Home Education & Training Ubah Hobi Jadi Pendapatan

Ubah Hobi Jadi Pendapatan

355
0

JANA pendapatan dari hobi! Cukupkah jika sekadar ada sekadar minat yang mendalam dan semangat juang yang tinggi untuk menyempurnakan impian tersebut? Mampukah hobi itu dikomersilkan dan bagaimana untuk mengekalkan perniagaan itu? Bagi mereka yang sudah berkereta besar juga ada yang sanggup ‘menjual’ kepakaran mereka untuk membuat mi untuk dijual dipasar tani atau pasar malam. Hakikatnya peluang sentiasa ada untuk setiap orang…hanya kesanggupan yang membezakannya untuk mengubah hobi sebagai pendapatan.

Setiap individu yang ingin memulakan perniagaan berasaskan hobi perlu memahami ruang lingkup perniagaan yang akan mereka ceburi. Perkara utama yang perlu mereka lakukan adalah membaca buku berkaitan perniagaan iaitu bagaimana menguruskan perniagaan dari peringkat mula sampai akhir iaitu tahap dimana perniagaan boleh dijual kepada pihak ketiga dengan keuntungan berlipat ganda.

Hari ini semua bercakap mengenai perniagaan internet, jika anda menguasai teknik pemasaran sama ada secara internet( on-line) atau secara tradisi (off-line) jadikan ia satu peluang untuk menjana pendapatan melalui hobi anda.

Sememangnya peluang untuk memulakan perniagaan berasaskan hobi ini begitu luas dan hanya dibatasi oleh imiginasi dan minda sahaja. Sebagai contoh, baru-baru ini syarikat televisyen tempatan telah menyiarkan kisah perniagaan kuih lapis Sarawak yang dimulakan secara kecil-kecilan pada tahun 2008. Berkat kegigihan pengusahanya, perniagaan itu kini berjaya membawa keuntungan sehingga jutaan ringgit.

Walau bagaimanapun, bukan semua perniagaan berasaskan hobi itu berjalan dengan mudah. Ada beberapa rintangan dan halangan yang perlu dihadapi oleh pengusaha itu sendiri. Misalnya tiada pasaran, bekalan tidak mencukupi, masalah kewangan dan sebagainya. Adakalanya masalah-masalah begini membuatkan pengusaha patah hati dan tidak dapat bertahan untuk meneruskan perniagaannya.

Apa yang perlu mereka lakukan jika berhadapan dengan masalah begini? Jawapannya bergantung kepada kekuatan personaliti dan minda mereka. Selalunya usahawan mempunyai sikap tidak mengalah yang tinggi. Jadi tanya pendapat usahawan lain dahulu. Boleh juga berunding dengan pihak bank untuk mendapatkan suntikan kewangan. Membaca buku-buku motivasi seperti kisah kejayaan mereka –mereka yang telah berjaya juga dapat membantu. Namun, elakkan mendengar berita-berita suram mengenai perniagaan ini. Jika tidak berjaya, cubalah pula dengan kaedah lain.

Dalami Ilmu Berkaitan Hobi

JIKA boleh daftarkan diri dan ikuti aktiviti yang dianjurkan oleh kelab-kelab hobi berkaitan dan berdekatan dengan lokasi tempat tinggal anda. Internet memberi ruang informasi yang paling cepat dan padat. Justeru, cari mengenai hobi itu di dalam internet, membaca secara percuma di perpustakaan atau membeli di kedai buku. Jika anda seorang yang rajin berjalan, cuba lawati “flea market” atau bazar hujung minggu kerana di situ ada gerai-gerai menjual produk yang berasaskan hobi. Antara perniagaan yang berasaskan hobi yang boleh diusahakan adalah penjagaan bayi, kanak-kanak ataupun program perkembangan kanak-kanak, fotografi seperti fotografi laut, tanaman pokok bonsai, ukiran-ukiran seperti lilin dan kayu dan merakam video pendek.

Pastinya ketika ini anda sudah berkira-kira untuk memulakan dengan hobi yang ada. Anda juga berfikir pastinya hobi anda adalah yang paling sesuai untuk dijual dipasaran pengguna.

