Home Inspirasi Niaga MENGEMUDI BAHTERA SASTERA BERSAMA A. SAMAD SAID

MENGEMUDI BAHTERA SASTERA BERSAMA A. SAMAD SAID

1345
0

 

MENGEMUDI BAHTERA SASTERA BERSAMA A. SAMAD SAID

Oleh: Alia Izzati Sham Shul Shukri & Nur Diana Alia Othman

“Pada tetamu yang datang dan kenal jalan pulang

Bawalah bakti mesra kepada Tuhan kepada Insan

Pada tetamu yang datang dan lupa jalan pulang

Usahlah derhaka pula pada Tuhan kepada insan”

Petikan dari puisi bertajuk Tetamu Senja nukilan Sasterawan Negara Datuk Abdul Samad bin Mohamed Said yang ditulis pada 1995.

Datuk A. Samad Said ketika menerima Anugerah Sasterawan Negara

Sebut sahaja nama A. Samad Said semua pasti kenal, beliau lah seorang sasterawan tanah air yang tidak lekang menghasilkan pelbagai karyanya yang unik dan tersendiri.

Dilahirkan pada 9 April 1935 di Durian Tunggal, Melaka, A. Samad Said amat sinonim dengan karya-karya agung miliknya. Pada tahun 1979, beliau telah dianugerahkan dengan Anugerah Penulis Asia Tenggara.

Menerima anugerah daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 2011

Ikuti temu bual bersama Sasterawan Negara Malaysia bagi mengetahui lebih lanjut tentang pengalaman, dorongan serta harapan beliau pada penulisan sastera di masa depan.

WARTAWAN: Boleh ceritakan apakah dorongan Datuk dalam proses penulisan karya kreatif?

DATUK A. SAMAD SAID: Pembacaan awal merupakan asas yang telah mendorong saya untuk menulis. Pada waktu kecil, saya menghadapi kesukaran untuk bercakap (gagap). Oleh itu, saya tertumpu kepada membaca dan menghabiskan banyak masa lapang saya dengan membaca. Bagi sesiapa yang suka membaca, akan tiba suatu tahap dimana dia berpendapat bahawa kalau orang lain boleh menulis, dia juga boleh menulis.

Novel Salina merupakan karya agung pertama yang ditulis oleh Datuk. Adakah benar bahawa kisah tentang gadis bernama Salina ini merupakan adaptasi daripada pengalaman Datuk sendiri?

Ya, memang benar. Dalam penulisan sesebuah novel, ramai penulis lebih mudah untuk menulis sesebuah kisah yang berdasarkan pengalaman dan persekitaran hidup mereka sendiri. Akar tempat yang saya duduki memang sebuah kawasan setinggan di Singapura dan memang disitulah tempat tinggal orang-orang Melayu yang susah ketika itu.

Apakah cabaran-cabaran yang Datuk hadapi bagi menghasilkan sesebuah karya kreatif seperti novel Salina?

Seperti yang sedia maklum, novel Salina merupakan novel pertama saya. Pada waktu itu, saya tidak tahu bagaimana untuk menulis sebuah novel dan ini merupakan cabaran utama saya. Oleh itu, asas penulisan saya adalah berdasarkan pembacaan novel-novel klasik yang sedia ada. Saya meminjam teknik dan mempelajari cara penulisan beberapa penulis Indonesia seperti Pramoedya Ananta Toe, Idrus, dan Notosusanto memalui penilitian dalam pembacaan saya.

Bagaimana Datuk mencari ilham untuk mengarang karya-karya yang lain?

Penantian ilham ini adalah semasa mengarang puisi. Puis datang dalam ayat yang ringkas dan rangkap yang pendek. Oleh itu, isinya hendaklah sebanyak dan sepadat yang mungkin. Puisi tidak boleh terhasil dengan sendirinya. Kadang-kadang ketika saya duduk lalu sebaris ayat muncul di minda, ayat tersebutlah yang saya catit.

Apakah karya-karya penulis lain yang Datuk sendiri gemari?

Jika mengambil karya dari segi konteks kreativiti, antaranya ialah Zaman Gerhana oleh A. Samad Ahmad dan Rimba Harapan oleh Keris Mas. Kedua-duanya mempunyai gaya bahasa yang senang dan susun atur perkataan yang cantik. Jika hendak yang susah sedikit, boleh baca karya-karya Anwar Ridhwan. Manakala bagi karya penulisan puisi pula, karya-karya Usman Awang dan Muhammad Haji Salleh yang membawa genre yang lebih moden. Contoh karya yang baik daripada kalangan wanita seperti Zurinah Hassan yang menulis cerpen, novel, dan esei.

Dari segi genre di dalam penulisan, apakah genre yang lebih Datuk gemari?

Saya lebih meminati karya puisi. Bagi saya, esei amat sukar meskipun saya suka penulisan esei kerana esei memerlukan kita untuk memberi isi-isi yang betul-beul tegak tidak seperti novel yang boleh kita ‘goreng’ sahaja. Namun, dalam puisi pula kita harus berdisiplin merangkapnya.

Pada pendapat Datuk, apakah faktor-faktor yang menunjukkan bahawa sebuah penulisan itu sebuah penulisan yang baik?

Penggunaan bahasa. Pemilihan perkataan adalah amat penting. Cara kita memanipulasi bahasa itu memainkan peranan yang penting. Kadang-kadang kita tidak perlu merangka ayat yang berjela-jela untuk menyampaikan sesuatu idea, dua tiga ayat secara langsung sudah mencukupi.

Apakah padangan Datuk terhadap karya Datuk, Langit Petang yang diadaptasi menjadi sebuah filem?

Langit Petang telah diadaptasi menjadi sebuah filem tetapi latarnya dan salah satu babak telah diubah. Pada pandangan saya, biarlah hasilan saya dalam bentuk penulisan yang sedia ada tetapi jika saya sudah tiada lagi, mungkin tidak mengapa.

Nasihat atau harapan Datuk kepada kalangan anak muda yang ingin menyambung legasi Datuk.

Sebelum seseorang itu ingin menjadi seorang penulis, dia hendaklah menjadi seorang yang rajin membaca. Pemilihan buku-buku juga amatlah penting, dia hendaklah memilih buku-buku yang baik dan berguna. Dia tidak perlu membaca banyak buku. Sebaliknya, hanya baca buku-buku yang sebaiknya telah diiktiraf. Hingga ke hari ini, saya masih membaca dengan tekun.

Harapan Datuk terhadap dunia penulisan kreatif pada masa depan.

Saya menganggap sebuah penulisan cerita sebagai perakam zaman. Penulisan yang bertindak sebagai perakam zaman akan menjadikan penulisan tersebut amat bermakna dan sangat berguna bagi generasi muda akan datang. Sesampainya satu tahap atau masa (peralihan zaman), cerpen atau sastera-saster lain akan hilang begitu sahaja dan orang tidak akan merujuk kepadanya lagi. Namun jika karya tersebut dicipta berdasarkan zaman, karya tersebut akan jadi rujukan pada masa akan datang. Contohnya, setelah Wijaya Mala menulis cerita pendek Di Laut dan Darat (1980), masyarakat lebih celik tentang keberadaan orang Melayu di lautan.

Datuk A. Samad Said menandatangani buku ketika
ditemu bual

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.