بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Dan berkatalah Tuhanmu, “Berdoalah kamu kepada-Ku, pasti Aku akan mengabulkannya” Surah Ghafir (40) ayat (60)
Ianya PERCUMA! Tak perlu bayar pun namun ramai di antara kita yang merasa begitu berat untuk menadah tangan dan memohon kepada-Nya, Tuhan yang Maha Esa, Al Salam (Yang Maha Pemberi Sejahtera), Al Wahhab (Yang Maha Pemberi Kurnia) Al Razzaq (Yang maha Pemberi Rezeki) dan banyak lagi nama-nama-Nya yang maha suci untuk kita memohon pertolongan, kemudahan dan kesejahteraan. Kenapa susah sangat untuk kita berdoa? Soalan ini sebenarnya ditujukan khususnya untuk diri saya sendiri. Ramai daripada kita yang sangat acuh tak acuh dalam solat dan sebaik sahaja selesai, bingkas bangun tanpa berdoa untuk memohon kepada Ilahi yang sebenarnyalah yang menyelesaikan pelbagai masalah mereka. Ramai yang berfikir, “Aku dah solat ni pun dah cukup bagus. Lagipun solat tu pun doa jugak kan?” Jika diambil dari sudut Bahasa Inggeris, memang maksud doa adalah ‘pray’ namun untuk umat Islam, ‘pray’ merangkumi solat dan berdoa.
Insan cemerlang adalah mereka yang tahu bahawa kejayaan dan kecemerlangan mereka bukanlah datangnya dari diri atau usaha mereka semata-mata tetapi dari Allah SWT yang dimaqbulkan kadangkala dari doa ibubapa, isteri, suami, anak-anak atau sesiapa sahaja yang mendoakan untuk mereka. Ini hakikat yang perlu kita fahami namun pada waktu yang sama, setiap insan itu punya hak untuk berdoa untuk kemaslahatan diri sendiri dan orang lain. Mereka harus punya disiplin, kerajinan dan kesungguhan untuk berzikir dan berdoa sebagai tuntutan ibadah pada diri sendiri.
Selain berdoa, amalan berzikir setiap kali selepas solat fardu adalah amalan yang sentiasa dilazimi oleh Baginda Rasulullah SAW. Bahkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Fudhalah Bin Ubaid, Rasulullah SAW pernah menegur seorang lelaki yang tergesa-gesa berdoa selepas solat tanpa ada pujian kepada Allah dan selawat. Baginda bersabda:
“Jika salah seorang dari kalian selesai menunaikan solat maka mulakanlah (doa selepas solat) dengan mengagungkan dan memuji Allah. Kemudian berselawat ke atas Nabi dan barulah berdoa selepas itu apa yang dia ingini.” Riwayat Abu Daud (1481)
Sememangnya lumrah manusia itu tatkala dia senang, dia lupa pada tuhannya (juga ditujukan khas untuk saya sendiri) namun apabila ditimpa kesusahan, dia akan berlutut atau sujud memohon pertolongan dari Sang Maha Pencipta kerana naluri manusia itu tahu bahawa tiada pertolongan yang mampu diberikan oleh sesiapapun kecuali dari Allah SWT. Hatta, untuk orang bukan Islam pun kita lihat akan berlutut, bersujud atau menyungkur (meniarap) memohon tuhan mereka untuk pertolongan.
“Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia ditimpa Kami (dalam segala keadaan), sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya (sebagaimana ia memandang eloknya bawaan itu) demikianlah diperelokkan pada pandangan orang yang melampau apa yang mereka lakukan.” Surah Yunus (10) ayat (12)
Sebagai orang biasa yang selalunya tidak hafal doa, adalah sangat digalakkan untuk kita menyediakan skrip doa kita dalam handphone agar kita boleh merujuk untuk bacaannya setiap hari. Sebaik-baiknya bacalah setidak-tidaknya setelah solat Subuh dan Asr iaitu sebagai pembuka dan penutup hari namun adalah lebih afdal setiap kali selepas solat. Janganlah kita malas daripada berdoa dan hanya mengharapkan doa orang lain (yang selalunya dibaca dalam Bahasa Arab yang kita sendiri tidak faham maksudnya) dan selalunya kita juga malas atau tidak bermaya untuk mengAminkan doa tersebut. Buatlah doa dalam bahasa yang kita fahami agar kita tahu apa yang kita minta dan mengharapkan hanya dari Allah SWT yang berhak mengkabulkan permohonan doa kita itu.
Ibarat ‘wish list’ terbuka yang Allah SWT berikan pada kita, doa adalah senjata paling ampuh untuk orang mukmin. Begitu banyak doa yang telah diajarkan Baginda Rasullulah SAW kepada kita. Kita hanya perlu mencari, mempelajari dan menggunakan sesuai dengan keadaan. Setiap keadaan ada doa tertentu namun andai kita merasa tidak rajin sekalipun, paling tidak, bacalah Doa Jagad Raya ini iaitu:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Artinya: “Wahai Tuhan kami, anugerahi kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari api neraka.”
Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di mata Allah dibanding doa.” Hadis Riwayat Ahmad, Ibu Majah & Ibnu Hibban
Doa boleh dilakukan di mana-mana sahaja tak kira masa namun di Bulan Ramadan Al Mubarak yang mulia inilah masa yang sangat mustajab khususnya sepanjang kita sedang berpuasa, ketika menunggu berbuka puasa, ketika bersahur, antara azan dan iqamah, sepanjang Hari Juma’at dan ketika sesudah solat Tahajjud merupakan waktu-waktu prima untuk berdoa. Jangan lepaskan peluang ini kerana belum pasti kita akan menemuinya lagi tahun hadapan.
Selamat meneruskan ibadah berpuasa, tingkatkan ibadah dan sentiasalah memohon dengan berdoa tanpa batasan dengan menjaga adab-adab dalam berdoa. Moga semua yang kita pohon dimaqbulkan hendaknya. Aamiin, Aamiin ya Rabbal ‘Alamin.
Sebagai rangkuman: –
- Berdoa merupakan fitrah manusia dan merupakan talian hayat kepada Penciptanya.
- Doa mempunyai adab-adab tertentu yang wajar dipatuhi. Ianya harus dimulakan dengan pujian-pujian kepada Allah SWT, berselawat atas Baginda Rasullulah SAW dan berdoa untuk diri sendiri dahulu sebelum orang lain.
- Doa adalah senjata orang mukmin yang ampuh dan sewajarnya tidak dilepaskan pada bila-bila masa di mana jua khususnya di Bulan Ramadan Al Mubarak.
Talian hayat sentiasa terbuka
Untuk insan yang memohon sentiasa
Tadahlah tangan pohon pada-Nya
Itulah doa, senjata mulia
Salam cakna, ceria dan cemerlang…
هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.
* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.
* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474