Profil Usahawan
Nama: Normawaddah Ramli
Pemilik Firma guaman: Azmi Mawaddah Rizz & Ass
Nama Restoran: Kafe Bawang Bilis
Alamat Restoran: 7 G Jalan Putra 5, Taman Putra Kajang, 43000 Kajang Selangor
Status: Bujang
MASYARAKAT Kelantan, khususnya wanita memang dikenali sebagai golongan yang banyak terlibat dalam sektor perniagaan. Keunikan dan kehebatan wanita Kelantan memang tidak boleh disangkal lagi.
Begitu jugalah dengan personaliti M-Niaga kali ini yang merupakan seorang peguam Normawaddah Binti Ramli, berasal dari Negeri Cik Siti Wan Kembang ini mempunyai minat dan impian untuk membina empayar perniagaan sendiri.
M-NIAGA: Sudah berapa lama saudari menjadi peguam. Kenapa memilih bidang guaman?
NORMAWADDAH: Saya menjadi seorang peguam sejak tahun 2006 dan membuka firma guaman sendiri pada tahun 2011. Ini adalah cita-cita sejak dari bangku sekolah lagi. Saya amat meminati kerjaya professional ini. Selepas sekolah menengah, alhamdulillah dengan keputusan yang cemerlang saya diterima melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Malaya.
Kenapa saya jadi peguam? Seseorang manusia yang lemah dan tidak berdaya untuk mempertahankan dirinya memerlukan seorang pembela bagi menegakkan keadilan di pihaknya. Seseorang peguam mempunyai obligasi untuk membantu seseorang yang memerlukan bantuan ini dan akan memberikan khidmat guaman kepada pelanggannya untuk memenuhi harapan dan permintaan mereka.
Saya mahu menjadi peguam yang berkaliber dan dikenali ramai. Selagi ada peluang saya akan cuba kerana saya yakin jika berusaha pasti akan dapat ganjaran yang setimpal suatu hari nanti.
Bergelar peguam bukanlah mudah. Ramai yang menyangka peguam adalah kerjaya popular seperti doktor. Beban tugas yang harus dipikul adalah besar. Jujur dan amanah dalam mengendalikan sesuatu kes antara yang perlu dititikberatkan.
M-NIAGA: Sudah berapa lama saudari berniaga? Adakah minat berniaga datang sendiri, terikut-ikut kawan atau kebetulan mendapat peluang berniaga atau pada masa itu ada banyak duit?
NORMAWADDAH: Sejak di bangku sekolah lagi saya mula berniaga. Pengalaman masa lalu banyak mengajar erti kehidupan kepada saya untuk mencari sumber pendapatan sendiri. Saya mendapat pendedahan awal mengenai ilmu pengurusan wang daripada kedua ibu bapa, saya menanam azam untuk terlibat dalam perniagaan apabila menamatkan pengajian.
Semasa di universiti saya telah berniaga secara online. Namun selepas menamatkan pengajian saya hentikan dahulu perniagaan tersebut kerana ingin memberi fokus kepada kursus chambering dan fokuskan kepada kerjaya utama.
Bagaimanapun terdetik di hati ini untuk berniaga semula. Keputusan awal telah saya ambil iaitu menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di pasar malam, saya menjual permainan. Di pasar malamlah banyak mengajar saya selok belok perniagaan.
Saya juga pernah kedai baju (whole sales) di GM Klang tetapi tak dapat bertahan lama.
M-NIAGA: Siapa idola saudari dalam bidang perniagaan? Kenapa dan apa yang boleh dijadikan panduan dalam perniagaan?
NORMAWADDAH: Saya tidak mempunyai idola tertentu. Kejayaan hari ini bukan mudah dicapai jika tidak mendapat sokongan dan restu dari ibu bapa dan ahli keluarga terdekat. Saya bersyukur kerana dengan hanya menggunakan modal yang kecil hasilnya kini diterima berganda-ganda.
Saya bersyukur dan percaya rezeki yang diperoleh adalah hasil usaha dan kesabaran yang tidak pernah jemu selain doa memohon rezeki daripada-Nya.
Jika diimbas kembali detik permulaan untuk bertapak dalam bidang ini, saya dapat rasakan kesusahannya. Bukan mudah untuk menghadapi persaingan.
M-NIAGA: Sebelum memulakan sesebuah perniagaan, apa persiapan-persiapan penting yang perlu dilakukan oleh seseorang yang bergelar usahawan?
NORMAWADDAH: Seseorang usahawan itu perlu mengikuti latihan atau menyertai seminar keusahawanan. Tujuan seminar adalah untuk memberi kesedaran kepada usahawan mengenai strategi yang kreatif dan inovatif dalam perniagaan, selain dari memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari dan mendalami ilmu perniagaan bagi memajukan perniagaan masing-masing.
Banyak peluang dan potensi perniagaan sekeliling kita, tetapi kurang maklumat dan bimbingan kita tidak dapat menggunakan peluang dan potensi yang berada di keliling kita. Melalui kursus, membuka minda dan usaha kita melihat peluang dan mengambil kesempatan.
