Minat, Bakat dan Semangat pendorong kejayaan
Minat yang mendalam terhadap seni kaligrafi tulisan Jawi atau lebih dikenali sebagai lukisan khat menjadi pendorong kepada seorang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) menceburi bidang keusahawanan yang berasaskan hasil seni itu secara sambilan.
Mohd Zafreen bin Shahril pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Makanan yang berusia 23 tahun mula meminati lukisan khat sejak dari sekolah rendah dan ianya berkembang apabila di sekolah menengah pelajar-pelajar senior telah memberi semangat dan galakan kepadanya untuk menyertai pertandingan bagi mengasah lagi bakat dalam bidang tersebut.
”Semasa di sekolah rendah saya minat melukis dan ketika di sekolah menengah pula saya mula menyedari mempunyai kebolehan dalam lukisan khat,’’ tambahnya lagi.
“Kawan-kawan senior yang mengetahui bakat saya kemudiannya memberi galakan menyertai pertandingan dan bermula dari situlah saya begitu bersemangat mengembangkan minat dan bakat dalam seni khat ini sehingga saya berada di tahap ini sekarang,” katanya semasa ditemui di kampus baru-baru ini.
Menurut Mohd Zafreen bakatnya terus di asah apabila berjaya menjadi johan dalam beberapa pertandingan yang disertainya ketika itu dan menjelaskan bahawa pada mulanya beliau hanya menggunakan pen biasa untuk berseni . –lagi
Mohd Zafreen mengakui bahawa kebolehan yang dimilikinya itu bukan sahaja mampu memberikan pendapatan sampingan kepadanya malah dapat menyumbang dan menggembangkan lagi kegemilangan tulisan Jawi lebih-lebih lagi kepada generasi Y dan Z.
Menyedari akan kelebihan diri dan tempat beliau, Mohd Zafreen memulakan bisnes secara kecil-kecilan pada usia 19 tahun semasa menyambung pengajian diperingkat asasi di UPM.
“Semasa belajar pada peringat asasi, saya mula membuka dan menerima tempahan seperti penanda buku dalam kalangan pelajar UPM. Pada ketika itu, rakan-rakan saya menyokong bisnes ini.”
“Dan sejak itu, sudah hampir 4 tahun, tempahan telah berkembang dari penanda buku kepada bingkai gambar, cenderamata dan juga lukisan logo yang sesuai untuk dijadikan sebagai cenderamata, hadiah dan juga hiasan,” katanya lagi
Bermula dengan tempahan melalui kenalan, Mohd Zafreen seterusnya mengambil inisiatif untuk mempromosi “bisnesnya” dengan merebut peluang membuka ‘booth’ pada program anjuran UPM, bagi meluaskan lagi pasaran seni khatnya . — lagi
Kini, hasil seni Mohd Zafreen lebih dikenali di kampus disebabkan beliau menggunakan akaun Facebook dan Instagram peribadinya untuk mempromosikan bisnes tersebut dan berharap dapat membina ‘page’ rasmi dalam masa terdekat.
Menceritakan pengalamannya beliau berkata, “bukan senang untuk mempelbagaikan seni tulisan khat ini kerana saya tidak menyertai mana-mana pusat latihan atau kelas khas, malah hanya mempelajari cara penulisan melalui YouTube dan buku rujukan semata-mata.
“Sasaran pembeli saya pada awalnya sudah pasti pelajar UPM tapi kini saya juga menerima tempahan cenderamata untuk majlis-majlis rasmi yang diadakan di dalam mahu pun di luar kampus, “katanya lagi.
Ditanya cara beliau membahagikan masa mengendalikan tempahan dan belajar, Mohd Zafreen menegaskan beliau tidak rasa terbeban disebabkan minat yang mendalam terhadap seni tersebut.
Katanya tempahan yang banyak boleh diterima jika waktu lapang dan sekiranya sibuk dengan pengajian, tempoh tempahan dipanjangkan.
“Alhamdulillah semuanya lancar setakat ini dan saya mampu memperoleh wang saku lebih sedikit dengan kudrat sendiri tanpa pekerja maupun pembantu.
‘Harapan saya untuk masa hadapan ialah mendapat sijil pengiktirafan, membuka kelas seni khat dan seterusnya mendapat tempahan tulisan khat untuk masjid-masjid,” katanya mengakhiri pertemuan.
???