Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Perisian dan Perkakasan Manusiawi – Siri 30 ‘keseimbangan yang ideal...

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Perisian dan Perkakasan Manusiawi – Siri 30 ‘keseimbangan yang ideal …’

298
0

| Oleh Champ Hussain

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sudah begitu banyak perkara yang kita bicarakan dan acapkali kita kaitkan dengan kecemerlangan. Antara yang diutara dan diketengahkan ialah sikap, ilmu, kemahiran dan tauladan yang harus ditunjukkan agar ianya dapat dicontohi oleh orang lain. Insan yang cemerlang adalah mereka yang sentiasa cakna tentang kepentingan ilmu yang sewajarnya diimani dan seterusnya diamalkan.

Walau apa sekalipun yang kita lakukan, kita tidak akan dapat melakukannya dengan sempurna sekiranya kita tidak mempunyai ilmu yang memadai dan sarana yang mencukupi. Kepada yang mengikuti Siri Menelusuri Kecemerlangan ini, kita pernah membicarakan tentang ilmu pada Siri ke12 (https://m-niaga.com.my/2020/08/20/menelusuri-kecemerlangan-ilmu-tangga-kecemerlangan-siri-12/) namun memandangkan kita baru sahaja melangkah ke tahun baru 2021 ini, mari kita bicarakan sekali lagi tentang ilmu sebagai ‘perisian’ sementara tubuh badan dan organisasi sebagai ‘perkakasan’ kerana kepentingannya dalam kehidupan kita dan sebagai peringatan khususnya pada diri saya sendiri yang masih perlu banyak belajar. Kita ambil pelajaran dari firman Allah SWT seperti berikut: –

“Nabi mereka mengatakan kepada mereka: “Sesungguhnya Allah telah mengangkat Thalut menjadi rajamu.” Mereka menjawab: “Bagaimana Thalut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang diapun tidak diberi kekayaan yang cukup banyak?” Nabi (mereka) berkata: “Sesungguhnya Allah telah memilih rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa.” Allah memberikan pemerintahan kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” Al baqarah (2) ayat (247)

Dari ayat ini, kita dapat mengambil pelajaran tentang kriteria yang perlu ada pada seseorang raja atau untuk keadaan semasa ini, seorang pemimpin samada dalam syarikat, masyarakat, di peringkat nasional mahupun antarabangsa iaitu ILMU YANG LUAS DAN TUBUH YANG PERKASA. Ilmu (atau perisian) yang luas itu merangkumi pelbagai aspek samada yang bersifat khusus atau spesifik contohnya seorang jurutera itu harus juga sekiranya tidak menguasai namun harus mengetahui serba sedikit tentang ilmu ekonomi, pengurusan dan lain-lain yang berkaitan untuk memudahkan tugasnya.

Sedangkan apabila kita bicarakan tentang tubuh yang perkasa pula (atau perkakasan), kita harus sedar dan faham bahawa selain tubuh badan fizikal kita sendiri yang sewajarnya kita jaga sebagai amanah Allah SWT kepada kita, kita harus juga menjaga, membaja dan mengembangluaskan perTUBUHan yang kita uruskan atau selenggara contohnya syarikat atau organisasi yang kita sertai (yakni bekerja) atau yang di bawah tanggungjawab kita. Maka kita haruslah memastikan agar mereka yang dibawah kawalselia kita diperkasakan dengan ilmu dan kemahiran serta pengalaman yang sepatutnya.

Perisian atau software in haruslah dikemaskinikan dari masa ke semasa kerana begitu pantasnya pergerakan dan pembangunan dalam bidang ilmu hari ini. Kadangkala, setelah mempelajari sesuatu dalam tempoh masa kurang dari setahun, kita telah diperkenalkan dengan ilmu baru samada untuk menambahbaik ilmu sediaada atau kadangkala menggantikan sama sekali ilmu tersebut. Memandangkan banyaknya sumber ilmu terutamanya di hujung jari hari ini, tidak ada alasan untuk tidak mengetahui tentang sesuatu perkara. Andai tidak tahu, cari tahu!

Demikian pulalah dengan perkakasan atau peralatan yang digunapakai dalam pertubuhan atau organisasi kita tak kiralah samada kita bekerja, memiliki syarikat sendiri atau berniaga secara kecil-kecilan. Kita harus tahu apakah sistem, kaedah atau apa sahaja peralatan semasa yang wajar kita gunakan. Ianya tidak perlu mahal namun cukup untuk mencapai hasrat kita dalam melaksanakan tugas-tugas kita. Contohnya pada suatu ketika dahulu, mereka yang terlibat dalam bidang penyiaran harus melabur ratusan ribu malahan jutaan ringgit untuk peralatan penggambaran seperti kamera, pencahayaan dan studio penyuntingan. Hari ini perlatan yang lebih canggih kadangkala tidak mencapai RM10,000 pun malahan segalanya boleh dibuat yakni daripada penggambaran, suntingan sehingga muatnaik ke Youtube atau FB hanya dengan menggunakan handphone sahaja.

Insan yang cemerlang adalah mereka yang tahu bahawa gabungan kedua-dua elemen ini khususnya elemen perisian & perkakasan manusiawi adalah sesuatu yang harus menjadi asas utama yang wajib untuk mencapai hasrat atau objektif yang telah disemai dan disematkan dalam diri. Ianya adalah perkara yang penting kerana apabila ilmu itu tidak dapat diamalkan kerana tiada wadah atau sarana yakni perkakasan yang sesuai maka akan pincanglah sesebuah organisasi itu. Ibarat sebuah basikal yang hanya roda depan atau belakangnya berfungsi sedangkan yang satu lagi tidak maka ianya akan hanya melambatkan malah menjejaskan sama sekali pergerakan basikal tersebut sehingga ianya dibaiki atau diganti.

Begitulah juga dengan perisian tanpa perkakasan yang betul dan  sebaliknya akan hanya menyebabkan apa yang dihajati tidak dapat ditepati. Keseimbangan perisian dan perkakasan manusiawi dan organisasi yang ideal akan menentukan bukan sahaja pencapaian organisasi tetapi juga prestasi diri tercapai.

Merangkum nilai: –

  1. Ilmu merupakan perisian atau software yang perlu kita kemaskinikan dari semasa ke semasa agar kita tidak ketinggalan dalam dunia kompetitif hari ini.
  2. Tubuh badan perkasa atau hardware selain mewakili tubuh badan fizikal juga harus mengambilkira organisasi, sistem dan peralatan yang harus kemaskini yang mengikuti perkembangan semasa.
  3. Keseimbangan antara kedua-dua elemen adalah sangat penting dalam memastikan kecemerlangan dapat dicapai.

Akhir kata: –

Perisian di dada harus diisi

Perkakasan yang betul harus dicari

Dalam mengimbang diri dan organisasi

Agar tercapai hasrat di hati

Salam cakna, ceria dan cemerlang…

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين

Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.