بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Subhanallah! Sesungguhnya setiap sesuatu itu tak kira apapun yang Allah datangkan punya hikmah yang tersendiri walaupun pada mata kasar kita sebagai manusia ianya bernama musibah. Antara penyebab utama kepada ketidakberhasilan kita adalah kerana lemahnya kita dalam menata diri sendiri atau bahasa mudahnya ‘tiada disiplin’. Apatah lagi dalam keadaan sesebahagian kita yang sejak tahun 2020 telah ‘dipaksa’ untuk Work From Home (WFH) atau Bekerja Dari Rumah sudah pastilah akan melalui proses penyesuaian yang adakalanya sehingga kini masih belum ‘sesuai’. Ini adalah kerana kita berada dalam ‘Kepompong Keselesaan’ kendiri yang membuatkan kita tidak merasa bekerja. Untuk mereka yang sudah biasa dengan keadaan iaitu mereka yang bekerja sendiri, ianya tidak menjadi masalah besar.
Kita telah bicarakan serba sedikit tentang disiplin dan konsistensi yang mengupas kepentingan istiqamah dalam setiap perbuatan: Menelusuri Kecemerlangan Siri ke3
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10158337978376797&id=528731796
Disiplin Diri adalah sesuatu yang wajib kita paksakan atas diri kita kerana ianya merupakan perintah Allah SWT sebagaimana firmanNya dalam ayat berikut: –
“Dan katakanlah, “Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” At-Taubah (9) ayat (105)
Perkataan ‘bekerjalah kamu’ itu merupakan ayat perintah yang menyuruh kita untuk berbuat dan ianya diperkuatkan lagi dengan ayat berikut yang menekankan tentang ‘berangkat atau berpergian (dalam bekerja, berusaha, berbuat kebaikan dan sebagainya) dalam keadaan ringan mahupun berat’
“Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan maupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.” At-Taubah (9) ayat (41)
Menurut penafsiran yang lain dikatakan bahwa arti ayat ini ialah baik dalam keadaan kuat maupun dalam keadaan lemah atau baik dalam keadaan berkecukupan maupun dalam keadaan kekurangan.
Apa yang telah diajarkan Allah SWT sebenarnya adalah untuk kita sentiasa mematuhi disiplin kerana manusia sentiasa dibuai, diulit dan dikhayalkan mimpi dunia yang sering melekakan. Sebab itu kita sewajarnya merancang, mengatur dan menyesuaikan diri dengan ‘Masa Allah’ bukan masa kita contohnya 10 minit sebelum masuk waktu solat, kita telah bersedia mengambil wudhu’. Paling tidakpun apabila azan berkumandang, hentikanlah serta merta apa sahaja kerja yang sedang kita lakukan demi memenuhi perintah untuk mengerjakan solat tepat pada waktunya. Sebagai peringatan pada diri saya sendiri terutamanya, bayangkanlah seandainya kita masih sibuk (tak habis-habis) dengan kerja dan ketika hampir menekan butang ‘Enter’ pada keyboard, Allah SWT cabut nyawa kita tatkala itu, apa yang akan kita jawab padanya di akhirat nanti? “Boss tunggu laporan?”, “Projek ni nilainya juta-juta?” atau apa sahaja alasan yang akan kita beri nanti?
Benar sekali! Usaha untuk berbuat kebajikan itu harus dipaksakan. Sebab itu kita harus paksakan disiplin diri terutamanya apabila ianya melibatkan ibadah, perkara-perkara baik dan amal jariah supaya kita terbiasa dengan kebaikan tersebut. Contohnya kita biasa mendengar, “Berhentilah makan sebelum kenyang”, ianya memang sangat sukar untuk dilakukan kerana ia memerlukan satu pegangan atau prinsip yang kuat untuk melakukannya. Sesetengah orang yang mempunyai keazaman yang tinggi dan berpegang kuat kepada prinsip hidupnya akan mampu untuk berhenti dari tabiat atau kelaziman buruk contohnya menghisap rokok tanpa perlu bergantung kepada ‘nicotine patch’ atau menggantikan dengan benda lain untuk berhenti serta merta dan sekaligus. Cukuplah sekadar bertawakkal kepada Allah dan mengalihkan fokus kepada perkara-perkara lain yang lebih berfaedah untuk mengurang atau menghilangkan ketagihan itu.
Ramai orang memang tidak suka atau gemar apabila dipaksa tapi itulah hakikatnya. Insan yang cemerlang itu selalu memaksakan usaha atas diri mereka sendiri kerana orang lain tidak berkuasa dan mungkin tidak pedulipun untuk menyuruh mereka untuk berbuat sesuatu. Kebanyakkan kita hanya dipaksa oleh ibubapa kita sewaktu kita di bawah naungan, perlindungan dan kawalan mereka tetapi apabila kita sudah berdikari, semuanya atas diri sendiri untuk menentukan perjalanan hidup. Marilah kita berusaha untuk memaksa kebaikan dan memastikan kita sentiasa mempunyai niat untuk berbuat sehingga kita tidak lagi merasakannya paksaan tetapi suatu keseronokan, kenikmatan dan keterujaan yang tiada tandingannya. Andai kita berniat untuk berbuat, paksalah diri kita mengikut rutin atau jadual tertentu hingga ianya menjadi kerelaan dalam menyeru diri sendiri dan manusia lainnya untuk berbuat apapun amal kebajikan…
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar merekalah orang-orang yang beruntung”. Ali Imran (3) ayat (104)
Merangkum: –
- Setiap perkara yang terjadi itu walaupun musibah, ada hikmahnya yang tersendiri.
- Mendisiplinkan diri berbuat rutin harian, mingguan atau bulanan dalam keadaan apa sekalipun.
- Kita harus berusaha memaksakan atas diri untuk melaksanakan apa yang ‘MESTI BUAT’, ‘PATUT BUAT’ dan ‘JANGAN BUAT’ pada waktu yang telah ditentukan tanpa sebarang alasan.
Akhir kata: –
Ibadah itu perintah tanpa paksaan
Dari lubuk hati dengan kerelaaan
Paksakan diri mencapai kejayaan
Dalam usaha mencari kecemerlangan
Salam cakna, ceria dan cemerlang…
هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.
* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.
* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474