Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Rangsangan dan Tindakbalas – Siri 25

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Rangsangan dan Tindakbalas – Siri 25

352
0

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Rangsangan dan Tindakbalas – Siri 25 

 ‘antara maslahat dan mudarat…’

| Oleh Champ Hussain

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sesungguhnya dalam hari-hari kita menelusuri kecemerlangan, begitu banyak yang telah kita dapati namun perlu kita terus pelajari kerana tiada noktah dalam memperbaiki diri kita yang lemah dan kerdil ini di sisi Allah SWT. Adakalanya kita berjalan, adakalanya kita berlari-lari anak dan ada masanya kita kena berlari pantas dalam kehidupan ini kerana kepelbagaian dan perbezaan perkara-perkara yang kita hadapi. Maka kali ini, mari kita bicarakan bentuk rangsangan dan tindakbalas yang perlu untuk setiap manusia untuk menggerakkannya dalam mengejar impian. Ada satu kata-kata berbunyi seperti berikut:-

‘Manusia sebenarnya tidak malas tetapi mereka mempunyai matlamat yang mati’ – yakni matlamat yang tidak merangsang mereka.

Memang kalau kita teliti kata-kata tersebut, ternyata ada kebenarannya. Kita ambil contoh di sini iaitu apabila murid-murid tadika atau sekolah rendah disuruh berdiri, mereka akan berdiri tanpa sebab yang perlu difikirkan. Hanya arahan daripada guru mereka sudah cukup untuk merangsang mereka untuk berdiri. Mungkin ada yang lambat sedikit untuk berdiri tetapi mereka tetap berdiri juga akhirnya. Rangsangan di sini adalah arahan yang diberi oleh guru tersebut. Tindakbalas yang lahir dari rangsangan tersebut ialah tindakan murid-murid tersebut berdiri. Namun ianya tidak semudah itu apabila rahan yang sama diberikan kepada mereka yang sudah boleh berfikir. Ada yang akan bangun secara spontan, ada yang melihat orang lain berbuat maka merekapun berbuat sama dan ada yang tidak mengambil endah. Ia banyak bergantung kepada kepelbagaian manusia, situasi dan ada masanya tempat itu sendiri.

Ini sebenarnya telah diuji pada sekitar tahun 1890an oleh seorang pakar psikologi Russia iaitu Ivan Pavlov di mana beliau menggunakan rangsangan membunyikan loceng dan menunjukkan makanan kepada anjing tersebut dan anjing tersebut akan mengeluarkan air liur. Ini dilakukan berulang kali sehingga akhirnya beliau hanya perlu untuk membunyikan loceng tersebut dan anjing tersebut akan mengeluarkan air liur secara otomatik tetapi lama kelamaan air liur anjing tersebut akan semakin kurang kerana tiada makanan yang diberi. Di sini rangsangan semakin berkurangan dan begitu jugalah dengan tindakbalas. Ini dinamakan Classical Conditioning atau Pelaziman Klasik.

Kita ambil pembelajaran dari ujikaji yang telah dilakukan ini dan kita teliti apa hasil yang boleh didapati dan dapat diaplikasi dalam kehidupan. Manusia bertindak melalui rangsangan dan tindakan mereka akan berkurangan apabila tiada rangsangan lagi. Itulah sebabnya kadangkala apabila satu ketika dulu apabila seseorang ibu menyuruh anaknya untuk ke kedai membeli barangan keperluan dan selalunya akan memberi upah sebagai rangsangan untuk mendapatkan anaknya supaya pergi tanpa sebarang alasan. Upah tersebut mungkin dalam bentuk janji untuk membenarkannya bermain dengan kawan-kawan, memberikan makanan kegemarannya atau selalunya yang lebih mudah dan popular dengan memberikannya wang.

Namun sekiranya tiada upah diberikan, anak itu akan berasa malas untuk pergi ke kedai kerana dia merasa tiada imbuhan untuknya dalam melaksanakan tugas tersebut. Di sinilah kita harus berhati-hati dengan apa yang dimaksudkan di antara ‘reward (ganjaran) dan bribery (rasuah)’. Apabila ini disalahtafsirkan, ianya akan menjadi suatu gejala buruk iaitu apabila ada pertolongan, mesti ada balasan. Ini yang banyak berlaku dengan gejala rasuah yang berleluasa tatkala ini di mana rangsangan untuk meluluskan sesuatu permohonan contohnya akan mendapat tindakbalas yang pantas apabila dijanjikan dengan sesuatu ‘ganjaran’ sedangkan sebenarnya ianya merupakan tugas hakiki pegawai tersebut kerana dia akan mendapat gaji pada akhir bulan.

Ini sudah menjadi lumrah manusia; ada ubi ada batas, ada budi ada balas. Dalam melakukan sesuatu kerja, kita mesti ingat bahawa balasan yang kita terima itu tidak semestinya serta merta tetapi mungkin akan dibalas oleh Allah SWT suatu hari nanti.

Insan yang cemerlang adalah mereka yang sentiasa memastikan agar rangsangan kepada dirinya adalah sesuatu yang positif, menyeronokkan yang akan membawa kebaikan. Dengan yang demikian, nescaya tindakbalas tersebut akan berlaku secara otomatik sekaligus mendapat hasil yang memuaskan hati. Jadi tetapkanlah rangsangan yang mudah, bermanfaat dan berbaloi untuk dilaksanakan dan pastinya tindakbalasnya akan menghasilkan kemaslahatan yang tidak akan memberikan sebarang kemudaratan.

Sebagai rangkuman…

  1. Rangsangan dan tindakbalas adalah perlu untuk setiap manusia untuk menggerakkannya dalam mengejar impian mereka.
  2. Ganjaran yang baik perlu untuk mendapatkan tindakbalas yang baik dan sebaliknya pula.
  3. Berhati-hati dalam memberi ganjaran agar ianya menjadi maslahat dan bukannya mudarat.

Akhir kata: –

Rangsangan itu suara hati

Tindakbalas itu perbuatan diri

Pastikan keduanya serentak selari

Nescaya cemerlang menanti diri

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya…

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.