Home Inspirasi Niaga Anak Gadis “tidak malu” berniaga kecil-kecilan di tepi jalan

Anak Gadis “tidak malu” berniaga kecil-kecilan di tepi jalan

2409
0

Oleh Suzilawani bt Mutapha / 184415

KAJANG– Begitulah antara kata-kata suntikan semangat daripada seorang peniaga muda bernama Nur Nabila binti Jusof. Berusia 22 tahun,  gadis muda yang  gigih dan tidak  mudah berputus asa ini sanggup berhenti kerja semata-mata untuk menolong abang ipar beliau berniaga. “Nasi Bajet Kak Wok” merupakan perniagaan yang diusahakan oleh beliau hampir setahun  dari bulan Februari tahun 2015 di sebuah kanopi kecil  tepi jalan, Kampung Sungai Ramal, Kajang. Berkongsi  kanopi kecil    tersebut dengan seorang kakak,penjual nasi lemak , beliau akan mula berniaga pada pukul 11 pagi selepas kakak tersebut habis berniaga sehingga ke pukul tiga petang pada setiap hari kecuali pada hari Ahad.

Merupakan seorang pelajar pendidikan jarah jauh (PJJ) Universiti Teknologi MARA (Uitm), Shah Alam berjurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan, Nur Nabila yang lebih mesra disapa “Nabila” nekad untuk terus meniaga sehingga kini sementara mendapat tawaran pekerjaan yang lebih baik. Niat baik beliau pada asalnya untuk membantu abang ipar beliau berniaga menjadi titik tolak dalam hidup beliau dalam dunia perniagaan. Memiliki dua cawangan, perniagaan di Sungai Ramal ini dikendalikan oleh beliau seorang diri sementara abang ipar beliau berniaga di Seksyen 10, Bangi.

Nabila anak kelahiran Kelantan ini tampak cekal dan  berjiwa besar apabila menceritakan kembali  keperitan dugaan dan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh beliau sepanjang berniaga. Di awal permulaan perniagaan, beliau  tidak mempunyai lesen kereta untuk mengangkut barang-barang niaga pada waktu pagi ke tempat niaga. Hal ini menyebabkan beliau terpaksa menunggu abang ipar beliau balik daripada kerja dan menghantar beliau ke tempat niaga. Kadang-kadang, beliau akan meminta pertolongan daripada kakak, penjual nasi lemak mengangkut barang-barang niaga  beliau menggunakan kereta kakak  tersebut jika abang ipar  beliau tidak dapat balik dari tempat kerja pada awal pagi. Adakalanya, beliau terpaksa meninggalkan dahulu barang-barang niaga setelah habis berniaga sementara menunggu abang ipar beliau pulang dari tempat kerja dan mengangkut barang tersebut.

Nabila  yang juga bekerja sambilan  pada waktu malam sebagai “sport therapist”, mengambil upah mengurut pernah kehilangan tong gas dan disaman oleh pihak Majlis Perbandaran Kajang semasa berniaga namun dugaan tersebut langsung  tidak mematahkan semangat beliau untuk terus berniaga. Kata beliau, “hadap sahaja apa-apa masalah yang datang, jangan putus semangat dan teruskan.’’ Kenaikan harga barang juga menjadi salah satu cabaran bagi beliau misalnya harga minyak masak, beliau risau jika harga nasi dinaikkan, pelanggan tidak mahu membeli namun  beliau terpaksa juga  menaikan harga  Nasi Kak Wok beliau sebanyak 50sen daripada harga asalnya, empat ringgit. Yang peritnya, pernah ketika hujan turun lebat, kanopi kecil beliau koyak dipukul angin hujan. Perniagaan beliau terjejas dengan keadaan khemah yang sudah bocor namun dia hadapi dugaan tersebut dengan sabar dan tenang.

