Home Economy Pemindahan teknologi mampu lonjak industri tekstil Malaysia

Pemindahan teknologi mampu lonjak industri tekstil Malaysia

428
0

 

Pemindahan teknologi mampu lonjak industri tekstil Malaysia

JOHOR BAHRU, 1 April (Bernama) — Usaha pemindahan teknologi maju dari China dijangka mampu mengatasi kekurangan pengeluaran benang dalam industri tekstil Malaysia, kata Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan kerjasama antara kedua-dua negara menerusi penubuhan pengeluar benang – D&Y Textile (M) Sdn Bhd (D&Y Textile) di Taman Perindustrian Sedenak di sini, akan dapat melonjakkan sektor tekstil Malaysia kepada industri berintensifkan modal serta teknologi.

“Saya difahamkan tiada sebarang kilang pengeluaran benang di Malaysia. Oleh itu, penubuhan D&Y Textile tidak hanya dapat mengisi jurang dalam industri tekstil Malaysia tetapi turut membawa teknologi pembuatan benang serba maju dari China ke negara ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang D&Y Textile di sini, hari ini.

Bai dalam rangka lawatan tiga hari ke Johor selepas menyandang tugasnya pada November 2017.

D&Y Textile dimiliki oleh Daiyin Textile dan Garment Group yang berpangkalan di Shandong dan melabur AS$500 juta (RM1.93 bilion) bagi membangunkan kilang seluas 22.56 hektar pada 2013.

Mengikut laman sesawang syarikat itu, pengeluaran harian purata kilang itu mencecah 120,000 kilogram dengan China dan Malaysia sebagai destinasi pasaran utamanya.

Bai berkata, syarikat itu juga setakat ini telah berjaya mewujudkan kira-kira 1,000 pekerjaan untuk anak tempatan.

Malah, sebanyak 2,200 pekerjaan dijangka dapat diwujudkan selepas kesemua tiga fasa pembangunan kilang itu siap menjelang 2020.

“Kami berterima kasih di atas usaha kerajaan Persekutuan dan Negeri, khususnya dari segi dasar pelaburan yang membawa kepada penubuhan D&Y Textile di sini,” katanya. (berita asal klik di sini)

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.