Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Masih Ada Harapan – Siri 21

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Masih Ada Harapan – Siri 21

363
0

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Masih Ada Harapan – Siri 21
menongkah ujian dan cabaran…

| Oleh Champ Hussain

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Apabila kita berbicara tentang kecemerlangan, kita akan mendapati bahawa hampir semua sifat-sifat yang baik dan terpuji dalam kamus boleh digunapakai untuk mencerminkan betapa kecemerlangan itu bukan hanya bicara tentang satu-satu aspek semata-mata tetapi ianya syumul (menyeluruh dan sempurna) kerana ianya adalah satu perjalanan yang panjang dan kadangkala meletihkan. Namun itulah hakikat mengenai kecemerlangan, ianya tidak akan muncul sendiri tetapi harus dicari, ianya pastinya tidak mudah namun tidak semestinya susah, ianya bukan untuk yang kerap berputus asa tetapi yang berharap sentiasa.

Mengapa harapan menjadi satu asas yang amat penting dalam kecemerlangan? Harapan adalah sesuatu yang sentiasa menjadi kekuatan insan yang cemerlang kerana ianya menjadi satu motivasi diri yang sangat berkesan. Sebagaimana ganjaran yang menjadi pencetus motivasi, harapan adalah sesuatu yang abstrak yang hanya difahami oleh sesorang itu sendiri sahaja. Ia adalah doa khususnya untuk muslim sejati.

Kita sedia maklum, setiap insan yang cemerlang melalui berbagai onak dan ranjau di dalam mencapai kejayaan yang mereka idam-idamkan dan acap kali mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai situasi yang mencabar. Sekiranya kejayaan yang begitu hampir terlepas dari genggaman, tentulah seseorang itu akan merasa kecewa dan berputus asa. Ini sememangnya lumrah kehidupan. Sebab itulah juga tidak ramai orang yang walaupun pada hakikatnya berjaya namun tidak mencapai kecemerlangan yang sebenar.

Sebagai orang Islam pastinya kita sudah biasa atau paling tidakpun, pernah mendengar kisah sedih baginda Rasullulah SAW (diiringi Zaid bin Haritsah) yang menyebarkan dakwah ke Thâ’if di mana bukan sahaja dakwah Baginda tidak diterima malahan Baginda dan Zaid dilontar batu dan dicaci maki sehingga berlumuran darah seluruh tubuh badan Baginda yang mulia itu. Walaupun diperlakukan dengan begitu kejam dan dihina dengan begitu biadab oleh penduduk Thâ’if, Baginda yang berhati mulia tetap menolak apabila Jibril yang diutus Allah SWT bersama malaikat penjaga gunung yang menunggu perintahnya untuk meratakan al Akhasyabain (dua gunung di Makkah, yaitu Gunung Abü Qubais dan yang di seberangnya, Qaiqa’ân) terhadap penduduk Thâ’if.

Sebaliknya Baginda bersabda:

“Jangan. Siapa tahu Allah akan mengeluarkan seseorang yang mengucapkan (kalimat) Tiada Tuhan selain Allah dari rahim mereka,” jawab Baginda Rasulullah SAW.

Sebelum dikunjungi Jibril, Baginda telahpun berdoa kepada Allah SWT: –

“Ya Allah, aku mengadu kepada-Mu atas lemahnya kekuatanku dan sedikitnya usahaku serta kehinaan diriku di hadapan manusia. Engkaulah Tuhan semesta alam, Pelindung orang-orang yang lemah dan Engkaulah Pelindungku. Kepada siapa hendak Engkau serahkan diriku. Kepada orang yang jauh yang menyerangku ataukah kepada Zat yang dekat yang mengatur urusanku. Asalkan Engkau tidak murka kepadaku, aku tidak peduli. Aku berlindung terhadap cahaya wajah-Mu Yang menerangi kegelapan dan karenanya membawakan kebaikan bagi dunia dan akhirat, dan kemurkaan-Mu yang akan Kautimpakan kepadaku. Engkaulah Yang berhak menegur hingga berkenan pada-Mu. Dan tiada daya dan upaya selain dari Engkau.”