Nur Nabila Jusoh, peniaga Nasi Bajet Kak Wok 

Anak bongsu daripada sembilan orang adik beradik ini juga turut berkongsi pengalaman beliau di awal perniagaan beliau. Idea awal untuk berniaga adalah disebabkan pada tahun 2015, Nasi Kak Wok menjadi tular di Kelantan dan Kuala Lumpur. Oleh sebab itu, Nabila mula mengorak langkah dengan mencuba nasib berniaga Nasi Kak Wok berinspirasikan resepi daripada saudaranya yang juga berniaga menu yang sama di Cheras. Meskipun, sambutan pelanggan pada awal beliau berniaga agar kurang memberangsangkan  kerana majoriti orang ramai tidak kenal apa itu Nasi Kak Wok namun beliau tidak berputus asa dan cuba mencipta identiti sendiri melalui keistimewaan Nasi Kak Wok beliau.  Menjadikan menu yang dijual sabagai  “Nasi Bajet Kak Wok”, nyata menarik pelanggan untuk datang membeli kerana harga nasi beliau yang  lebih murah  berbanding harga kebiasaan.

Ditambah pula dengan keistimewaan kuah nasi beliau yang menggunakan  serbuk kari asli dari Kelantan dan  beliau juga turut  menambah sayur selain ayam yang kebiasaannya kebanyakkan penjual lain tidak sertakan.Selain itu, menggunakan beras jati memberikan kelainan pada nasi beliau yang lebih lembut jika dibandingkan dengan peniaga lain yang menggunakan beras siam sebagai pilihan. Kini, beliau mempunyai pelanggan tetap selain daripada  orang Melayu, orang india dan orang cina turut membeli Nasi Kak Wok beliau. Ada juga dalam kalangan pelanggan  tetap beliau yang sanggup datang dari jauh  setiap hari misalnya Negeri Sembilan dan Melaka semata-mata untuk membeli Nasi Bajet Kak Wok beliau.

Menurut Nabila, pada setiap hari ahad walaupun beliau bercuti, beliau akan  tetap mengambil sebarang tempahan selain daripada mendapat tempahan harian sebanyak 20 bungkus nasi oleh cikgu sekolah swasta berdekatan.Turut berkongsi rutin harian beliau, beliau akan mula menyediakan barang-barang niaga selepas selesai berniaga dan membeli kesemua barang niaga untuk keesokkan harinya. Beliau akan mula memerap ayam pada waktu petang sehingga keesokkan hari berniaga dan  ayam yang telah diperap akan digoreng di tempat niaga. Kuah kari pula  akan dimasak oleh beliau  pada waktu dinihari. Setiap hari, bermual dari waktu dinihari sehinggalah ke lapan malam, beliau akan manfaatkan sebaiknya untuk  menyelesaikan kesemua hal-hal niaga. Kemudian selepas waktu tersebut sehingga 12 malam adalah masa untuk beliau belajar, menyiapkan tugasan dan mengulangkaji pelajaran sekiranya ada peperiksaan. Dalam kesibukan beliau berniaga dan belajar, keluarga tidak pernah dilupakan. Apabila berkesempatan waktu, beliau akan mencuri masa untuk pulang ke Kelantan dan berjumpa keluarga beliau di sana.

Berbekalkan usaha yang gigih dan berterusan, jualannya kini laris dan sentiasa habis terjual pada setiap hari. Harapan Nabila untuk menambahbaik lagi perniagaan beliau disamping membuka lebih banyak cawangan dan menambah bilangan pekerja serta mempelbagaikan menu untuk menarik lebih ramai pelanggan. Nasihat beliau kepada golongan muda mudi agar berani untuk memulakan perniagaan meskipun hanya berniaga di tepi jalan. Kata beliau lagi, meskipun kita  berpendidikan tinggi, jangan pernah memandang rendah terhadap perniagaan kecil di tepi jalan. Jangan beranggapan apabila kita mempunyai ijazah, tempat yang paling sesuai untuk kita bekerja adalah di pejabat yang selesa dengan penghawa dingin. “Setiap orang berbeza jenis rezekinya, carilah rezeki yang halal dan bantulah mak ayah daripada hanya mengganggur”, nasihat beliau kepada masyarakat.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.