Tunggu Dulu!! Anda perlu tahu apakah pasaran tersebut. Sebab jika ada pasaran tentu ada permintaan untuk produk. Masalahnya ialah adakah usahawan tahu apa sebenarnya produk yang diperlukan pasaran tersebut. Jadi apa saja hobi yang mempunyai pasaran ialah hobi yang paling sesuai.

Memang tiada jalan mudah untuk mencari wang yang banyak tetapi bukan mustahil untuk memperolehinya jika anda rajin. Jika anda seorang yang mahu mencuba, mahu belajar dan mahu menjadi seorang yang inovatif dan kreatif maka anda mempunyai banyak cara dan jalan untuk mencari wang yang lumayan bahkan sebahagiannya boleh dilakukan dengan jayanya hanya dari rumah anda sahaja.

Hakikatnya ia benar-benar mampu menghasilkan lebih wang. Tanyalah kepada usahawan yang berjaya dalam perniagaan mereka, adakah tanpa minat mereka mampu meraih kejayaan?

Minat dan hobi bolehlah disamaertikan. Anda tidak perlu menyewa kedai yang mahal hanya untuk menghasilkan wang dari hobi dan minat anda.

Oleh itu, jika anda mahu terus berjaya di dalam kehidupan anda, sudah tentulah anda patut memilih bidang kerjaya yang anda minati. Contohnya untuk berniaga, anda mesti mempunyai minat untuk melakukannya. Jika tidak, sudah tentu sukar untuk berjaya apatah lagi jika anda memang tidak berpengalaman.

Walaubagaimana pun perkara itu boleh dipelajari sedikit demi sedikit. Malah anda boleh menjadikan apa-apa sahaja hobi dan kemahiran anda sebagai satu perniagaan secara langsung. Contohnya jika anda meminati bidang masakan, anda boleh mencipta resepi-resepi baru, menulis buku-buku resepi, menjual makanan, mengambil kontrak membekal dan menyediakan makanan atau;

• Jika anda meminati bidang jahitan, anda boleh mengambil upah menjahit, mendapatkan kontrak menjahit, menulis buku jahitan, membuka kelas jahitan, mengadakan kursus jahitan secara pos atau hadir.

• Jika anda meminati bidang pengurusan, anda boleh mengadakan kursus pengurusan moden, mengadakan seminar-seminar berkaitan bidang pengurusan, menulis buku-buku berkaitan pengurusan.

• Jika anda seorang mekanik, anda boleh menulis buku panduan atau menerbitkan video mengenai teknik membaiki kerosakan pada kereta atau motorsikal. Begitu juga jika anda seorang juruelektrik.

• Jika anda seorang pendidik anda boleh mengadakan kelas tuisyen, menerbitkan panduan teknik belajar berkesan, petua untuk lulus peperiksaan, mengadakan kertas kerja dan kursus.

• Jika anda seorang jurufoto, anda juga boleh mengadakan kelas dan kursus fotografi.

• Jika anda seorang peladang, petani, penternak anda mengadakan satu program lawatan ke ladang, pusat ternakan sebagai satu pakej pelancongan.

• Jika anda seorang penulis, anda boleh mengadakan khemah kerja, kursus penulisan dan sebagainya.

• Jika anda seorang pemandu, anda boleh mengadakan kursus pemanduan berhemah.

• Jika anda seorang peniaga, anda boleh menulis buku mengenai bidang perniagaan, mengadakan seminar perniagaan, mengadakan pameran perniagaan, mengadakan kursus perniagaan dan sebagainya.

• Jika anda seorang pelukis pelan anda boleh mengambil upah melukis pelan rumah, mengajar melukis pelan dan lain-lain.

• Jika anda seorang akauntan, anda boleh mengambil upah perakaunan daripada syarikat-syarikat kecil.

• Jika anda seorang penyanyi, anda boleh mengadakan bengkel atau kelas vokal, mengadakan pertandingan nyanyian dan sebagainya.

 

Disediakan oleh

Kamri Kamaruddin

Perunding Perniagaan

SC Creative Sdn Bhd

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.