Home Clothing & Fashion Acc. “TIDAK MUDAH PUTUS ASA” – Kunci Kejayaan Usahawan

“TIDAK MUDAH PUTUS ASA” – Kunci Kejayaan Usahawan

909
0

 

“TIDAK MUDAH PUTUS ASA” – Kunci Kejayaan Usahawan

Oleh: Zaharah Anum dan Norliatika Elias

Pengalaman membantu ibu berniaga sejak dari sekolah rendah menjadi pendorong dan pembakar semangat seorang wanita tujuh anak membuka butik pakaian sejak sembilan tahun lepas.

Puan Rohani Abd Haziz,  pemilik butik pakaian “Rona-Rona”  di Bangi Gateway berkata sebagai anak sulung dalam adik beradik, adalah menjadi tanggungjawab beliau membantu ibu bapa menambah rezeki walaupun masih di bangku sekolah pada waktu itu

“Saya diasuh oleh ibu seawal usia lapan tahun untuk berniaga kuih-muih di sekolah bagi menampung keperluan keluarga memandangkan pendapatan ayah sebagai tukang kebun sekolah  tidak mencukupi untuk menyara kami seisi keluarga,” katanya.

Katanya pengalaman tersebut amat berharga dan minatnya itu dipupuk dan berkembang sehingga beliau ke universiti apabila rakan-rakan turut menyokong dengan membeli putu piring dan nasi lemak hasil tangan ibunya semasa di kampus.

Lulusan Ijazah Sains Komputer itu berkata beliau memulakan perniagaan sendiri pada usia 23 tahun dengan menjual dadih dan kemudiannya membuka Kafe Asam Pedas bersama suami di Putrajaya.

Namun, perniagaan tersebut hanya bertahan selama setahun.

“Ibu pencetus dan membuka minda saya kepada perniagaan, kemudian suami memberi galakan dan menyokong tanpa berbelah bahagi tetapi yang pasti semangat dan keyakinan diri sendirilah yang menjadikan siapa saya hari ini.

“Saya sentiasa berfikiran positif dan tidak mengaku kalah walaupun  menghadapi pelbagai cabaran dalam dunia perniagaan ini,” tegas Puan Rohani semasa di temu bual di butiknya baru-baru ini.

Pn Rohani memulakan perniagaan pakaian secara serius pada tahun 2009. Rona Rona Enterprise merupakan syarikat berdaftar dan nama tesrebut dipilih daripada gabungan nama beliau dan suami selaras dengan warna-warni di butik tersebut, tambahnya.

Rohani berdiri di hadapan butiknya Rona Rona yang terletak di Tingkat 1, Bangi Gateaway

 

Butik Rona Rona menjual pelbagai jenis pakaian wanita dan kanak-kanak yang menjaminkan kualiti yang terbaik.

Ditanya mengapa memilih kawasan Bangi untuk membuka butiknya, beliau menegaskan, “Bangi Gateway merupakan tempat tarikan pengunjung pada masa itu dan Alhamdulillah setakat ini butik Rona Rona antara butik yang semakin popular dalam kalangan pengunjung disini,” tambahnya ketika ditemu ramah di butik beliau.

Menceritakan detik manis sepanjang berniaga sejak tahun 2009, Puan Rohani berkata pengalaman membuka “booth” semasa baru berjinak-jinak dalam perniagaan pakaian merupakan pengalaman yang paling manis buatnya.

“Walaupun penat, tetapi jualan di booth amat menguntungkan dan memberansangkan. Saya tidak sangka dapat menarik perhatian pembeli dengan begitu ramai,’’ tambahnya

Kini, butik Puan Rohani lebih dikenali lebih-lebih lagi dalam kalangan ibu-ibu disebabkan  beliau menggunakan akaun  Facebook dan Instagram peribadi dan juga rasmi untuk mempromosikan perniagaannya.

“Saya banyak menyediakan ‘video montage’ untuk mempromosikan koleksi baru butik Rona-Rona. Saya juga melakukan kaedah ‘free marketing’ melalui FB dan Instagram “live” lebih-lebih lagi pada hujung minggu untuk menarik minat para pelanggan.

“Untuk menambah lagi minat terhadap produk, saya sering melakukan peraduan yang boleh disertai oleh pelbagai peringkat umur. Dengan cara ini, butik Rona Rona semakin dikenali,”  katanya.

Puan Rohani juga bersetuju bahawa kuasa ‘tular’ memainkan peranan penting dalam dunia perniagaan masa kini. Menjadikan Dato’ Seri Vida sebagai idola, beliau berharap boleh berjaya dan berupaya  mempromosikan produk seperti yang dilakukan Dato’ Seri Vida kelak.

Menurut kata beliau juga, walaupun cara penjualan Dato’ Seri Vida kurang digemari oleh segelintir masyarakat namun ia tetap menjadi ikutan wanita dan mahu menjadi seorang wanita bekerjaya seperti Dato’ Seri Vida.

Beliau amat bertuah mempunyai suami yang sentiasa memahami kerjanya yang menghabiskan banyak masa di butik dan sentiasa membantu menjaga kebajikan anak-anak. Padanya, hal ini bukan menjadi masalah keranaa beliau merupakan penyumbang ekonomi terbesar dalam keluarga tersebut.

“Biasanya kami akan bercuti ke luar negara bersama-sama  keluarga pada hujung tahun sebagai ‘reward’ dan menghabiskan masa kualiti bersama,” kata ibu kepada tujuh orang anak itu.

Puan Rohani juga mengambil berat kebajikan pekerja dan sentiasa mendahulukan kebajikan mereka.  Puan Rohani juga menegaskan bahawa para pekerja diajar bersopan dan menghormati  pelanggan dalam apa juga keadaan.

Mengenai perancangan masa depan, Puan Rohani mahu menumpukan perhatian lebih kepada penjualan atas talian kerana ia merupakan satu platform yang paling baik untuk meningkatkan jualan produk serta menjadi tumpuan kepada masyarakat pada masa kini.

“Saya juga bercadang memperkenalkan produk detoks sendiri yang hanya menggunakan bahan semula jadi seperti susu kambing, lepas aidil fitri ini,” tambahnya lagi

“Kepada usahawan yang baru nak mulakan perniagaan, saya nasihatkan agar semaikan sikap yakin dalam diri dan jangan mudah mengalah dan percaya bahawa rezeki itu dari Allah,” katanya penuh yakin sambil mengakhiri perbualan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.