan dalam mencipta kecemerlangan?

Maksud kebebasan yang saya ingin bincangkan kali ini ialah tentang kebebasan dari masalah, kebebasan untuk bersuara dan kebebasan untuk berprinsip. Tentulah salah satu masalah yang paling besar ialah hutang, betul tak? Kajian ada menunjukkan bahawa masalah kewangan mempunyai kadar antara 75% hingga 85% daripada segala masalah manusia. Yang lain tu barulah masalah-masalah lain seperti masalah kerja, keluarga, pelajaran, cinta, sakit, sosial, masa, tekanan dan beratus atau beribu lagi masalah lainnya yang kadangkala ‘dicari’ contohnya membeli sesuatu di luar kemampuan diri.

Antara kebebasan yang didambakan, dicari dan diutamakan ialah kebebasan untuk membeli apa sahaja, pergi ke mana sahaja, menyuarakan apa sahaja, kebebasan memilih sesiapa yang kita suka untuk menjadi pasangan hidup ataupun sebagai calon yang akan memperjuangkan hak-hak kita. Kebebasan untuk memilih parti politik atau pemimpin negara. Kebebasan untuk memilih ugama untuk disembah. Kebebasan untuk menampilkan personaliti atau kecenderungan diri sebagaimana yang diperjuangkan oleh golongan LGBT dan berbagai-bagai lagi kebebasan yang diinginkan walaupun sebahagian daripada pilihan tersebut mungkin mendapat kecaman hebat dari pelbagai pihak.

Setiap insan yang ingin bergelar cemerlang haruslah mencari kebebasan yang sebenar dan kebebasan yang paling penting ialah kebebasan untuk berfikir tanpa dijajah oleh pemikiran orang lain. Maksudnya di sini, apabila kita hendak menyatakan sesuatu yang kita rasa dari sudut dan pandangan kita, kita tidak harus merasa takut untuk menyuarakan pandangan kita itu. Ini tidak pula bermaksud kita boleh menyuarakan apa sahaja sewenang wenangnya tanpa memperdulikan pandangan dan perasaan orang lain, sebaliknya kita harus berasa lebih prihatin tentang perkara tersebut.

Kita umat Islam baru-baru ini dicabar sekali lagi dengan kes penghinaan ke atas Baginda Rasullulah Muhammad SAW di Perancis yang menyaksikan seorang guru telah dipenggal kepalanya atas penghinaan tersebut namun mendapat pembelaan dari Presiden Perancis (yang tidak layak namanya disebutkan di sini) atas tiket kebebasan bersuara dan mengecam hebat Islam atas tindakan ekstremisme tersebut sekaligus menyebabkan umat Islam di Perancis dizalimi, ditekan dan dianiaya dengan begitu rupa disebabkan oleh jenayah yang dicetuskan oleh mereka sendiri. Kita semua sudah maklum dengan isu ini, maka saya tidak berhasrat untuk mengulang berita ini. Apa yang ingin diketengahkan ialah ‘Hak Kebebasan Bersuara’.

Insan yang cemerlang tahu dan faham bahawa setiap kebebasan itu bukan sesuatu yang mutlak. Andai ianya mutlak, semestinya kita oleh berbuat apa sahaja tanpa merasa malu, segan atau takut tanpa batasan. Sekaligus, ianya akan menyebabkan tidak perlu adanya peraturan, undang-undang atau SOP yang wajib dipatuhi. Ramai yang memperjuangkan kebebasan hak untuk bersuara atau menyatakan pandangan yakni ‘Freedom of Speech’ atau ‘Freedom of Expression’ dan menyatakan bahawa hak mereka sewajarnya dilindungi namun masih

Menurut Artikel 19 dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948, kebebasan menyuarakan pandangan diiktiraf sebagai hak manusia dengan menyatakan bahawa ‘setiap orang berhak untuk menyuarakan pendapat tanpa gangguan’ yang merangkumi hak untuk mendapat, menerima dan menyampaikan atau berkongsi apa sahaja bentuk informasi, idea dan luahan tanpa mengambilkira batas sempadan samada secara lisan, tulisan atau cetakan dalam bentuk seni atau apa sahaja media yang dipilihnya.

Namun pada waktu yang sama, ianya tetap tertakluk kepada syarat yang antaranya tidak boleh berbentuk memfitnah, berniat untuk menghina, lucah, menghasut, memprovokasi dan banyak lagi perkara yang dianggap bertentangan dengan undang-undang yang menyentuh sesebuah negara, agama, budaya dan sebagainya. Sebagai manusia yang bertamadun kita faham bahawa setiap sesuatu itu pasti ada batas-batasnya kerana setiap perkara yang kita buat itu semestinya ada natijahnya samada baik atau buruk dan insan yang cemerlang itu sentiasa akan mengambilkira kesan ke atas setiap tindakan yang dilakukannya itu. (https://en.wikipedia.org/wiki/Freedom_of_speech)

Marilah kita mengambil iktibar atas kepincangan moral, jenayah psikologi dan fizikal serta kebobrokan budaya yang berlaku di Perancis atau di mana sahaja agar kita tidak terpengaruh dan belajar untuk menyuarakan pandangan, komentar atau kritikan dengan cara yang santun, bertatasusila dan menampakkan kematangan sebagai insan cemerlang yang sensitif, prihatin dan peduli terhadap nilai-nilai yang disanjung dan dijunjung oleh orang lain.

Sebagai rangkuman, mari kita renungi kembali, hayati dan berusaha untuk mempraktikkan hal-hal yang berkaitan dengan kebebasan:

  1. Setiap manusia mempunyai hak kebebasan yang samarata namun ianya bukan sesuatu yang mutlak.
  2. Kebebasan apa sekalipun adalah bersyarat dan tertakluk kepada undang-undang, agama dan peraturan-peraturan tertentu.
  3. Manusia sebagai harus memahami konsep bahawa dalam setiap pemikiran, kata bicara apa lagi tindakan, dia tetap adalah hamba Allah SWT dan dengan itu tertakluk kepada larangan dan perintahNya.

Akhir kata: –

Kebebasan ada di mana mana

Tiada bertanda pada harganya

Bukanlah mutlak pada hakikatnya

Tetap hamba pada Yang Maha Esa

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya…

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.