بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Samada bicara tentang perniagaan, pendidikan, sukan, kesenian atau apa sahaja bidang yang diceburi, ianya bukan bicara biasa. Untuk mereka yang masih punya pendapatan tetap atau sudah mempunyai sijil samada Diploma atau Ijazah dan yang merasakan diri mereka sihat, mungkin bidang-bidang yang diceburi hanyalah sekadar untuk mengisi masa lapang atau hanya untuk suka-suka. Ianya tidak mempunyai keistimewaan atau tidak diletakkan nilai yang tinggi padanya. Maka ianya hanya seperti angin yang berlalu dan menjadi salah satu sebab utama ramai yang sukar mencapai kejayaan apa lagi kecemerlangan.
Namun bagi mereka yang punya aspirasi untuk membangun perniagaan yang bukan sahaja dapat menjana pendapatan tapi juga untuk membangunkan ekonomi atau untuk menimba ilmu dan menggunakan ilmu tersebut untuk tujuan yang bermanfaat atau untuk memastikan tubuh badan yang sihat atau apa sahaja niat untuk kebaikan diri, keluarga dan masyarakat, tak kira apa sahaja bidang yang diceburi harus diambil serius kerana hanya dengan menunjuk dan memberikan keseriusan, komitmen, mengamalkan disiplin diri yang tinggi dan istiqomah sahajalah kita akan beroleh kejayaan sebagaimana yang didambakan.
Insan yang cemerlang sedar bahawa tidak ada kejayaan apa lagi kecemerlangan yang akan datang bergolek begitu sahaja walaupun adakalanya Allah SWT mentakdirkan seseorang itu tidak perlu bersusah payah sebagaimana orang lain untuk berjaya. Namun secara umumnya, statistik menunjukkan bahawa kejayaan diperolehi setelah melalui susah payah, onak ranjau dan pelbagai halangan, rintangan dan cabaran. Inilah hakikat kehidupan. Bak kata pepatah ‘Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’.
Atas dasar inilah kita dapat lihat bagaimana perbezaan iltizam (commitment) yang ditunjukkan oleh mereka yang benar-benar serius berbanding mereka yang hanya bersifat ‘ala kadar’, hanya sekadar ‘melepaskan batok di tangga’ atau hanya untuk ‘suka-suka’. Berbuat sesuatu dengan separuh hati apalagi dalam keadaan terpaksa selalunya hanya akan menyebabkan kekecewaan dan berakhir dengan kedukaan manakala mereka yang bersungguh-sungguh dalam upaya untuk menggapai kecemerlangan akan berkesudahan dengan kemanisan, kenikmatan dan kebahagiaan.
Sememangnya apabila kita menceburi apa sahaja lapangan, kita sering diingatkan agar sentiasa memberi tumpuan dalam melaksanakan kerja-kerja yang berkaitan dengan bidang tersebut. Mengambil sikap acuh tak acuh akan hanya membuat kita hilang fokus sekaligus membuatkan perkara tersebut menjadi sia-sia. Semuanya ini sebenarnya telah dididik sejak kita kecil oleh orangtua kita tentang nilai-nilai murni yang berlandaskan kepada sesuatu prinsip atau dasar khususnya yang berteraskan Al Qur’an dan As Sunnah.
Contohnya sebagai umat Islam, kita telah dididik tentang cara untuk solat sejak dari belum memulakan solat iaitu membersihkan anggota badan dengan berwudhu’ dengan sempurna, memakai pakaian bersih dan disunatkan memakai wangi-wangian, solat di Masjid, Surau atau tempat yang bersih dari kotoran.
Tatkala azan berkumandang, kita disarankan untuk menghormati azan tersebut dengan bertafakkur dan menjawab laungan dengan ucapan-ucapan yang diajarkan dan membaca doa seusai azan tersebut. Apabila sampai waktu iqamah iaitu solat akan didirikan, kita harus menghindarkan pemikiran dari sebarang hal keduniaan dan memberi tumpuan penuh kepada solat tersebut. Sebaik solat didirikan, kita harus memastikan setiap rukun solat dipenuhi sebaik mungkin agar ianya tiada cacat cela dan yang paling utama agar ianya diterima Allah SWT.
Benar, ianya memang tidak mudah. Hatta, insan cemerlang juga mengalami cabaran yang sama namun mereka tidak membiarkan keadaan menguasai mereka tapi mengambil langkah-langkah pencegahan atau tindakan-tindakan yang sesuai untuk memastikan keadaan apa sekalipun di bawah kawalan mereka. Walaupun ramai manusia suka melawak namun dalam bidang komedi sekalipun, pelawak-pelawak terkenal (Stand-up Comics) mengatakan ada mengatakan ‘If you want to be funny, you have to be serious’ atau ‘Jika anda ingin menjadi lucu, anda harus serius’. Dalam ertikata lain tiada bidang yang diceburi boleh dibuat sambil lewa.
Mari kita benar-benar serius dalam apa sahaja perkara yang kita buat untuk memastikan apa yang kita impikan, rancangkan, usahakan dan ingin kecapi benar-benar menjadi kenyataan. Serius tidak bermakna kita harus bermasam atau melaksanakan tugas dengan muka yang ketat. Kita masih boleh menikmati apa sahaja yang kita lakukan secara serius namun menikmati kerja yang kita lakukan itu dengan senyuman dan hati yang girang. Sesungguhnya kehidupan kita yang sangat sementara di dunianya sewajarnya dipenuhi secara serius dengan pelbagai manfaat agar menjadi kemaslahatan kepada ummah dan bukannya asbab menjadi musibah dengan menjadikan segala-galanya hanya untuk sekadar suka-suka. Hujung-hujungnya hanya usaha yang didasari iltizam kental dan padu yang erat dalam genggaman manakala impian yang berlandaskan suka-suka atau angan-angan akan hanya menjadi ibarat fatamorgana yang tak mungkin kesampaian.
Sebagai rangkuman: –
- Setiap bidang tak kira apa mempunyai keistimewaannya tersendiri yang tidak boleh dipandang ringan.
- Apabila membuat keputusan untuk menceburi sesuatu perkara samada perniagaan, pendidikan atau apa sahaja, tekad wajib dibulatkan untuk mencapai hasrat yang ditetapkan.
- Tiada istilah suka-suka dalam apa pekerjaan sekalipun. Ianya harus didasari dengan iltizam untuk mencapai kejayaan.
Kalau nak main, jangan main-main
Dan kalau nak main-main, jangan main
Bukan seloka atau sekadar bercanda
Tapi peringatan yang penuh makna
Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya
هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.
* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.
* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474