MENELUSURI KECEMERLANGAN – Mengerjakan Rancangan – Siri 9
‘in shaa Allah dalam perancangan…’
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
“Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan tentang sesuatu: “Sesungguhnya aku akan mengerjakan ini besok pagi, kecuali (dengan menyebut): “In shaa Allah”. Dan ingatlah kepada Tuhanmu jika kamu lupa dan katakanlah: “Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya dari pada ini”. Al Kahfi (18) ayat 23&24
Dengan nama Allah SWT dan ilham dan petunjuk dari Nya…
Merancang kerja dan mengerjakan rancangan adalah dua perkara yang berbeza kerana ramai yang mampu merancang dengan begitu mantap namun gagal di peringkat perlaksanaan. Rancangan merupakan peta jalan ke arah sesuatu destinasi iaitu objektif yang ingin dicapai. Sememangnya kita sebagai manusia biasa hanya mampu merancang tetapi yang menentukan ialah Allah SWT.
Dalam siri kali ini dan sehubungan dengan Hari Raya Aidil Adha yang bakal menjelang tiba tak lama lagi, saya nak berkongsi satu kisah dari sebuah sebuah buku cerita-cerita pendek yang bertajuk Himpunan Kisah-kisah Lucu – 1001 Senyum. Salah satu daripada cerita yang menarik perhatian saya yang ingin saya kongsikan bertajuk ‘In shaa Allah Hilang’. Cerita nya begini…
Beberapa hari menjelang Hari Raya Aidil Adha, seorang lelaki datang kepada seorang Tuan Guru pondok.
Beliaupun berkata kepada Tuan Guru tersebut “Pada Hari Raya Aidil Adha ini saya akan berkorban seekor lembu dan akan disembelih di pondok ini”.
‘Ucapkan “In shaa Allah saya akan berkorban”’ tegur Tuan Guru tersebut.
“Tidak, sudah pasti Tuan Guru, kerana lembunya sudah tersedia” kata lelaki itu berkeras.
“Betul, walaubagaimanapun, ucapkan in shaa Allah” kata Tuan Guru lagi.
“Ya in shaa Allah saya akan berkorban” kata si lelaki seperti agak terpaksa.
Kemudian dia pulang ke rumahnya. Sehari sebelum Hari Raya Aidil Adha dia datang lagi kepada Si Tuan Guru.
“Anu, Tuan Guru,” kata si lelaki agak malu.
“Kenapa?” tanya Tuan Guru.
“Saya tidak jadi berkorban.”
“Mengapa?” Tanya Tuan Guru sekali lagi.
“Lembunya in shaa Allah hilang.”
“Itu bukan in shaa Allah lagi. Cakap saja “lembunya hilang”, kata Tuan Guru sambil tertawa.
Kemudian Tuan Guru menerangkan bahawa setiap yang akan dikerjakan atau apa saja yang belum terlaksana kita mesti mengucapkan in shaa Allah, jangan dipastikan. Sebaliknya jika sesuatu itu sudah terjadi, tidak perlu mengucapkan in shaa Allah lagi. Seperti jika ditanya orang “Sudah makan?”, kalau memang sudah makan jawab ‘sudah’, jangan ‘in shaa Allah sudah’.
Iktibar yang dapat kita perolehi dari cerita ini memang sama dengan apa yang disampaikan oleh guru tersebut tetapi dengan sedikit penambahan yang terkait dengan perancangan dalam kecemerlangan.
Kebanyakan orang (walau bukan semua) banyak mengunakan perkataan in shaa Allah dalam konteks yang agak negatif. Contohnya apabila kita berjanji pukul 8.00 malam, kita akan berkata in shaa Allah supaya sekiranya kita lewat, kita mempunyai alasan, “Kan saya dah kata in shaa Allah tadi?” Mungkin memang benar kita terlewat kerana sesuatu hal tetapi acap kali ia digunakan untuk menepis dari diri kita dipersalahkan. Samalah dengan halnya apabila kita mendapat jemputan samada ke majlis perkahwinan atau kenduri doa selamat, kita sering mengatakan ‘in shaa Allah’ walaupun kita tahu kita mempunyai hal pada tarikh dan waktu yang sama sedangkan kita boleh saja berterus terang dengan mengatakan yang benar dan memberitahu andai hal tersebut selesai lebih awal, in shaa Allah kita akan datang.
Dalam membuat perancangan yang mantap, insan yang cemerlang akan mengambilkira pelbagai faktor antaranya objektif, sarana, masa dan kemampuan diri termasuk keterbatasan diri dan keadaan untuk memastikan kejayaan rancangan tersebut tercapai. Rancangan yang berjaya tidak semestinya memerlukan kertas kerja yang berkajang-kajang tapi cukup dengan sehelai kertas namun dengan kejelasan objektif, keyakinan diri serta bertawakkal kepada Allah SWT.
Jadi gunakanlah ‘in shaa Allah’ dalam konteks yang positif dan meyakinkan. Sekiranya kita rancang dengan teliti sesuatu perkara, in shaa Allah Allah SWT akan membantu kita mencapai kejayaan mengikut rancangan kita itu. Maka hendaklah kita menjadi insan yang cemerlang dengan menggunakan in shaa Allah yang bersifat positif.
Sebagai rangkuman, insan yang cemerlang adalah mereka yang: –
- Faham dengan takrif dan pengunaan konsep ‘in shaa Allah’ yang betul dan positif.
- Membuat perancangan dengan mengambilkira semua aspek bukan sahaja yang berbentuk fizikal semata-mata tetapi juga spiritual kerana segala perancangan tertakluk kepada keizinan Ilahi.
- Redha dengan keputusan yang dicapai yakni samada berjaya atau sebaliknya belum berjaya dan menganggapnya sebagai proses pembelajaran.
Berdalih memang perkara mudah
Untuk mereka yang tak mahu susah
Rancanglah masa depan untuk kecemerlangan
In shaa Allah termakbul kuasa Tuhan
Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya
هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.
* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.
* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474