Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN – Berani Membuat Keputusan – Siri 8

MENELUSURI KECEMERLANGAN – Berani Membuat Keputusan – Siri 8

145
0

MENELUSURI KECEMERLANGAN – Berani Membuat Keputusan – Siri 8

‘ibu segala tindakan…’

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

“Mereka menjawab: “Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” Al Baqarah (2) ayat (32)

Dengan nama Allah SWT dan ilham dan petunjuk dari Nya…

Dalam setiap apa yang kita rancang setiap hari, kita tidak akan terlepas dari membuat keputusan. Contohnya apabila kita bangun pagi, kita selalunya akan berfikir: “Baju mana yang hendak dipakai? Seluar yang mana? Kasut yang mana?” Lebih-lebih lagi untuk Kaum Hawa yang sangat mementingkan penampilan diri. “Gincu warna apa? Adakah tudung yang dipakai itu bersesuaian dengan warna baju atau fesyen yang dikenakan. Adakah beg tangan ini matching dengan baju yang hendak dipakai?”. Untuk yang lelaki pula, samada talileher yang dipakai tidak terlalu garang warnanya, adakah kasut yang hendak dipakai bersesuaian dengan jenis kerja yang dilakukan hari ini dan berbagai-bagai lagi pilihan yang harus dilakukan untuk menepati citarasa hari itu sekaligus menepati kehendak semasa.

Mungkin ketika musim PKP yang lebih ketat sebelum ini, pakaian atau makeup tidak menjadi soal penting kerana kebanyakan kita terpaksa berkurung di rumah tetapi kita masih harus memikirkan soal-soal yang memerlukan keputusan khususnya mengenai makanan dan hal-hal yang membabitkan kelangsungan hidup. “Apakah kita patut keluar membeli barang keperluan atau boleh menyuruh orang lain untuk membelikan dan hanya membayar upah? Adakah kita patut keluar dalam keadaan yang tidak menentu keadaan keselamatannya?” dan banyak lagi persoalan yang timbul yang memerlukan keputusan yang adakala perlu diputuskan serta merta.

Dalam apa hal sekalipun kita tidak dapat lari dari membuat keputusan, samada ianya penting ataupun dalam hal remeh temeh sekalipun kerana tanpa membuat keputusan, kita tidak dapat melakukan tindakan selanjutnya. Jadi membuat keputusan samada ini ataupun itu telahpun menjadi lumrah manusia sejak berkurun kurun lamanya. Sementelah lagi, kita yang hidup dalam keadaan demokrasi di Malaysia ini bebas untuk membuat berbagai keputusan kita sendiri asalkan ianya tidak melanggar atau melampaui batas undang-undang yang ditetapkan.

Jadi dalam kehidupan kita menelusuri kecemerlangan, kita juga sudah semestinya tidak dapat lari dari membuat keputusan kerana kejayaan yang akan kita capai akan berpandukan keputusan yang kita buat. Sudah pasti kita akan membuat banyak keputusan yang kurang memuaskan (pada awalnya dan ia bukanlah menjadi satu kesalahan), apabila kita tidak mendapat apa yang kita harapkan. Jangan khuatir, ini perkara biasa. Manusia banyak belajar daripada kesilapannya sendiri. Kita harus berani untuk terus membuat lebih banyak keputusan kerana melalui keputusan-keputusan yang kadangkala tidak tepat inilah kita akan belajar untuk membuat keputusan-keputsan yang tepat di kemudian hari.

Untuk membolehkan kita membuat keputusan yang tepat, tentulah perlu ada perancangan yang teliti tetapi ada masanya kita harus membuat keputusan secara spontan mengikut naluri kita. Ini akan menjadi mudah apabila kita selalu membuat keputusan contohnya apabila kita pergi membeli belah di sesuatu kedai atau pasaraya. Di rumah lagi kita telah membuat keputusan apa yang hendak dibeli dan apabila kita sampai ke sana dan mendapati barang tersebut tiada kita harus membuat keputusan samada untuk membeli barang alternatif (iaitu barang yang setara dengannya) ataupun kita akan ke kedai lain untuk barangan yang kita hajati itu.

Keputusan-keputusan seperti ini samalah seperti di tempat kerja kita juga. Apakah tindakan yang harus kita ambil sekiranya sesuatu tugas yang harus diselesaikan itu mencapai jalan buntu? Adakah kita akan sentiasa bertanya balik kepada pegawai atau boss kita atau kita akan terus berusaha melakukan yang terbaik sehingga tidak ada apa lagi yang boleh kita lakukan mengikut kemampuan kita, barulah kita akan berunding balik dengan beliau?

Ada sesetengah manusia tidak yakin dengan keputusan yang dibuatnya dan akan sentiasa bertanya pandangan orang lain. Mungkin pada awalnya kita harus berbuat demikian tetapi apabila sampai suatu waktu kita tidak boleh lagi bergantung harap dengan pandangan orang semata-mata sebelum mengambil kita keputusan tersebut.

Kadangkala kita haruslah berani membuat keputusan dan menanggung keputusan yang kita ambil itu sekiranya kita yakin dengan apa yang kita lakukan itu. Ingatlah bahawa tindakan tidak akan diambil sekiranya keputusan tidak dibuat. Janganlah kita harap untuk mendapat pulangan dari sesuatu pelaburan sekiranya kita tidak membuat pelaburan tersebut. Hanya berdoa sahaja tanpa berusaha, tidak membuat keputusan dan tidak mengambil tindakan adalah suatu kerja yang sia-sia sahaja kerana Allah SWT telah memberi petunjuk dengan Al Qur’an dalam mengambil keputusan sebagaiman firman-Nya…

“…Maka apakah orang-orang yang menunjuki kepada kebenaran itu lebih berhak diikuti ataukah orang yang tidak dapat memberi petunjuk  kecuali (bila) diberi petunjuk?  Mengapa kamu (berbuat demikian)? Bagaimanakah kamu mengambil keputusan?” Yunus (10) ayat (35)

Sebagai rangkuman, insan yang cemerlang adalah mereka yang:-

  • Melatih diri membuat keputusan dari yang sekecil-kecil sehinggalah keputusan-keputusn kritikal dalam kehidupan mereka dan mereka berpegang dengan keputusan tersebut walaupun ia pada awalnya mungkin salah dan tidak memberi hasil sebagaimana yang diharapkan.
  • Faham bahawa membuat keputusan merupakan Ibu Segala Tindakan.
  • Berani membuat keputusan yang betul walaupun manusia pada umumnya tidak suka namun ianya dibuat semata-mata kerana tidak mahu Allah murka.

Jadi ingatlah, jangan takut dengan kegagalan selepas kita mengambil tindakan tetapi takutlah dengan kegagalan kerana tidak mengambil tindakan. Kecemerlangan akan sentiasa berpihak dengan mereka yang selalu mengambil keputusan dan membuat tindakan.

Keputusan ada di tangan manusia

Tindakan disusuli tanda usaha

Jangan digusar kegagalan sementara

Kerana kecemerlangan yang pasti ada di sana

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.