Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Mahu Pasti Mampu – Siri 35 ‘sebab, bukan alasan…’

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Mahu Pasti Mampu – Siri 35 ‘sebab, bukan alasan…’

463
0

| Oleh Champ Hussain

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Salah satu pepatah yang sering kita dengar berbunyi: “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.” Satu pepatah yang sangat mengesankan bagi mereka yang mahu mengambil pelajaran. Terlalu banyak di antara kita (termasuk saya) yang selalu memberi alasan atas sesuatu kegagalan atas sebab-sebab yang kadangkalanya terlalu remeh dan tidak masuk akal. Ketika di zaman bangku sekolah, saya merupakan antara pelajar nakal dan tidak berdisiplin yang selalu datang lewat ke sekolah kerana bangun lambat. Ketika dalam perjalanan berbasikal, saya akan sentiasa memikirkan apakah lagi alasan yang belum pernah digunapakai untuk diberikan kepada pengawas bertugas di pintu masuk atau kepada guru bertugas pada hari tersebut untuk melepaskan diri dari didenda atau dikenakan Detention yakni ditahan selepas habis waktu dan hanya dibenarkan pulang lebihkurang sejam selepas itu. Memandangkan selalunya sudah terlalu banyak alasan yang diberi dan selalunya tidak masuk akal, saya tetap menerima padahnya…he he

Alasan untuk tidak berbuat memang mudah dicari dan diberi. Hanya memberi alasan “itu tak boleh”, “ini tak boleh”, “Itu susah” memang senang. Malahan kita boleh buat senarai berkajang-kajang panjangnya tentang apa yang tak boleh namun ianya tidak akan membawa kita ke mana-mana. Apa yang lebih penting ialah mencari sebab yang kuat dan kukuh untuk kita berbuat sebagaimana satu lagi pepatah yang berbunyi: “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.” Pepatah-pepatah begini sebenarnya sudah digunapakai oleh Nenek Moyang kita sejak berkurun lamanya sebagai pencetus motivasi samada untuk diri mereka sendiri atau sebagai inspirasi untuk anak cucu kerana mereka sudah masak dengan perangai manusia.

Kita ambil contoh Teori X dan Y Douglas MacGregor (seorang profesor pengurusan di MIT Sloan School of Management) yang mengambilkira dua sisi iaitu ‘X’ dan ‘Y’ dalam konsep motivasi. Teori ‘X’ merupakan pandangan tradisional yang melihat sisi negatif dari seorang individu, dan sebaliknya teori ‘Y’ merupakan pandangan tentang manusia moden yang melihat hal-hal positif dari individu dalam organisasi.

Mereka yang dikategorikan sebagai X dianggap sebagai mereka yang malas, tiada inisiatif, perlu dipaksa untuk berbuat sesuatu, tidak mahu mengambil tanggungjawab, tidak berdisiplin, suka ponteng kerja (mengular), banyak bagi alasan apabila tidak dapat melaksanakan sesuatu kerja dengan baik dan pelbagai lagi sifat negatif yang ditonjolkan. Ini adalah watak-watak yang menyebabkan banyak organisasi tidak dapat berkembang dengan baik dan cepat kerana alasan-alasan yang kadangkala direka oleh golongan X ini. Mereka adalah antara penyebab utama yang menjadi halangan yang membantutkan pertumbuhan dan pembangunan sesebuah organisasi.

Manakala mereka yang dikategorikan sebagai Y pula sebaliknya adalah mereka yang rajin, sentiasa menunjukkan inisiatif, berdisiplin, suka memberi idea-idea yang bernas, suka dan berani mengambil tanggungjawab, banyak mencari sebab untuk membantu organisasi untuk lebih berkembang maju, merasa bersalah sekiranya tidak dapat melaksanakan kerja dengan baik dan akan berusaha sedaya upaya untuk memperbaiki kelemahan diri dan menonjolkan pebagai lagi sifat-sifat positif bukan sahaja untuk kebaikan diri sendiri tetapi juga untuk orang-orang di sekitar mereka. Personaliti seperti ini sentiasa menampilkan nilai-nilai murni dalam diri mereka untuk dimanfaatkan bersama. Inilah kategori insan cemerlang yang sentiasa mahu berbuat kebaikan, berfikiran positif dan mempunyai kemampuan untuk mencapai hasrat hati mereka.

Sebenarnya teori tersebut hanyalah dikembangkan dari ayat Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang dirakamkan dalam ayat berikut:-

“Apakah orang-orang beriman itu sama dengan orang-orang yang fasik? Mereka tidak sama.” Surah As Sajdah (32) ayat (18)

Kita sedia maklum bahawa orang-orang beriman itu mempunyai ciri-ciri Y sementara orang-orang fasik yakni mereka yang tidak berdisiplin pula terdiri daripada orang-orang X. Jika kita perhatikan juga, X (atau NO) bermakna ‘tidak’ seperti dalam mesej-mesej WhatsApp seperti ‘xda’ (tidak ada), ‘xmo (tidak mahu), xyah (tak payah) dan lain-lain perkataan yang didahului dengan X manakala Y pula mewakili YES iaitu tanda setuju. Insan cemerlang memiliki semua ciri-ciri orang beriman dan faham serta yakin bahawa seandainya apa yang dilaksanakan tidak membuahkan hasil sebagaimana yang diharapkan, ianya adalah ujian sementara dari Allah SWT. Dengan kemahuan yang didasari tawakkal hanya kepada Allah SWT, insan cemerlang yakin Allah SWT akan menganugerahkan kemampuan untuk pencapaian yang lebih tinggi dan hasil yang jauh lebih baik…

Sebagai rangkuman: –

  1. Sebab dan alasan adalah dua perkara yang sangat berbeza. Sebab menjadi pemangkin untuk bertindak sementara alasan menjadi penghalang yang malang.
  2. Hindari diri dari dikategorikan sebagai golongan X dan berusahalah sedaya upaya untuk masuk ke dalam kategori Y.
  3. Kemahuan yang kuat berdasarkan tawakkal in shaa Allah akan diberi kemampuan dari Allah SWT.

Bagi alasan memang mudah

Ashik susah tak sudah-sudah

Jika disemat suatu kemahuan

In shaa Allah dicukupkan dengan kemampuan

Salam cakna, ceria dan cemerlang…

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين

Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.