Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Mencapai Tekanan Optima – Siri 26

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Mencapai Tekanan Optima – Siri 26

364
0

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Mencapai Tekanan Optima – Siri 26

 ‘menentupastikan keseimbangan…’

| Oleh Champ Hussain

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Insan yang cemerlang adalah mereka yang sering menerima tekanan hebat dalam kehidupan mereka namun mampu mengawalnya dengan baik sehingga ianya menjadi antara penyebab kepada pencapaian yang diperolehinya. Malahan sesetengah manusia memerlukan tekanan yang tinggi untuk mencapai prestasi yang terbaik. Berbagai-bagai sebab yang boleh menyebabkan seseorang itu mendapat tekanan. Apabila tekanan berlaku, selalunya seseorang itu akan berada dalam keadaan keluh kesah dan antara tanda-tanda ini termasuklah;

  • Perasaan berdebar debar
  • Nafas tidak menentu
  • Sakit kepala yang teramat sangat (migraine)
  • Masalah kulit
  • Berpeluh-peluh
  • Perut meragam (indigestion)
  • Kesejukan (peluh sejuk atau peluh jantan)
  • Darah tinggi
  • Terasa bahang
  • Terlalu peka kepada bunyi atau bau
  • Kekejangan otot
  • Kehilangan daya nafsu
  • Tidur yang terganggu

Terdapat berbagai-bagai lagi tanda atau gejala yang mengganggu keselesaan seseorang itu daripada berfikir dengan waras. Apabila berlaku tekanan, secara otomatik pelbagai perubahan akan berlaku samada secara mental, emosional malahan juga secara fizikal.

Ada 3 jenis tekanan iaitu;

  • Kurang tekanan
  • Tekanan berlebihan
  • Tekanan sihat

Dalam keadaan seseorang itu kekurangan tekanan (under stress), selalunya dia akan merasa bosan, letih, tiada keseronokan untuk sesuatu hari tertentu atau dalam pekerjaan yang dilakukannya, tidak merasa terangsang, kecewa dan sering merasa lemah. Ini kadangkalanya disebabkan juga oleh kekurangan rangsangan yang betul dari kerja yang telah terlalu biasa dilakukan (rutin) atau kerja yang dilakukan terlalu mudah sehingga tidak memerlukan untuk berfikir panjang.

Untuk keadaan kedua iaitu lebihan tekanan (overstress), adalah satu keadaan tekanan yang melampaui tahap tekanan sihat dan ini adalah keadaan di mana seseorang itu merasakan apa yang dikehendaki adalah terlalu mendesak dan dia mula menjadi seperti getah gelang (rubber band). Sekiranya keadaan ini berpanjangan, dia akan merasa begitu tertekan dan boleh menyebabkan kemungkinan dia mensabotaj diri sendiri. Antara tanda-tanda yang ketara ialah dia akan mula bertangguh, kerja lebih masa tetapi tanpa menghasilkan pulangan yang memberangsangkan, mengalami masalah untuk tidur atau tidur terlalu banyak dan mengalami berbagai masalah dalam menanggapi perkara-perkara biasa yakni menjadi keliru. Tekanan ini juga merupakan punca kepada segala jenis penyakit biasa sehinggalah kepada penyakit kronik seperti kanser, darah tinggi, masalah jantung dan lain-lain penyakit lagi.

Untuk keadaan ketiga iaitu tekanan optimum atau tekanan sihat yang juga dikenali sebagai eustress, seseorang itu akan merasa mendapat suatu bentuk tujahan di mana dia mampu menggunakan segala potensi yang ada dalam dirinya untuk mencapai sesuatu kejayaan yang diusahakan. Apabila tekanan meningkat, tenaga juga meningkat. Dia akan merasa terangsang, seronok dan merasakan cabaran yang sedang dihadapi menguji kekuatan dari segi fizikal, mental dan juga spiritual. Dengan kawalan diri yang tepat dan pelbagai aspek untuk menyerlah, dia akan dapat memberikan yang terbaik dan akan merasa puas dengan apa yang dilakukannya. Insan yang cemerlang tahu keadaan tekanan yang dihadapi dan akan menggunakan tekanan ini untuk kebaikan dirinya dan juga orang lain.

Kalau kita perhatikan ketiga-tiga fasa tekanan tadi, kita akan dapati bahawa manusia memerlukan tekanan yang sesuai dan seimbang untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam kehidupannya. Sekiranya kita mendapat terlalu sikit tekanan atau terlebih tekanan ianya hanya akan memudaratkan manakala tekanan yang optima akan memberikan banyak manfaat. Jadi kita harus tahu di mana tahap tekanan yang kita lalui dan menentupastikan keseimbangannya agar kita dapat menggunakan tekanan tersebut untuk kecemerlangan diri kita dan juga orang lain.

Usahlah kita sibuk menyatakan bahawa diri kita dalam keadaan tertekan sedangkan kita tidak pasti tahap tekanan yang kita lalui.

Sebagai rangkuman, mari kita perhatikan apa yang dapat kita pelajari dari tekanan.

  1. Tekanan merupakan lumrah dalam kehidupan yang perlu dihadapi oleh semua manusia.
  2. Tekanan terbahagi kepada kurang tekanan, lebihan tekanan dan tekanan sihat atau tekanan optimal (eustress).
  3. Kita harus faham tahap tekanan yang dilalui pada sesuatu masa, mengawal dan menentupastikan kesimbangan untuk memanfaatkan tekanan tersebut.

Akhir kata: –

Tekanan ada di mana-mana

Untuk yang bekerja, berniaga mahupun sesiapa jua

Gunakan ia untuk manfaat kita

Kelak kejayaan menanti di sana

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya…

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.