Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Buat Sampai Tuntas – Siri 33 ‘lalai penyebab terbengkalai…’

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Buat Sampai Tuntas – Siri 33 ‘lalai penyebab terbengkalai…’

292
0

| Oleh Champ Hussain

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Saya kurang gemar membicarakan tentang kegagalan kerana saya yakin kebanyakan orang sudah faham kenapa kadangkala mereka tidak berhasil mendapat sebagaimana yang mereka harapkan. Salah satu sebab utama ialah apabila kerja yang dilaksanakan tidak diselesaikan, tergendala atau terbengkalai. Acapkali kita melihat projek-projek pembangunan terbengkalai di sesuatu tapak pembinaan disebabkan pelbagai faktor antaranya puncanya ialah masalah kewangan, kegawatan ekonomi, masalah pekerja, bencan alam, faktor keselamatan dan pelbagai faktor lain yang menyumbang kepada kerja-kerja yang terpaksa dihentikan. Selalunya masalah-masalah yang dihadapi ini akan cuba diselesaikan oleh kontraktor yang terlibat secepat mungkin kerana mereka sangat arif tentang kos-kos yang akan dan terpaksa ditanggung sekiranya projek tersebut tidak dapat diselesaikan pada waktu yang ditetapkan. Setiap hari kerja dihentikan merupakan kerugian kepada mereka. Tidak ada syarikat atau kontraktor yang mahu perkara seperti ini terjadi kepada mereka namun dalam dunia perniagaan, cabaran seperti ini pasti akan berlaku. Walaupun ianya mungkin berpunca dari faktor luaran, faktor dalaman selalunya menjadi penyebab utama.

Dari perspektif peribadi, telah banyak berlaku pelbagai hasrat yang ingin kita capai tidak tercapai disebabkan sikap sambil lewa, acuh tak acuh dan ketidakseriusan dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan. Contohnya apabila seseorang itu ingin menceburi bidang pertanian, dia akan berusaha pada awalnya untuk menimba ilmu, mencari tapak, mendapatkan sumber-sumber yang berkaitan seperti pekerja, peralatan, benih, baja malahan akan juga berusaha untuk mendapatkan pinjaman atau geran untuk memulakan projek tersebut. Pada awalnya apabila projek tersebut berjalan lancar, dia akan merasa bersemangat dan akan turun padang untuk memantau projek tersebut sehingga hasilnya dapat dituai. Namun kita sedia maklum, bidang pertanian sebagaimana bidang-bidang lain sememang mempunyai cabarannya tersendiri contohnya apabila tanaman tidak menjadi, serangan serangga, kulat atau penyakit, masalah cuaca, kecurian ketika tiba masa menuai dan pelbagai lagi cabaran yang terkait dengan bidang tersebut. Mungkin dia dapat bertahan sehingga beberapa ketika tatapi yang tidak berjiwa kental, semangatnya akan semakin pudar dan dia akan akhirnya menyerah pada keadaan malahan mungkin menyalahkan orang lain atas kegagalannya yang ‘cemerlang’ itu.

Insan cemerlang adalah mereka yang sedar bahawa ujian seperti ini adalah lumrah kehidupan yang datang secara pakej. ‘Kejayaan tidak akan datang bergolek’ dan mereka akur akan falsafah ini. Sebab itu sebelum membuat keputusan untuk memulakan sesuatu projek, mereka sudah faham apa yang akan dihadapi dan sudah membuat persediaan mental dan fizikal untuk menanganinya. Mereka sentiasa memastikan bahawa mereka akan berusaha sedaya upaya dengan kudrat dan sumber yang ada untuk memastikan apa yang dimulakan akan diselesaikan dengan sempurna atau dituntaskan sebaik mungkin. Bagi mereka tidak ada istilah ‘hangat-hangat taik ayam’ atau ‘kerja separuh jalan’. Sebaliknya mereka berpegang kepada prinsip ‘Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan’ atau ‘genggam bara api biar sampai jadi arang’ yakni berbuat sesuatu sehingga selesai.

