Home Inspirasi Niaga Minat, cita-cita atau impian?

Minat, cita-cita atau impian?

755
0

Setiap  orang di dunia ini sudah pasti punya impian dan cita-cita yang tersendiri. Tanpa impian dan cita-cita, akan terumbang-ambing lah layar kehidupan tanpa arah tujuan. Tinggi atau rendah, tiada siapa yang berhak menghalang seseorang itu daripada mengejar impian dan cita-cita masing-masing. Walaupun adakalanya kita harus merendahkan sedikit jangkaan dalam hidup kita, itu tidak bermakna kita tidak boleh selarikan impian, minat dan cita-cita pada masa yang sama.

Puan Halimatul Sa’adiah binti Abdullah, wanita hebat yang dilahirkan dan membesar di Felda Kesidang Jengka 8, Pahang ini tidak pernah menjadikan status beliau sebagai pelajar sepenuh masa phD di Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia  sebagai benteng penghalang kepada minat beliau dalam menghasilkan pelbagai produk kecantikan dan penjagaan diri yang berasaskan bahan semualajadi yang kaya dengan kebaikan.

Disamping minat mendalam terdapat penghasilan produk kecantikan, pelajar phD dalam bidang Kesuburan Tanah dan Nutrisi Tumbuhan ini tetap mengutamakan kajian beliau dalam usaha untuk menambahbaik baja sebatian  yang sedia ada di pasaran bagi spesis Aquilaria Malaccensis atau pokok karas yang turut dikenali sebagai pokok gaharu.

Kajian ini dijalankan bagi menyelesaikan permasalahan penanaman pokok gaharu yang tidak mempunyai sistem pembajaan yang betul sehingga ke hari ini dengan menggunakan sisa industri terpilih sebagai potensi bahan salutan baja, disamping untuk melihat reaksi pokok karas terhadap aplikasi baja tersebut dari segi pengambilan nutrien dan kandungan bahan logam berat yang terkumpul dalam tisu pokok serta kadar aplikasi baja yang sesuai. Kajian ini dilihat sebagai mampu menambah baik sektor pertanian di Malaysia, sekaligus membawa nama UPM ke mata dunia melalui kejayaan dalam kajian ini. Melalui hasil kajian ini juga, beliau tidak hanya dapat menambahbaik baja sebatian sedia ada, malahan dapat memberi penyelesaian kepada masalah pengurusan sisa industri.

Melalui kajian ini, beliau berharap agar dapat memberikan informasi terhadap penggunaan sisa industri dalam pertanian seterusnya dapat mengurangkan masalah pengurusan sisa industri tersebut. Sisa industri yang digunakan dalam kajian ini adalah gypsum, steelmaking slag & recycled paper mill sludge.

Dalam masa yang sama, kajian ini turut memfokus kepada kajian ke atas daun pokok karas yang boleh dijadikan sebagai teh, di mana kajian di jalankan bagi mengkaji samada sisa industri yang berkemungkinan mempunyai kandungan logam berat yang tinggi yang digunakan sebagai bahan salutan di dalam baja ini akan diserap hingga ke daun. Kajian ini penting bagi mengenalpasti status dan tahap keselamatan teh yang dihasilkan menggunakan daun pokok karas yang ditanam menggunakan baja yang telah ditambah baik ini.

Puan Halimatul Sa’adiah Abdullah bijak membahagikan masa antara minat dan cita-cita.

“Karas mula ditanam kerana semakin sukar didapati di hutan dan termasuk dalam senarai spesies terancam dan hampir pupus. Tetapi pengetahuan terhadap penggunaan baja dalam perladangan karas di Malaysia masih kurang walaupun kajian penggunaan baja terhadap karas telah lama dijalankan.” katanya.

Tegas beliau lagi, beliau berharap agar beliau dapat mengubah tanggapan masyarakat bahawa penanaman pokok hutan seperti pokok karas tidak memerlukan baja kerana tahan lasak dan boleh hidup sendiri.