Berniaga dan membuka perusahaan adalah bidang yang dituntut di dalam Islam. Rasulullah s.a.w. adalah seorang peniaga dan usahawan dan baginda pernah bersabda bermaksud – sembilan persepuluh dari rezeki adalah berada di dalam perniagaan.
M-NIAGA: Apakah produk dan perkhidmatan yang Kafe Bawang Bilis tawarkan?
NORMAWADDAH: Restoran Kafe Bawang Bilis dibuka setiap hari. Kami juga menyediakan perkhidmatan Katering. Bawang goreng bilis dan bawang goreng pedas adalah keistimewaan kami.
M-NIAGA: Apa keunikan produk perkhidmatan yang ditawarkan?
NORMAWADDAH: Masakan Melayu Tradisional, Melayu Kelantan
M-NIAGA: Bagaimana saudari mempromosikan produk/ perkhidmatan yang ditawarkan?
NORMAWADDAH: Sebagai usahawan yang baru hendak membina tapak dalam perniagaan, selain strategi pemasaran yang kukuh, langkah seterusnya pula adalah dengan membuat iklan di media massa. Walau bagaimanapun saya memilih Facebook, Instagram dan whatsapp menjadi media pengiklanan saya. Kawan – kawan juga memainkan peranan memperkenalkan perkhidmatan saya ini.
M-NIAGA: Mengapa memilih kaedah tersebut?
NORMAWADDAH: Mudah, terus kepada pengguna, murah dan efektif
M-NIAGA: Berapa ramai pekerja setakat ini?
NORMAWADDAH: 7 orang dan 5 orang separuh masa. Apabila ada katering, saya guna khidmat pekerja sambilan
M-NIAGA: Apakah impak perniagaan terhadap kenaikan kos bahan mentah? Dan, bagaimana mengatasi masalah ini?
NORMAWADDAH: Margin semakin kecil. Sukar untuk menaikkan harga kerana pelanggan yang datang kebanyakkan adalah pelanggan yang sama. Untuk mengatasi masalah, saya mencari bahan mentah yang lebih murah tetapi mengekalkan kualiti demi menjaga pelanggan.
M-NIAGA: Bagaimana saudari menghargai pekerja yang cemerlang dan menepati mutu kerja yang ditetapkan?
NORMAWADDAH: Ada elaun kerajinan dan setiap bulan ada hadiah untuk pekerja cemerlang.
M-NIAGA: Jika pengguna tidak berpuashati dengan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan bagaimana saudari mengatasinya?
NORMAWADDAH: Cuba memenuhi citarasa pelanggan dengan bertanya.
M-NIAGA: Mengapa memilih lokasi perniagaan di sini? Apa ciri ciri strategik yang ada?
NORMAWADDAH: Lokasi agak strategik dan kadar sewanya yang rendah.
M-NIAGA: Adakah saudari menguruskan sendiri perniagaan ini atau mengambil seorang pengurus?
NORMAWADDAH: Buat masa ini, saya menguruskan Kafe ini bersendirian.
M-NIAGA: Adakah saudari pernah gagal dalam perniagaan? Kalau ya, apakah faktor-faktor yang menyumbang kepada kegagalan tersebut?
NORMAWADDAH: Pernah, kerana tak cukup ilmu dan tiada sistem perniagaan yang betul. Jatuh bangun dalam bisnes adalah asam garam bagi mana-mana individu yang membuat keputusan untuk terlibat dalam bidang ini. Tak dinafikan memang kadang kala saya rasa lemah tetapi bila memikirkan jika berterusan sebegitu sampai bila mahu berjaya.
Saya percaya jika orang lain mampu melakukan dengan baik, saya juga boleh buat perkara sama. Cara ini membolehkan saya membuktikan kemampuan diri dan tidak berharap kepada takdir semata-mata.
M-NIAGA: Apakah etika terpenting semasa menjalankan perniagaan?
NORMAWADDAH: Utamakan pelanggan, keikhlasan, jujur dan memberi perkhidmatan terbaik
M-NIAGA: Apakah perancangan saudari pada masa hadapan?
NORMAWADDAH: Saya berhasrat membuka cawangan baru Kafe Bawang Bilis ini. Dijangka pada pertengahan 2018 dan menambah produk keluaran sejuk beku. Saya ingin membina rangkaian perniagaan dengan satu nama
M-NIAGA: Apakah nasihat saudari kepada golongan siswazah dan belia yang ingin menceburi keusahawanan?
NORMAWADDAH: Kepada siswazah atau belia yang ingin menceburi bidang perniagaan, nasihat saya anda perlu betul betul meminati bidang yang diusahakan, mengikuti latihan dan berusaha dengan bersungguh-sungguh dan cekal menghadapi segala cabaran, yakin dengan apa yang diusahakan disamping berdoa. Kita perlu jujur dan amanah dalam perniagaan
Oleh Kamri Mohamed @ Kamarudin
Selamat Maju Jaya..
Sahabat lama..”Tasek Bandar Baru Bangi”
“071078”