Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Konsep Luas Ibadah – Siri 45 ‘berfikir melangkaui sempadan …’

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Konsep Luas Ibadah – Siri 45 ‘berfikir melangkaui sempadan …’

295
0

| Oleh Champ Hussain

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Apabila berfikir tentang ibadah, ramai di antara kita yang mengecilkan skop kepada bentuk hanya ibadah ritual semata-mata yakni solat, puasa, zakat dan mengerjakan ibadah haji dan melaksanakan ibadah-ibadah sunat sampingan yang lain. Sudah tentu ini adalah sesuatu yang dituntut oleh syariat agar kita tunduk patuh kepada perintah Allah SWT yakni amal makruf nahi mungkar. Melaksanakan apa yang diperintahkan dan menjauhi apa yang ditegah-Nya dalam aspek apa sekalipun merupakan konsep ibadah yang mencakupi setiap aspek kehidupan. Di sinilah terdapatnya ramai umat Islam yang masih tidak dapat memahami, mencerna apa lagi melaksanakan ibadah-ibadah lain secara menyeluruh yang dituntut syarak tetapi dipandang remeh oleh samada segelintir atau sebahagian besar masyarakat.

Insan cemerlang adalah mereka yang memahami bahawa segala apa yang mereka lakukan termasuk dalam ruanglingkup ibadah yang sangat universal. Mereka tahu dan faham bahawa apa sahaja yang mereka lakukan adalah bentuk ibadah selagi ianya tidak bertentangan dengan hukum dan syariat Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam ayat berikut: –

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia MELAINKAN untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” Surah Adz-Dzaariyaat (51) ayat (56)

Disebabkan kecetekkan ilmu, kedangkalan dan kejumudan pemikiran sebahagian besar dari umat Islam, maka kefahaman ibadah menjadi sempit bagi mereka. Ibadah pada mereka terbatas hanya kepada Rukun Iman yang enam dan Rukun Islam yang lima dari sudut ritual semata-mata sedangkan kesemua rukun tersebut mencakupi aspek kehidupan yang begitu luas. Kerja, belajar, mencari rezeki yang halal, makan, minum, mandi, tidur, bersukan, bersenam, membaca, menulis, bertani, berternak, melancong, membantu orang lain; hatta sehingga buang air dan pergi mendapatkan vaksin atas dasar menjaga keselamatan diri dan kemaslahatan orang lain pun sebenarnya termasuk dalam konsep ibadah. Ini kerana semua yang disebut dan banyak lagi yang tak tersebut adalah fitrah manusia. Seandainya Allah SWT menetapkan bahawa ibadah itu hanya duduk solat di atas tikar sembahyang, sudah pasti ramai manusia mati kebuluran kerana hanya berdoa mengharapkan rezeki diturunkan secara langsung dari Allah SWT sebagaimana kepada Maryam, Ibu Nabi Isa A.S. yang dianugerahkan rezeki dari Allah SWT.

Sebagai manusia biasa kita harus menjalani kehidupan dan memenuhi tuntutan agama sebagaimana firman Allah SWT dalam surah ayat berikut: –

“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.” Al Qashash (28) ayat (77)

Dengan keadaan dan cabaran semasa yang banyak mencipta pelbagai peluang di dunia maya hari ini, skop atau kaedah ibadah kita juga harus berubah asal sahaja kita tidak melanggar syariat dan apa sahaja yang bertentangan dengan undang-undang negara dengan membuat ‘posting’ atau kandungan bahan di media sosial yang berfaedah dan memberi manfaat kepada sesiapa jua. Berkongsi ilmu di laman sosial sebagai lahan ibadah sudah lama mendapat tempat khususnya kepada para ilmuan, cendekiawan, asatizah, guru malahan para netizen yang punya banyak bidang kepakaran. Namun haruslah diingatkan agar kita bertanggungjawab atas setiap hantaran tersebut agar ianya menjadi amal jariah kita dan bukan sebaliknya iaitu menjadi dosa jariah andai ianya berbentuk dusta, fitnah atau yang boleh menyebabkan kekeliruan, berniat menghasut atau apa sahaja yang boleh mendatangkan kemudaratan secara umum.

Kita harus cakna dengan masa terhad yang Allah SWT berikan pada kita agar memanfaatkan masa tersebut untuk mencari keredhaan-Nya dalam apa cara sekalipun khususnya dengan mengejar akhirat tanpa melupakan dunia. Pengabdian menyeluruh kepada Allah SWT begitu jelas sebagaimana firman-Nya: –

“Katakanlah (Muhammad), “Sesungguhnya salatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan seluruh alam,” Al An’am (6) ayat (162)

Maka haruslah kita mengambil pendekatan bahawa selagi kita bernafas, segala-gala yang kita lakukan wajiblah berpaksikan kepada ketaatan kita dalam mengabdikan diri kepada-Nya dengan mengerjakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya tanpa ada kecuali. Maka dalam kita sama-sama menghayati, menelusuri dan dalam usaha meraih kecemerlangan, kita harus memastikan agar kita sentiasa berfikir melangkaui sempadan agar kita tidak terperangkap dengan jerat syaitan yang sentiasa akan membisikkan perasaan was-was pada kita dalam melaksanakan ibadah dalam makna yang sebenar-benar dan seluas-luasnya…

Sebagai rangkuman: –

  1. Ibadah adalah mengabdikan diri kepada Allah SWT semata-mata dengan mengerjakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.
  2. Sebagai umat Islam yang sentiasa mencari kecemerlangan, kita harus berfikir melangkaui batas sempadan yang jumud agar tidak terpedaya dengan bisikan syaitan.
  3. Dalam menyampaikan ilmu sebagai ibadah, pastikan kesahihan ilmu tersebut agar tidak terjebak dalam menyebarluaskan fitnah yang hanya akan mendatangkan kemudaratan pada diri sendiri dan khalayak ramai.

Ibadah bukan untuk menyusah

Ikut sunnah sangatlah mudah

Taat dan patuh semua perintah

Larangan tinggalkan, murka Allah

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.