Home Inspirasi Niaga KERETA MENJADI PUNCA REZEKI AINA

KERETA MENJADI PUNCA REZEKI AINA

302
0

Masalah kewangan atau kesempitan duit poket adalah sangat sinonim di kalangan mahasiswa di institut pengajian atau universiti awam mahupun swasta. Kehidupan di menara gading hanya indah khabar dari rupa dan tidak seperti kehidupan di kaca televisyen yang penuh dengan pelbagai momen manis dan seronok. Walhal realitinya, mahasiswa selain dari bergelut dengan cabaran pengajian tetapi mereka sering dibelenggu dan dihambat dengan masalah kewangan yang dilalui oleh mereka dari semester ke semester ketika sedang gigih memahat nama demi segulung ijazah. Walaupun mahasiswa diberi bantuan dari segi pinjaman biasiswa dan elaun, namun ia masih perit untuk mengharungi hari ke hari di dalam tempoh pengajian semester ke semester berikutnya.

Pun begitu, senario itu mendorong kemunculan dan mencetuskan pelbagai inisiatif serta idea kepada mahasiswa untuk menampung kos sara hidup mereka di institut pengajian. Justeru itu, semakin ramai mahasiswa yang nekad untuk memasuki alam keusahawanan atas semangat berdikari bagi meringankan keperitan mereka tanpa bergantung kepada bantuan keluarga. Namun, bagi sebilangan mereka yang ragu-ragu untuk memulakan perniagaan, mereka biasanya akan menanggung penat lelah bekerja sambilan dalam pelbagai sektor seperti di restoran makanan segera dan kedai-kedai baju di pusat membeli-belah.

Sungguhpun begitu, bagi mahasiswa Noraina binti Tinggal atau lebih mesra dikenali sebagai Aina, pelajar jurusan Bacelor Komunikasi di Universiti Putra Malaysia, 23, pula tampil dengan kelainan pekerjaan sambilan iaitu sebagai pemandu untuk perkhidmatan “student cab” atau lebih dikenali oleh ramai mahasiswa di kampusnya iaitu sebagai penyelamat mereka di kala mereka ketinggalan bas dan mempunyai urusan penting di luar kampus. Anak kelahiran Pahang ini mengatakan dengan adanya pekerjaan sambilan ini, ia mengajar dirinya untuk lebih menepati masa dan menguruskan masanya dengan bijak.

Bertanyakan tentang inisiatif yang dipilih, beliau menceritakan tentang rakannya yang menguruskan perniagaan kereta sewa dan “grab car” di UPM memberi idea kepadanya untuk melakukan “student cab” untuk golongan pelajar perempuan sahaja. Pada mulanya, beliau tidak yakin untuk memulakan perniagaan tersebut kerana khuatir atas risiko yang diambilnya. Namun, Aina tetap mencubanya dengan mengambil langkah awal iaitu melakukan perniagaan ini hanya di kalangan rakan-rakannya sehingga ia mendapat sambutan yang tidak kurang hebatnya. Justeru, ia mendorong Aina untuk meluaskan lagi perniagaannya di seluruh kampus UPM. Beliau mempromosi dengan menggunakan media sosial, kemudian ditularkan ke seluruh “group whatsapp” bagi mengiklankan perniagaannya yang beroperasi selepas kelas petang dan pada hujung minggu. Dengan kelebihan sikap peramah dan sering berceloteh yang ada padanya, ia telah menjadi keistimewaan serta tarikan para pelajar untuk menggunakan perkhidmatan beliau. Malah, Aina juga meletakkan harga yang berpatutan menyebabkan para pelajar kian berpusu-pusu sehinggakan beliau tidak menang tangan untuk melayani setiap kehendak pelanggannya itu.

Dalam konteks ini juga, Noraina berkata, kesibukan bekerja sambilan ini bukanlah satu alasan baginya untuk pelajaran terganggu atau mengabaikan kerja khusus yang diberikan oleh pensyarah, sebaliknya ia menjadi sebuah latihan pada dirinya tentang bijak menguruskan serta membahagikan masa dengan penuh efisien dan efektif sekaligus memantapkan persediaannya menerokai pasaran kerjaya selepas bergraduasi nanti. Tambahnya lagi, dengan adanya perniagaan ini, ia tidak menganggu sama sekali pembelajarannya serta penglibatan beliau di kolej. Tegasnya, Beliau seorang MTM Kolej 16 Serumpun dan juga setiausaha kepada beberapa program yang telah dijalankan setiap semester dan pekerjaan sambilan yang beliau lakukan ini tidak sedikit pun menjadi penghalang beliau untuk terus aktif di dalam kolejnya.

Bertanyakan pula mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi olehnya sepanjang menjalankan perkhidmatan “student cab” ini, beliau berkata, salah satu cabaran yang beliau terpaksa hadapi adalah kekangan masa. Beliau sering menolak beberapa pelanggannya kerana jadual bertindih antara kelas, perbincangan kerja khusus serta perjumpaan bersama pensyarahnya. Selain itu, beliau juga menghadapi persaingan yang sangat hebat di dalam kampusnya yang juga menggunakan perkhidmatan yang sama. Tambahnya lagi, beliau juga sentiasa memastikan “maintenance” kereta sentiasa dalam keadaan yang baik dan terpaksa mengasingkan 100++ lebih untuk kos servis kereta setiap bulan walaupun tiada pelanggan atau lebih buruk lagi apabila, “segelintir para pelajar tidak membayar perkhidmatan saya selepas sampai ke destinasi yang ingin dituju malah terus beredar dan tidak memberi respon” ujar beliau yang adakalnya terpaksa meredah hujan bagi memastikan pelanggannya sampai ke tempat yang diminta untuk menghantarnya.

Antara harapan yang diperkatakan oleh pelajar jurusan komunikasi ini ialah, beliau mengharapkan untuk terus menolong para pelajar di UPM yang tiada pengankutan untuk memudahkan mereka bergerak dan menyelesaikan urusakan mereka dengan sempurna. Akhir kata beliau, “rezeki itu ada dimana-mana, apa yang penting adalah kita perlu menolong orang bagi memudahkan urusan mereka, kemudian urusan kita juga akan dijaga dan dimudahkan kelak”.

Ditulis oleh: Badriatul Syafinaz binti Bahrudin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.