Home Inspirasi Niaga Jual tiket bas sejak zaman Asasi

Jual tiket bas sejak zaman Asasi

1047
0

Aizat aktif menjalankan bisnes pengangkutan di kaunter tiket miliknya, Kompleks Mahasiswa UPM

UPM: Segala-galanya bermula dengan mengikuti ayahnya berniaga di pasar malam, Muhammad Aizat Mokhtar, 24, kini menjadi agen sah jualan tiket bas dan perkhidmatan bas catar di kampus Universiti Putra Malaysia (UPM).

Bermula dengan zaman persekolahan, Aizat menceritakan bahawa beliau sejak kecil telah diterapkan dengan semangat untuk berniaga. Pada zaman persekolahan, Aizat menjual pen dan juga pistol mainan kepada rakan-rakannya.

Namun, setelah melangkah ke alam universiti jurusan Asasi Pertanian (ASPER) membuka lebih banyak peluang kepadanya. Beliau membuat jualan topup, pakaian dan juga keropok keping Kelantan yang diletakkan di blok-blok kolej.

Idea menyediakan bas catar tercetus disebabkan oleh beliau masih baru di UPM dan gemar menaiki bas untuk pulang ke kampung pada setiap minggu. Beliau merasakan duit banyak dihabiskan untuk membeli tiket bas dan dari situlah beliau berminat untuk bisnes bas catar dan dalam masa yang sama memberikan pulangan kepadanya. ‘’Kalau balik ke Kelantan, saya tak duduk di seat saya. Saya akan duduk sebelah driver, tanya dia mengenai agen bas, tauke bas dan minta pendapat dan nasihat daripada dia.’’

Galakan UPM kepada pelajar

Aizat (tiga dari kiri) menerima lawatan daripada YBhg Dato’ Sri Jamil Salleh, KSU KPDNKK, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan dan pegawai CEM UPM.

UPM sememangnya menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan pelajar. Program-program keusahawanan disediakan untuk menerapkan ilmu perniagaan yang betul kepada para pelajar yang berminat untuk berniaga.

‘’Saya rebut peluang untuk join program under CEM UPM yang dipanggil sebagai Tradec. Program ini mengambil masa selama 10 hari untuk menerapkan ilmu keusahawanan dan dua bulan diberikan kepada pelajar untuk memikirkan produk untuk membuat jualan.’’ Ujar Aizat.

Tambahnya lagi, UPM tidak menyediakan sebarang jenis modal kepada pelajar . Tetapi pihak UPM menyediakan bengkel dan program keusahawanan bagi memberikan ilmu dan tips berniaga tanpa gulung tikar.

‘’Saya juga pernah meniaga al-Quran. Masa tu saya jadi dropship sahaja. Saya dapat cari pelanggan ramai dan menyebabkan saya berhenti menjadi dropship dan keluar memborong stok al-Quran dengan harga yang lebih murah dan pulangannya lebih banyak.’’

Bermula cuti semester, Aizat akan mendapatkan senarai nama pelajar seramai 40 orang  yang ingin pulang ke kampung. Ia sememangnya perniagaan tanpa modal kerana beliau hanya perlu menghantar mesej kepada setiap pelajar yang ingin mendapatkan bas pulang ke kampung.

‘’Permulaan perkhidmatan bas catar ni, saya berjaya kumpul sebanyak RM 800 untuk trip pergi dan balik KL-Kelantan dan Kelantan-KL’’

Menurut Aizat lagi, rakan-rakan sememangnya memberikan sokongan dengan membeli tiket daripadanya. Meskipun perkhidmatan bas catar ini bermusim, namun untuk sekali perjalanan, ia memberikan pulangan yang sangat lumayan. Bagi mengembangkan lagi perniagaannya, Aizat mengumpul keuntungan yang diperoleh bagi mendapatkan printer dan juga komputer. Lot kedai di Kompleks Akademik A (KAA) juga diperoleh hasil daripada perkongsian dengan rakannya.

Rezeki cuti Hari Raya Aidiladha

Beliau berkongsi mengenai pencapaian terbesar yang diperolehinya adalah setiap kali cuti Raya Aidiladha. ‘’Saya boleh untung sebanyak 10K untuk sekali perjalanan bas catar tersebut. Pada tahun 2015, melibatkan lapan buah bas catar. Manakala melangkah ke tahun 2016, saya berjaya menggerakkan sebanyak 10 buah bas catar yang mendorong saya mengaut hasil yang tinggi.’’

