Home Education & Training Ts. Dr. Syed Agil Shekh Alsagoff: Mahasiswa Mantap!

Ts. Dr. Syed Agil Shekh Alsagoff: Mahasiswa Mantap!

560
0
Ts. Dr. Syed Agil Shekh Alsagoff Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM melihat pendedahan industri kepada pelajar IPTA sangat membantu mereka dalam industri media/ kewartawanan.

 

Mahasiswa Mantap!

Oleh: Ts. Dr. Syed Agil Shekh Alsagoff

Bermulalah musim kemasukan semester baru untuk calon-calon mahasiswa menempa ilmu di Menara Gading. Jumlah bilangan pengambilan pelajar tempatan yang semakin meningkat jelas menunjukkan bahawa sistem pendidikan tinggi negara masih mendapat pengiktirafan besar dalam kalangan generasi muda dan mereka menaruh ribuan harapan untuk berjaya menempa diri mereka dalam alam pekerjaan nanti. Lebih-lebih lagi dengan menjelmanya suatu harapan reformasi dalam Malaysia Baharu yang dipimpini oleh Kerajaan Pakatan Harapan, generasi muda hari ini masih berpaksikan keyakinan mereka mahu sistem pendidikan tinggi yang mereka jalani ini boleh menyumbang kepada kualiti dan keberkesanan memperoleh pekerjaan yang boleh menyara hidup mereka kelak.

Saranan Menteri Pendidikan, Dr Maszley untuk melihat lebih banyak mahasiswa dibimbing untuk berkoleberasi dengan pihak industri bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan selepas mereka bergraduat kelak. Pendekatan ini termasuklah menjalinkan kerjasama bersepadu dengan pihak industri dalam pendidikan, pengajaran dan penyelidikan serta memastikan kurikulum pendidikan mengikut kehendak pasaran pekerjaan graduan. Suatu perubahan radikal dalam sistem pendidikan tinggi hari ini harus dijelmakan untuk membantu meningkatkan kualiti pengajaran di kelas dan memberi lebih banyak ruang kepada mahasiswa untuk meneroka kebolehan,bakat dan kemahiran mereka di sepanjang pengajian mereka di IPT.

Pendekatan radikal yang dicadangkan tersebut ialah memansuh mana-mana kursus pengajian yang tidak bersesuaian atau tidak relevan dalam pasaran masa kini. Di samping itu memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengikuti kursus-kursus pengajian sampingan yang boleh memberi nilai tambah kepada kualiti keperibadian atau kerjaya yang mereka akan ceburi selepas bergraduat nanti.

Dalam erti kata lain, mahasiswa bebas memilih bentuk pengajian mengikut keserasian mereka dan tidak bergantung kepada sktruktur kurikulum yang telah ditentukan semasa mereka berada di IPT. Contohnya, seorang graduan dalam kalangan pengajian sains boleh memilih pekerjaan dalam bidang kulinari atau komunikasi yang dia minati tanpa terikat dengan bidang pengajian sains yang mereka jalani di IPT dulu.

Dalam hal ini, dorongan dan sokongan daripada keluarga amat penting bagi membantu graduan menjalani pekerjaan mereka mengikut acuan cita rasa mereka. Kesedaran ibu bapa terhadap pengembangan bakat dan kemahiran mahasiswa akan membantu anak-anak mereka menjalani bidang kerjaya yang mereka pilih dan dapat membangunkan bakat mereka untuk bergerak maju lebih jauh pada masa hadapan.

Fenomena ini sudah menjadi kelaziman di negara-negara maju dan menyaksikan ribuan pemimpin-pemimpin industri yang terkenal dan berjaya lebih cenderung memilih bakat dan kemahiran mereka berbanding dengan bidang pengajian mereka semasa mereka berada di IPT.

Bagi mahasiswa pula, kebebasan meneroka ilmu sepanjang berada di IPT nanti harus dibekalkan dengan sikap tanggungjawab.

Mahasiswa disaran meneroka lebih banyak cabang ilmu dan praktis yang boleh membantu mereka memperoleh ilmu kepengurusan diri dan peningkatan kualiti keperibadian untuk dijadikan modal menghadapi temuduga pekerjaan kelak tanpa bergantung sepenuhnya kepada prestasi akedemik semata-mata.

Bakat dalam kepengurusan keusahawanan dan kesukarelawanan merupakan antara elemen-elemen yang boleh membantu mahasiswa mendekatkan diri mereka dalam dunia perniagaan dan menyumbang bakti kepada kominiti.

Perlu diingatkan bahawa segulung ijazah hanyalah merupakan asas atau platform untuk membolehkan mahasiswa bersedia menghadapi cabaran kerjaya mereka. Pengisian terhadap pengajian mereka itu sebenarnya suatu pengalaman berharga untuk menggalas kematangan pemikiran mereka. Inilah yang akan menyumbang kepada nilai kebolehpasaran graduan yang lebih baik.

Mahasiswa perlu mengambil inisitatif mewujudkan lebih banyak program-program peningkatan diri yang lebih kreatif dan inovatif bagi melatih mereka bersikap lebih pragmatik apabila menghadapi cabaran dan membuat keputusan yang rasional apabila berdepan dengan isu atau krisis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.