Begitu suci, murni dan tulus sekali hati Baginda yang masih mengharapkan akan ada kebaikan yang akan muncul di sebalik episod kesengsaraan, derita dan duka nestapa yang Baginda lalui dan ianya dijawab Allah SWT apabila salah seorang perawi hadis yang sangat terkenal datang dari kota yang pernah merakamkan kisah menyayat hati baginda iaitu Abu Hurairah R.A. Di situ jugalah Baginda telah berjaya mengIslamkan seorang hamba iaitu Addas yang beragama Nasrani sewaktu berlindung di sebuah ladang anggur. Bahkan bukan itu sahaja, Islam akhirnya berjaya disebarkan sehingga hampir ke seluruh pelusuk dunia berkat kesabaran, kesungguhan dan harapan Baginda untuk melihat ianya ditegakkan demi mentauhidkan Allah SWT.

Untuk bacaaan lanjut, sila klik pautan berikut:-

https://sirah-nabawiyyah.blogspot.com/2015/12/kisah-sedih-rasulullah-sewaktu-di-thaif.html

Berapa ramaikah di antara kita yang sudah pernah berputus asa dan pernah berhenti setelah 10 atau 20 kali cubaan? Usahkan 100 atau 200 kali, 3 atau 4 kali selalunya pun sudah mencukupi kerana kita selalunya sudah tidak tahan dengan dugaan yang dilalui dan kadangkala mula luntur semangat untuk meneruskan perjuangan. Ramai mereka yang berjaya hari ini adalah disebabkan keyakinan dan harapan mereka yang menggunung bahawa apa yang mereka kerjakan selama ini akan membuahkan hasil satu hari nanti asal saja mereka sanggup untuk terus bersabar, berusaha dan bertawakal pada Ilahi.

Ini terbukti melalui berbagai-bagai contoh di hadapan mata kita dan banyak kisah-kisah kejayaan yang dipaparkan di Layar Perak mahupun di kaca televisyen seperti: ‘The Pursuit of Happyness’, ‘The Shawshank Redemption’, ‘The Blind Side’, ‘Pay It Forward’ dan banyak lagi kisah-kisah benar sebagai tauladan yang boleh kita ambil. Begitu jugalah dengan tokoh-tokoh terkenal dunia seperti Abraham Lincoln (Presiden Amerika yang ke16), Nelson Mandela (Presiden Afrika Selatan anti-apartheid berkulit hitam yang pertama), Alexander Graham Bell (pencipta telefon), Thomas Elva Edison (pencipta mentol) dan Colonel Sanders (KFC). Namun yang pasti, tiada yang dapat menandingi contoh yang paling baik iaitu junjungan kita sendiri iaitu Nabi Muhammad SAW yang telah melalui berbagai-bagai halangan dan rintangan di dalam menyebarkan syiar Islam.

Harapan dan kepercayaan yang kukuhlah yang membuatkan tokoh-tokoh ini berani menempuh segala penderitaan yang berdatangan dan hampir tidak pernah berhenti menguji mereka. Namun sebagaimana kata Allahyarham Tan Sri Dato’ Jins Shamsuddin dalam filemnya ‘Esok Masih Ada’; selagi burung masih berkicau, selagi laut masih ada pasang surutnya dan selagi mentari masih bersinar, teruskanlah perjuangan.

Kita haruslah mencontohi semua tokoh tokoh tadi di dalam mengharungi hari-hari kita kerana tiada manusia yang lahir di dunia ini tanpa cabaran. Tetapi selagi kita mempunyai harapan dan berani menongkah arus ujian, cabaran dan dugaan, peluang kita masih terbuka, harapan kita masih ada, in shaa Allah.

Sebagai rangkuman, mari kita renungi kembali, hayati dan berusaha untuk mempraktikkan hal-hal yang berkaitan dengan ganjaran:

  1. Harapan yang menggunung menjadi kekuatan dalam mencapai kecemerlangan.
  2. Ujian, dugaan dan cabaran adalah seiring dengan harapan yang tinggi kerana tiada kesenangan tanpa kesusahan.
  3. Dalam apa hal sekalipun, jangan pernah putus mengharap pada Yang Maha Esa.

Akhir kata: –

Memang hidup penuh cabaran

Untuk manusia maupun haiwan

Mencabar diri menguji ketahanan

Sebagai mengenal erti harapan

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya…

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.