Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Tertulis Dan Menulis – Siri 49 ‘sebab, bukannya alasan…’

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Tertulis Dan Menulis – Siri 49 ‘sebab, bukannya alasan…’

244
0

| Oleh Champ Hussain

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sebagai insan, semua kita pastinya tertakluk kepada fitrah semulajadi yang Allah SWT ciptakan untuk makhluk-Nya yakni ada yang boleh dijadikan dan ada yang telah ditetapkan. Kita tidak boleh memilih siapakan orangtua kita, warna kulit, rupa, bangsa, keturunan, di mana atau bila lahir atau matinya kita nanti dan pelbagai lagi yang telah ditetapkan oleh Maha Pencipta atas kita iaitu: rezeki, batas umur (ajal), amal (baik dan buruk), serta nasib (mulia atau celaka). Namun ia tidak bermaksud agar kita berserah bulat-bulat kepada takdir dan menyalahkan keadaan apabila sesuatu itu tidak menjadi atau apabila kita ditimpa musibah dan apabila apa sahaja yang kita rancang tidak mencapai hajat atau matlamat yang kita tetapkan.

Di sinilah yang membezakan insan cemerlang dan insan biasa. Insan cemerlang adalah mereka yang menerima segala yang telah tertulis kerana mereka yakin denga apa yang telah ditetapkan Allah SWT atas diri mereka. Namun mereka tidak menyerahkan segala-galanya kepada takdir semata-mata. Mereka adalah insan yang mengambil inisiatif untuk menulis sendiri kisah hidup mereka menerusi usaha mereka sendiri. Hanya apabila segala-galanya telah dilaksanakan, barulah mereka menyerahkannya kepada Allah SWT.

Merasa takjub dengan kehebatan seseorang itu adalah sesuatu yang normal sebagai manusia contohnya di dalam bidang keusahawanan, sukan, akademik atau apa sahaja bidang yang diceburi. Namun begitu, ianya tidak sepatutnya menjadikan seseorang itu takut dengan cabaran dan saingan sihat. Andai sahaja Dato’ Azizulhasni Awang gentar dengan lawannya, sudah pasti dia tidak akan berani untuk bertarung apa lagi di peringkat yang begitu berprestij seperti di Olimpik Tokyo 2020 (yang dilangsungkan pada 2021 atas sebab pandemik) baru-baru ini. Dengan berbekalkan keyakinan pada Ilahi, jiwa yang kental, disiplin diri yang begitu ketat, ilmu dan kemahiran serta semangat juang yang tinggi, Dato’ Azizulhasni telah berjaya meraih pingat Perak dalam acara Keirin. Beliau telah membuktikan bahawa saiz badan, bangsa, asal usul, bangsa mahupun agama tidak boleh dijadikan ukuran kejayaan atau kegagalan seseorang itu. Beliau telah menulis sejarah hidupnya sendiri dan berkemungkinan besar akan menulis kisah yang lebih menarik pada Olimpik Paris 2024 nanti.

Namun begitu, haruslah diakui bahawa menulis kisah kejayaan khususnya dari Zero ke Hero bukanlah perkara mudah namun bukan juga mustahil. Ada manusia yang dilahirkan dengan sudu emas di mulut, ada pula yang agak sederhana mungkin dengan sudu perak atau gangsa dan sudah pasti ada yang seolah-olah tidak punya sebarang kelebihan dan terpaksa melalui kegetiran hidup dalam mencari sesuap nasi setiap hari hanya untuk kelangsungan hidup.

Bagi yang mewah ada yang ditakdirkan tidak pernah merasa susah sehingga ke akhir hayat mereka namun ada juga yang akhirnya mati papa kedana. Begitu juga bagi yang susah dan tidak pernah merasa kesenangan namun ada pula yang akhirnya berjaya keluar dari kemelut kehidupan langsung akhirnya menjadi manusia luarbiasa yang bukan sahaja berjaya dan cemerlang tetapi juga turut membantu orang lain untuk turut berjaya seperti mereka. Kisah-kisah kehidupan manusia luarbiasa ini boleh kita baca samada dalam buku-buku atau ditonton di pelbagai platform media sosial. Walau ada di antara mereka yang tidak pernah menerbitkan buku tetapi merekalah penulis-penulis hebat yang telah menulis sejarah mereka sendiri sebagai bukti bahawa kita mampu mencarta sendiri kehidupan walaupun pada asalnya mereka tidak punya apa-apa atau datang dari keluarga kelas bawahan.

Antara nama-nama tersohor ini termasuklah Howard Schultz (Starbucks), Ursula Burns (CEO Xerox dan Wanita Afrika-Amerika pertama dalam senarai Syarikat Fortune 500), Kolonel Harlan Sanders (KFC), Barack Obama (Presiden ke44 Amerika berkulit hitam yang pertama), Oprah Winfrey (hos talkshow yang sangat popular suatu waktu dahulu), JK Rowling (penulis siri buku Harry Potter) dan yang paling unggul dan menyerlah tentu sahajalah tak lain tak bukan iaitu Nabi kita sendiri Muhammad Rasullulah SAW seorang yatim piatu yang menjadi orang paling berpengaruh di muka bumi ini yang belum ada tandingannya.

Mereka semua telah menulis sendiri sejarah hidup mereka yang begitu bergemerlapan dan tidak menjadikan latar belakang kehidupan mereka sebagai alasan tetapi menjadikannya penyebab untuk mereka mencipta kecemerlangan sekaligus menjadi sumber inspirasi kepada orang lain agar juga berani mengorak langkah, mengambil risiko dan menulis kisah hidup mereka sendiri tanpa menyerahkan segalanya pada taqdir semata-mata. Lumrahnya manusia tidak melihat kesusahan, kepayahan dan tangisan insan cemerlang sewaktu zaman getir mereka namun hanya setelah mereka telah menempa nama. Benar sekali tidak ramai yang mahu tahu atau ambil peduli kisah di sebalik tabir tetapi tanpa kisah itu, tak mungkin segala yang di hadapan tabir akan terjadi. Walaupun hari ini tidak ramai yang rajin untuk ‘menulis’ secara fizikal, kita masih boleh menulis dengan minda, lisan dan perbuatan. Maka jadikanlah sebab yang kuat untuk melakar dan menulis sendiri kisah hidup kita dan serahkan yang telah tertulis hanya kepadaNya…

Sebagai rangkuman: –

  1. Sebagai insan, kita harus menerima apa yang telah ditetapkan Allah SWT atas kita namun terus berusaha untuk segala hal lain yang kita ada pilihan dan mampu untuk laksanakan.
  2. Kecemerlangan tidak ditempa berdasarkan latar belakang seseorang tetapi dengan keyakinan pada Ilahi, usaha yang gigih, disiplin yang tinggi dan semangat juang yang tak luntur.
  3. Serahkan apa yang Allah telah tuliskan namun tulislah kisah hidup sendiri dengan apa yang telah dianugerahkan-Nya pada kita.

Tiada kehidupan tanpa krisis

Sebahagian kaya ada yang muflis

Walau takqir telah tertulis

Sejarah sendiri usahakanlah ditulis

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.