Tengkolok (Jawi: تڠكولوق) atau tekuluk, kuluk, destar, tanjak, bulang hulu dan setangan kepala merupakan sejenis sarung alas kepala yang dipakai secara tradisi dalam kalangan masyarakat Melayu banyaknya dalam kalangan kaum lelaki namun ada juga kaum wanita yang memakainya jua; ia diperbuat daripada kain songket panjang yang dilipat-lipat dan diikat dalam gaya (solek) yang tertentu.
Nama
Mengikut Kamus Dewan, istilah “tengkolok”, “destar”, dan “setanjak”/”tanjak” adalah bersinonim; selain yang diterangkan di atas, perkataan “tengkolok” juga merujuk kepada “kain penutup kepala atau selubung (daripada sutera dll) yang dipakai oleh wanita”, pengertian tengkolok sebagai alas kepala wanita jarang digunakan hari ini melainkan di sesetengah tempat seperti di Jambi mahupun secara penurunan melalui bahasa serumpun lain (misalnya tikuluak dalam bahasa Minangkabau). Kata dasar ia adalah “kuluk”.
Akan tetapi, sesetengah pihak mengatakan bahawa tengkolok, destar, dan tanjak adalah berlainan dari segi jenis kain dan/ atau ikatan walaupun sama kegunaannya, yang mana tengkolok merupakan alas kepala buatan kain bermutu yang lilitannya berlapis (tebal) dan meruncing ke atas; “destar” pula lilitannya rendah dan nipis berbanding tengkolok; “tanjak” pula lilitannya seperti tengkolok, tetapi kainnya lebih ringkas dan nipis.
Solek
Tengkolok boleh dibuat dalam pelbagai jenis bentuk dengan jenis dan corak kain yang berlainan mengikut taraf sosial pemakainya. Nama am bagi bentuk tengkolok yang berlainan itu ialah “solek”. Setiap solek tengkolok yang berlainan ini turut diberikan nama khas, misalnya: tengkolok yang dipakai oleh Yang di-Pertuan Agong Malaysia dalam majlis istiadat pertabalan sejak negara zaman kemerdekaan, dikenali sebagai “Solek Dendam Tak Sudah”. BoleSetiap Raja Melayu masing-masing memakai solek tengkolok yang khusus. Misalnya, Sultan Selangor memakai “Solek Balung Raja” berwarna serba kuning emas ketika menghadiri majlis pertabalan atau hari keputeraan baginda.