“Tanggapan ini kurang tepat kerana sebaik sahaja ditanam di kawasan bukan hutan, keadaan tanah dan persekitaran sudah tidak sama seperti hutan. Nutrien tanah akan berkurangan kerana diserap oleh pokok. Nutrien ini perlu diganti dengan penggunaan baja.”

Dalam pada sibuk dengan kajian beliau, beliau memilih untuk menghasilkan produk kosmetik dengan menggunakan pelbagai bahan semulajadi sebagai hobi. Dalam menghasilkan produk tersebut, beliau banyak menggunakan bahan semulajadi yang sememangnya dekat dengan bidang beliau, termasuklah aloe vera dan minyak zaitun. Walaupun sudah lama berjinak-jinak dengan hobi ini, atas saranan kenalan dan keluarga, beliau mula memasarkan produk-produk yang dihasilkan.

Menurut beliau, hobi ini bermula dengan minat yang mendalam terhadap penghasilan produk-produk kecantikan. Sebelum ini beliau pernah menghasilkan produk seperti sabun dalam bentuk pepejal dan hanya menghadiahkan sabun-sabun tersebut secara percuma kepada kenalan dan keluarga. Namun demikian, beliau telah menambahbaik sabun tersebut dan menghasilkan pencuci muka dalam bentuk cecair. Penambahbaikan ini adalah atas faktor kebersihan dan penjagaan kualiti sabun tersebut sendiri. Hal ini demikian kerana sabun dalam bentuk pepejal adalah lebih mudah terdedah kepada bakteria dan cepat larut apabila terkena air.

Haley Ray Olive Oil Foaming Facial Cleanser adalah sesuai untuk semua jenis kulit serta bebas bahan kimia berbahaya.

Di dalam penghasilan produk penjagaan diri yang dihasilkan, beliau banyak menggunakan bahan semulajadi dan mengelakkan penggunaan bahan-bahan kimia  berbahaya seperti Ethylenediaminetetraacetic acid (EDTA) dan Sodium Lauryl Sulfate (SLS) atau Sodium Laureth Sulfate (SLES) dalam produk kecantikan dan penjagaan diri yang ada di pasaran boleh mengakibatkan pelbagai jenis penyakit termasuk kanser.

Tidak dinafikan, penggunaan bahan kimia di dalam sesuatu produk amat diperlukan. Namun, ianya bergantung kepada jenis bahan kimia yang digunakan. Sebagai contoh, Caustic Potash yang digunakan di dalam produk ini adalah sejenis alkali yang diperolehi daripada pokok dan digunakan bagi menukarkan minyak kepada sabun dan berfungsi untuk membersih, manakala Glycerine digunakan bagi menyerap lembapan di udara dan kelembapan kepada kulit. Kandungan minyak zaitun di dalam produk ini yang juga berfungsi untuk melembap dapat membantu melembapkan kulit dua kali ganda. Maka, produk ini tidak hanya membersih tetapi juga dalam masa yang sama melembapkan kulit.

Walaupun baru beberapa bulan dipasarkan, produk ini sudah mula mendapat sambutan dan Puan Halimatul Sa’adiah sendiri sudah memiliki beberapa agen sah bagi mempromosi dan menjual produk ini. Walaupun beliau hanya meluangkan masa untuk penghasilan produk ini pada hari minggu disebabkan kekangan waktu, beliau tetap komited dalam menghasilkan produk ini bagi memenuhi permintaan pelanggan. Kekangan tersebut tidak pernah menjadi penghalang kepada beliau untuk terus merangka pelbagai pelan dalam memajukan perniagaan yang bermula hanya daripada sebuah minat ini. Antara produk yang bakal dihasilkan adalah scrub untuk bibir, muka dan badan, dan juga wax.

Puan Halimatul Sa’adiah, pengasas Haley Ray Natural Homade Beauty Products

 

Oleh: Siti Hajar Afiqah Muhamad | sitihajarafiqahmhmd@gmail.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.