بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih.” Surah Ibrahim (14) ayat (7)
Dunia khususnya kita di Malaysia sedang dilanda pelbagai krisis samada dari aspek kesihatan yang sedang hangat khususnya mengenai vaksinasi yang sedang dalam proses di Pusat-pusat Pemberian Vaksin (PPV), krisis ekonomi berikutan kekangan pekerjaan dan industri disebabkan PKP, krisis sosial berikutan maslah kekeluargaan dan pelbagai lagi isu-isu yang berkaitan disebabkan pandemik yang masih belum betul-betul menampakkan solusi yang memberangsangkan. Keadaan resah gelisah begitu nyata di kalangan setiap lapisan masyarakat yang mempunyai kebimbangan masing-masing.
Fitrah majoriti manusia itu sudah boleh dijangka dengan respon yang negatif berbanding yang positif. Sangatlah benar bahawa kita sedang melalui fasa ujian yang sangat getir dalam kehidupan kita dengan masalah yang datang hampir dari setiap arah. Mungkin untuk sesebahagian kita, ianya tidak seteruk orang lain namun ramai di kalangan kita yang benar-benar diuji dari setiap aspek kehidupan. Melangkah keluar dari rumah sahaja sudah merupakan risiko samada boleh menyebabkan iman seseorang itu semakin goyah atau semakin utuh. Ini disebabkan ketakutan pada virus itu kadangkala melebihi ketakutan pada Allah SWT. Dia-lah yang sebenarnyalah yang menentukan samada kita akan terkena sesuatu musibah atau tidak seiring dengan firman-Nya.
Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. At Taghabun (64) ayat (11)
Di sinilah yang membezakan antara insan cemerlang dengan insan biasa. Insan biasa adalah mereka yang sentiasa mengeluh dengan ujian yang diberikan Allah SWT kerana merasa ianya tidak adil. Merekalah yang merasa semua masalah kesihatan hanya tertimpa atas diri mereka, beban hutang dan kewangan hanya dihadapi oleh mereka, masalah keluarga saban hari merupakan suatu kecelakaan yang tiada pada orang lain dan pelbagai lagi masalah yang berdatangan seolah-oleh tiada hentinya. Ini termasuklah apabila mereka yang tak habis-habis mengeluh atas apa sahaja yang dibuat kerajaan yang mereka rasa tidak menguntungkan atau tidak memberi manfaat kepada mereka.
Apabila tiada vaksin, mereka mahukan vaksin segera. Apabila vaksin telah ada di pasaran, mereka tidak yakin dan mahukan vaksin tersebut diberikan kepada orang-orang politik terlebih dahulu untuk menguji keberkesanannya. Apabila orang-orang politik dan orang-orang tertentu mendapat vaksin tersebut, mereka komplen pula mengatakan ada pilih kasih dalam pemberian vaksin tersebut dan mengenepikan rakyat jelata sedangkan mereka sendiri tidak mahu mendaftar awal-awal lagi. Walau apapun yang dibuat, mereka akan sentiasa mengeluh itu dan ini yang tiada batasnya hanya kerana mereka tidak tahu untuk bersyukur. Terimalah ujian Allah SWT itu sebagai fitrah kehidupan…
Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?” Al-Ankabut (29) ayat (2)
Berbeza dengan insan cemerlang, mereka melihat masalah sebagai cabaran yang menjadi asbab untuk mereka berfikir bagaimana untuk mengatasi atau menyelesaikan cabaran-cabaran tersebut. Mereka melihat bahawa inilah kaedah Allah SWT hendak mendidik mereka supaya lebih kuat beriman dan bertaqwa pada-Nya semata-mata kerana mereka sedar bahawa setiap sesuatu itu samada nikmat atau musibah pastinya adalah taqdir Ilahi. Andai musibah, mereka akan bersabar dan andai ianya nikmat, mereka tidak akan lupa untuk bersyukur kerana mereka percaya bahawa ‘SAMADA BAIK ATAUPUN BURUK, SEMUANYA TETAP BAIK’.
Inilah salah satu sifat insan cemerlang yang sentiasa menerima ketentuan Allah SWT dengan terus bersyukur. Dari sejak bangun di pagi hari lagi mereka memulakan dengan doa memuji Allah SWT kerana telah mengembalikan nyawa mereka untuk meneruskan kehidupan. Hanya dengan melihat diri sendiri dari hujung rambut hingga hujung kaki, masih punya pakaian, tempat tinggal, makanan, minuman dan apa sahaja yang mereka miliki (yang hanya bersifat sementara) walau hanya ala kadar sudah cukup untuk membuat mereka bersyukur dengan segala nikmat-Nya. Mereka tidak sibuk membandingkan diri dengan orang yang lebih tinggi dari mereka tetapi dengan orang yang lebih rendah kerana mereka faham dan tahu bahawa setiap rezeki (dalam pelbagai bentuk) itu ketentuan dari Yang Maha Esa.
Biarlah setiap apa sahaja yang berlaku menjadi pelajaran kepada kita dalam mematangkan kita untuk belajar bersabar (ya memang sangat susah) dan bersyukur (ya sentiasa kita lupa bila diberi nikmat). Tidak ada yang mudah tanpa melalui proses tertentu ibarat bertatih sebelum berjalan apa lagi sebelum berlari. Jadi janganlah kita sesali apa yang telah berlaku, sebaliknya bersyukurlah kerana Allah SWT telah memberi kita peluang untuk kita tahu di mana kesilapan kita dan dengan itu boleh memperbetulkannya. Maka marilah kita sama-sama belajar bersabar untuk bersyukur kerana pasti ada hikmah di sebalik setiap musibah dalam perjalanan kita menelusuri kecemerlangan…
Sebagai rangkuman: –
- Terimalah hakikat bahawa tiada musibah yang akan menimpa seseorang itu melainkan dengan izin Allah SWT.
- Segala yang ditentukan Allah SWT samada baik atau buruk adalah baik bagi kita. Kita cuma hanya perlu belajar memahami hikmah di sebaliknya.
- Sabar dan syukur adalah pasangan ideal yang wajib dilatih dalam diri setiap insan.
Musibah datang bertimpa-timpa
Sebagai pelajaran umat manusia
Diuji masalah bersabarlah kita
Dianugerah nikmat, syukurlah sentiasa
Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya
هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.
* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.
* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474