Ladang Penternakan Kuda Rembau Tarik Perhatian Sebagai Destinasi Pilihan Aktiviti Berkuda
REMBAU, 14 Dis โ Terletak di kawasan hijau seluas 60 ekar, Ladang Penternakan Kuda Rembau Sdn. Bhd. kini muncul sebagai destinasi pilihan utama bagi peminat sukan berkuda. Dengan lebih 40 ekor kuda yang dijaga rapi, ladang ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti penunggangan kuda, kursus berkuda, memanah berkuda, serta program latihan korporat dan aktiviti membina pasukan.
Pemilik ladang, Zarina Ismail, yang mesra disapa sebagai โAuntieโ, bersama suaminya Wak Lan Kuda, memberikan sentuhan peribadi dalam menguruskan ladang ini. Pasangan ini bukan sahaja memastikan haiwan-haiwan di ladang mendapat penjagaan terbaik, malah mereka turut menyambut tetamu dengan layanan mesra.
Menurut Auntie, visi mereka adalah untuk memperkenalkan sukan berkuda kepada lebih ramai rakyat Malaysia.
โKami ingin menjadikan ladang ini sebagai platform untuk semua lapisan masyarakat, daripada mereka yang ingin mencuba pengalaman pertama menunggang kuda hingga mereka yang serius mendalami sukan ini,โ katanya.
Aktiviti Berkuda & Program Unik
Antara aktiviti popular di ladang ini termasuk penunggangan kuda asas, yang sesuai untuk semua peringkat umur. Bagi mereka yang ingin mencabar diri, memanah berkuda adalah tarikan unik yang menggabungkan seni tradisional dengan elemen moden.
Selain itu, Ladang Penternakan Kuda Rembau juga dikenali sebagai lokasi strategik untuk program corporate training dan team building. Aktiviti seperti berkuda, memanah, dan pelbagai permainan outdoor dirangka khusus untuk memperkukuh kerjasama dan semangat kepimpinan dalam kalangan peserta.
Sahabat saya, Sadam, yang juga seorang content creator, meluahkan keterujaannya selepas mencuba aktiviti berkuda buat kali pertama.
โPengalaman menunggang kuda di sini sungguh luar biasa! Bukan sekadar menyeronokkan, malah ia juga peluang untuk saya menghasilkan konten kreatif. In Shaa Allah saya akan datang lagi ke sini,โ katanya.
Destinasi Pilihan Berdekatan Kuala Lumpur
Hanya kira-kira sejam perjalanan dari Kuala Lumpur, lokasi ladang ini menjadikannya tempat percutian ideal untuk melarikan diri daripada kesibukan kota. Dikelilingi suasana hijau yang mendamaikan, ia juga menjadi pilihan bagi mereka yang ingin menikmati pengalaman yang menyegarkan bersama keluarga atau rakan-rakan.
Bagi yang berminat, Ladang Penternakan Kuda Rembau membuka pintunya untuk lawatan dan aktiviti setiap hari, dengan tempahan awal diperlukan untuk kursus berkuda dan program korporat.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi ladang ini melalui laman media sosial rasmi mereka.
Oleh: Baharim Sukari | baha@m-niaga.com.my