Pelajar UPM yang berjumlah besar sememangnya memerlukan bas untuk pulang ke kampung halaman dan untuk keluar ke Terminal Bas Selatan (TBS)  agak sukar sekiranya pelajar tidak memiliki kenderaan. Sekiranya mereka lambat mendapatkan tiket, sudah tentu tiket akan habis pada musim perayaan. Bas catar yang disediakan bertujuan untuk memudahkan pelajar pulang ke kampung.

Dugaan Mendorong Idea Baru

Menurut Aizat, setiap perkara yang dilakukan perlu hadapi cabaran dan masalah.

‘’Tahun 2014 menguji semangat saya. Bas catar mengalami masalah kerana guard UPM tidak membenarkan keluar dan masuk bas tersebut ke kawasan UPM. Manakala sebuah lagi bas sampai ke UPM keesokan hari.  Pada waktu tu bas pukul9 malam boleh keluar dari UPM pada pukul3 pagi. Masalah ini memang membuatkan sy rasa  sangat down.’’

Untuk meraih pelanggan dan mengelakkan pelajar dari berhenti mendapatkan perkhidmatan bas catarnya, timbul idea baru dalam diri beliau untuk menyediakan kaunter tiket bas. Dengan adanya kaunter tiket, ianya bukan lagi perkhidmatan yang bermusim. Baginya, pelanggan boleh datang untuk mendapatkan tiket bas pada setiap hari.

Ujarnya lagi, cabaran lain yang dihadapinya adalah hubungan beliau dengan pelanggan, beliau dengan pengusaha bas. Bagi Aizat, para  pengusaha bas catar merupakan sahabatnya. Dalam hal ini, beliau perlu adil dalam memberikan trip perjalanan bas supaya tidak ada yang berkecil hati. ‘’Perkara sebegini mengajar saya untuk mengurus dengan lebih baik.’’kata Aizat.

Bukan itu sahaja, masalah bas rosak, terlibat dengan kemalangan kecil dan keselamatan para pelajar yang menaiki bas turut merupakan satu cabaran buatnya. Dalam UPM pula, Aizat mempunyai pesaing tunggal yang turut menyediakan perkhidmatan bas iaitu Kak Nurul. Beliau juga perlu membuat surat keluar masuk bas di Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP).

Perancangan masa hadapan

Beliau berharap untuk mengeluarkan perkhidmatan bas sendiri dan juga memiliki syarikat kereta sewa sendiri.

‘’Bila mendapat dua perkara ni, ianya sudah cukup untuk diri saya.’’ Ujarnya.  Beliau juga ingin meluaskan lagi kaunter-kaunter tiket dan membuka lebih banyak cawangan kaunter tiket dalam dan luar UPM.

Keazaman yang tinggi diperlukan dalam mengurus sesebuah perniagaan. ‘’Saya bermula dengan kosong semasa memulakan bisnes ini, saya memang suka naik bas untuk pulang ke kampung. Saya banyak mencari ilmu mengenai bisnes perkhidmatan bas dengan driver-driver bas mengenai tauke bas, perkhidmatan bas di setiap kawasan, agen-agen bas dan juga mendapatkan ilmu dari orang lama. Kami peminat bas mempunyai group Facebook yang aktif memberikan pandangan dan tips dalam perkhidmatan bas.’’

Memilih untuk bekerja sendiri

Selepas tamat program ijazah, Aizat yang memegang jurusan Agro-bisnes memilih untuk membangun dan menstabilkan perniagaannya. ‘’Saya tunggu bisnes ini betul-betul stabil barulah saya akan kerja dengan orang’’

‘’Fikir 10 tahun ke hadapan’’

Kata-kata yang diberikan oleh ayahnya 10 tahun lalu menjadi pegangan kepada graduan ini. Baginya, untuk mencapai 10 tahun akan datang, kita perlu melakukan perubahan terhadap keadaan yang sedia ada. Dari dulu menjadi agen bas catar, kini beliau menjadi agen sah jualan tiket kepada pelajar kampus UPM. Motivasi tinggi perlu diletakkan dalam diri supaya kita tidak mudah patah semangat apabila pelbagai masalah datang.

Oleh: S.N.Zuraikha 184282

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.