Ketekunan dalam memastikan setiap tugas itu dilaksanakan sebaik mungkin ialah yang menjadi pembeza mereka yang berjaya dengan mereka yang hampa. Mereka faham bahawa sesuatu itu belum selesai jika ianya tidak melalui 3 fasa itu sebelum, semasa dan sesudah. Mengambil misalan pengendalian sesuatu majlis perkahwinan, ianya harus melalui proses yang serupa dan ianya hanya benar-benar telah dianggap berjaya apabila proses mengemas telah dilaksanakan dengan baik. Walaupun tuan rumah mungkin menyewa tempat tersebut, penganjur yang bertanggungjawab harus memastikan keadaan dewan, kerusi meja, kebersihan dan segala yang terkait kembali kepada keadaan asal sebagaimana ianya bermula. Agak menyedihkan apabila di mana-mana majlis, pihak jawatankuasa atau penganjur kadangkala alpa tentang perkara ini di mana ahli jawatankuasa sibuk bergegas pulang sebelum memastikan semuanya dalam keadaan teratur. Mungkin hanya seorang dua yang prihatin tentang perkara sebegini. Andai sudah ada yang diberi tugas tersebut, ianya tetap harus dipantau untuk memastikan tidak ada yang tertinggal atau tercicir.

Di sinilah antara tempat letaknya kunci ke arah kecemerlangan. Di sinilah yang membezakan antara budak dengan orang dewasa, antara yang berfikiran singkat dengan yang berwawasan dan antara amatur dengan professional. Dalam melaksanakan apa tugas sekalipun samada yang bersifat peribadi atau yang bersifat kerja atau perniagaan mahupun dalam menimba ilmu (contohnya melanjutkan pelajaran ke tahap MBA), insan cemerlang akan membuat apa yang dipanggil ‘feasibility study’ atau kajian kebolehlaksanaan untuk memastikan tugasan yang akan dilaksanakan tidak akan terbengkalai separuh jalan. Setelah membuat perkiraan senario ‘best case’ (terbaik) dan ‘worst case’ (terburuk) barulah mereka akan membuat keputusan untuk meneruskan atau dari sejak awal membatalkan projek tersebut. Ini turut mengambilkira pelbagai ‘calculated risk’ atau risiko terhitung.

Atas sebab inilah insan cemerlang adalah mereka yang tidak semberono dalam melakukan sesuatu hal. Setiap sesuatu terutamanya hal-hal yang mempunyai risiko tinggi memerlukan mereka untuk mengambilkira segala aspek untuk memastikan kerja diakan dilaksanakan sempurna dari A hingga Z. Dari sekecil-kecil tugas contohnya memasak di rumah, pastikan dapur sentiasa dikemas selepas selesai. Jangan tinggalkan ia dalam keadaan bersepah yang menyakitkan mata yang memandangnya. Begitulah juga dengan tugas-tugas yang lebih besar, buatlah post-mortem kerja agar kita mengetahui apa lagi yang boleh ditambahbaik untuk masa hadapan. Maka dalam membuat apa sahaja tugas, pastikan agar ianya tidak dibuat dalam keadaan lalai hingga segalanya jadi terbengkalai tetapi dalam keadaan semua diambilkira agar semuanya sempurna.

Merangkum topik di atas: –

  1. Buat kajian dasar (ground work) sesuatu itu dengan teliti sebelum membuat keputusan untuk menlaksanakan tugas atau projek tersebut.
  2. Setiap tugas harus melalui tiga fasa iaitu sebelum, semasa dan sesudah dalam memastikan semua aspek diambilkira.
  3. Ketekunan dan keprihatinan membezakan kerja sambil lewa dengan kerja yang

Kalau nak main, jangan main-main

Kalau nak main-main, jangan main

Buat kerja haruslah pantas

Yang penting, sampai tuntas

Salam cakna, ceria dan cemerlang…

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.