Home Inspirasi Niaga Kolaborasi UPM – Ficus Group Capital dan Zoepnano Tingkat Komersial Inovasi

Kolaborasi UPM – Ficus Group Capital dan Zoepnano Tingkat Komersial Inovasi

275
2

Disediakan oleh: Nor Azizah Ismail

SERDANG, 14 Mac – Universiti Putra Malaysia (UPM) telah memeterai memorandum perjanjian bersama dua rakan strategik industri iaitu Ficus Group Capital Sdn Bhd (Ficus GC) dan ZoepNano Sdn Bhd dalam satu majlis pertukaran dokumen yang diadakan secara hibrid pada 14 Mac 2022 di Galeri Putra, Bangunan Canselori UPM.

UPM ke arah usaha mempergiatkan hubungan kerjasama dengan pihak industri dalam pelbagai bidang. Antaranya ialah melalui permeteraian Memorandum Persefahaman di antara UPM dan Ficus GC yang bertujuan untuk memupuk dan memperkembangkan akitiviti yang berkaitan dengan keusahawanan dalam ekosistem inovasi UPM. UPM juga merupakan universiti pertama dalam negara yang menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Ficus GC.

Ficus Group Capital Sdn. Bhd. adalah sebuah Syarikat Pengurusan Modal Teroka patuh Shariah pertama di dunia yang ditubuhkan pada tahun 2018. Pelaburan Ficus GC tertumpu kepada Modal Teroka Patuh Shariah dalam sektor teknologi yang berpotensi di seluruh Asia Tenggara.

Melalui kerjasama ini, UPM akan menjadi universiti tempatan pertama yang menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Ficus GC. Ficus GC akan memberi tumpuan untuk membantu syarikat pemula di bawah program InnoHub Putra Science Park (PSP) UPM mengkomersilkan hasil inovasi UPM dan memastikan bahawa mereka mampu menyampaikan teknologi yang teguh dan berskala yang boleh mengukuhkan ekosistem permulaan teknologi tempatan kami.

“Kami berbangga menjadi sebahagian daripada pengembangan aktif ekosistem permulaan InnoHub UPM dengan menyediakan lebih banyak jalan dalam mempercepatkan potensi perniagaan mereka,” kata Abdullah Hidayat, Pengarah Eksekutif, Ficus Group Capital.

Timbalan Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Nazamid Saari berkata melalui kerjasama tersebut akan dapat memberi impak yang signifikan kepada kedua-dua pihak seperti mewujudkan peluang pelaburan baharu bagi sektor teknologi, pembiayaan atau penasihat dana, menjayakan pengkomersilan harta intelek kepada UPM, serta memperkukuhkan lagi latihan sumber manusia.

Selain itu, majlis ini juga melibatkan pertukaran dokumen memorandum perjanjian pelesenan (MoA) teknologi Nanoselulosa Biomas Sawit dengan syarikat ZoepNano Sdn Bhd. Teknologi nanoselulosa ini dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik UPM yang diketuai oleh Prof. Ts. Dr. Hidayah Ariffin dari Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul.

ZoepNano Sdn. Bhd. merupakan syarikat pemula (start-up) di bawah program Innohub Putra Science Park UPM. Melalui pengkomersilan teknologi ini, secara tidak langsung menjadikan ZoepNano Sdn. Bhd. sebagai syarikat tempatan pertama yang menghasilkan nanoselulosa daripada sisa biomas sawit di Malaysia dan di peringkat global. Nanoselulosa yang terhasil dari biomas sawit mempunyai ciri-ciri yang setanding dengan nanoselulosa yang dihasilkan dari sumber kayu di negara maju seperti USA, Kanada dan Eropah.

Menurut Prof. Ts. Dr. Hidayah Ariffin, nanoselulosa adalah bahan yang versatil dan memiliki sifat istimewa seperti kuat daripada segi mekanikal, mempunyai luas permukaan spesifik yang tinggi, boleh diperbaharui serta boleh terurai secara bio (boleh biodegradasi) dan dapat digunakan di dalam pelbagai pembangunan produk industri seperti industri plastik pembungkusan, produk kosmetik serta farmaseutikal, bahan binaan kenderaan, pemprosesan kertas dan cat serta pelapis.

“Inovasi ini telah dilaksanakan dengan kerjasama daripada pihak Kyushu Institute of Technology, dan mendapat tajaan geran penyelidikan daripada Japan Science and Technology Agency (JST), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta tersenarai sebagai penerima Geran Validasi Pasaran dari PSP UPM,” tambah beliau.

Lebih membanggakan, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat ZoepNano Sdn Bhd, Dr. Liana Noor Megashah juga merupakan alumni UPM dan usahawan muda yang berani mengambil risiko di dalam dunia perniagaan melalui program bimbingan InnoHub PSP UPM sebagai syarikat pemula. Program InnoHub terbukti berkesan dalam memupuk usahawan teknologi yang menterjemahkan teknologi dan inovasi UPM menjadi produk berdaya maju hingga ke pasaran dunia.

Turut hadir bagi menyempurnakan majlis pertukaran dokumen itu ialah YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohd Hair Bejo, Pengarah Putra Science Park, UPM, En Nor’Azamin Salleh, Pengerusi, Ficus Group Capital Sdn Bhd, Pn. Rina Neoh, Pengarah Urusan, Ficus Group Capital Sdn Bhd serta Dr. Liana Noor Megashah, Ketua Pegawai Eksekutif ZoepNano Sdn. Bhd.

Maklumat lanjut berkaitan inovasi / pengkomersialan hasil penyelidikan UPM:
Cik Nor Azizah Ismail
Pegawai Eksekutif
Bhgn. Promosi dan Pengkomersilan Inovasi
Putra Science Park UPM
i_norazizah@upm.edu.my

2 COMMENTS

Leave a Reply to Asrizam Esam Cancel reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.