Home Education & Training MENELUSURI KECEMERLANGAN – Menongkah Arus Cabaran Masakini – Siri 1

MENELUSURI KECEMERLANGAN – Menongkah Arus Cabaran Masakini – Siri 1

250
0

MENELUSURI KECEMERLANGAN – Menongkah Arus Cabaran Masakini – Siri 1

‘matlamat, keputusan & tindakan…’

Kecemerlangan bermaksud keelokkan, keindahan atau kegemilangan.

Ia membezakan kita daripada hanya digelar biasa kepada luar biasa, baik kepada yang terbaik, hanya boleh dibilang kepada terbilang. Sesuatu yang lain daripada yang lain atau sesuatu yang di luar kebiasaan.

Dalam keadaan yang tidak menentu tatkala ini di mana ekonomi yang kelihatan begitu meruncing dan gaya hidup yang semakin mencengkam, langkah-langkah menghadapi cabaran masakini harus diambil agar kita sentiasa cakna dengan keadaan semasa dan siapsiaga dalam menghadapi apa jua keadaan. Peluang dan ruang sentiasa terluang pada yang mencari, memerhati dan berani merisikokan diri.

Orang yang cemerlang mempunyai minda yang positif, jasmani yang aktif dan sikap yang proaktif. Mereka tidak menunggu untuk sesuatu perkara terjadi, sebaliknya mereka membuatkan ianya terjadi. Mereka juga adalah dari kalangan orang yang sentiasa ingin membantu orang lain menuju ke arah kecemerlangan tersebut.

Contoh terbaik yang boleh kita tauladani ialah Nabi kita sendiri, Rasullulah SAW yang memang terkenal dengan sifat kecemerlangan beliau dalam apa sahaja aspek kehidupan yang beliau lalui sehingga tercatat sebagai orang yang paling berpengaruh di kalangan 100 orang paling berpengaruh di dunia dan sehingga kini tidak boleh dicabar kewibawaan baginda. (Sila rujuk: https://www.hmetro.com.my/addin/2018/11/397313/pemimpin-agung-sepanjang-zaman)

Jadi untuk kita mencapai kecemerlangan dalam setiap apa yang kita lakukan, perkara pertama yang mesti kita lakukan ialah Menentukan Matlamat, Membuat Keputusan dan Mengambil Tindakan. Selain matlamat, keputusan amat penting dalam kehidupan kita sehari-hari, ia menentukan samada kita akan beroleh kejayaan atau sebaliknya, ia akan memastikan samada kita akan semakin hampir atau semakin jauh daripada matlamat yang kita tuju dan keputusan jugalah yang akan memberikan kita ketentuan samada kita akan menjadi insan yang cemerlang atau sebaliknya.

Kita juga harus tahu ke arah mana harus kita tuju, apa yang kita mahu atau dalam erti kata lain kita mempunyai matlamat hidup. Matlamat pula boleh kita bahagikan dalam ketegori jangka pendek, sederhana dan juga jangka panjang. Setiap orang yang mengejar kecemerlangan mesti mempunyai matlamat hidup (dan matlamat mati) kerana orang yang cemerlang menentukan kehidupannya sendiri dan bukannya bergantung kepada orang lain.

Contohnya sekiranya kita ingin berjaya dalam hidup dan kita tahu kita mesti bekerja keras untuk mencapai kejayaan tersebut, kita mestilah membuat pengorbanan daripada perkara-perkara yang boleh menyebabkan kita lalai, melambatkan pencapaian dan mengambil langkah-langkah yang berkenaan untuk menghindarkan diri kita daripada terjebak dengan perkara-perkara yang boleh membawa ke arah kemusnahan hidup kita sendiri.

Orang yang cemerlang juga mempunyai motivasi diri yang tinggi. Mereka tidak akan bertangguh-tangguh di dalam melakukan sesuatu tugas. Mereka tidak memerlukan orang lain untuk menarik atau menolak mereka untuk bertindak. Motivasi diri boleh kita ibaratkan seperti minyak untuk sebuah kereta kerana tanpanya kereta tersebut tidak akan dapat bergerak.

Begitulah juga kita.

Sebagai rangkuman, 3 langkah utama dalam kejayaan adalah

  1. Tahu arah tuju dan mempunyai motivasi diri yang mantap.
  2. Berani membuat keputusan dengan komitmen yang padu walaupun ianya tidak tepat dan belajar atas kesilapan tersebut serta tidak mengulanginya lagi.
  3. Bertindak dengan agresif secara berterusan dan bersusulan kerana tanpa tindakan, kita tidak akan dapat mencapai sesuatu apa pun.

Wahai penghambat kecemerlangan duniawi & ukhrowi

Melengkap diri untuk jasmani dan rohani

Tetapkan matlamat, buatlah keputusan dan ambil tindakan selari

Semoga hasil dituai berupa kecemerlangan hakiki

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

champgye@gmail.com

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.