Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Membaca Membuka Minda – Siri 13

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Membaca Membuka Minda – Siri 13

410
0

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Membaca Membuka Minda – Siri 13

‘menjelaskan yang kabur…’

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan,” Surah Iqra’ (96) ayat (1)

Dalam banyak perkara yang diperkatakan tentang kecemerlangan, kita tentu tidak dapat lari daripada menguasai ilmu dan saya telahpun sentuh tentang perkara ini dalam siri ke12. Apa yang ingin saya utarakan kali ini ialah minat membaca yang patut disemai di dalam hati setiap orang yang ingin dirinya bergelar cemerlang.

Kali ni kita bercakap tentang minat membaca. Kita sedia maklum bahawa menerusi pembacaan seseorang itu akan dapat menguasai sesuatu ilmu itu dengan lebih mendalam lagi. Tentunya apabila kita belajar kita haruslah berguru untuk memastikan supaya apa yang kita pelajari itu tidak terpesong daripada apa yang ingin disampaikan di dalam buku tersebut. Walaubagaimanapun apabila kita telah memahami sesuatu subjek itu, contohnya kita belajar membaca Al Qur’an. Mula mula kita harus belajar dengan seorang guru bertauliah kerana dia lebih menguasai tajwid, makraj, taranum dan sebagainya untuk mendapatkan teknik bacaan yang betul. Apabila kita telah faham bacaan tersebut bolehlah kemudiannya kita belajar perkara-perkara yang lebih tinggi tahapnya itu dengan berlatih dengan membaca Al Qur’an setiap hari dan mendengar bacaannya dari Qari-qari yang lain untuk menguasai bacaan, makna (terjemahan) dan pemahaman sebenarnya (tafsir).

Kita tahu setiap pemimpin yang cemerlang itu mempunyai minat membaca yang sangat mendalam contohnya Tun Dr Mahathir (ini bukan bicara politik ya tapi tentang tabiat suka membacanya). Saya rasa semua orang tahu bahawa beliau memang minat membaca dan jenis pembacaan beliau sangatlah meluas dan merangkum pelbagai pelangi ilmu. Dari politik kepada ekonomi kepada sastera kepada komputer kepada perubatan dan bermacam-macam lagi yang mungkin tidak menarik minat orang lain. Di sinilah letaknya kekuatan beliau sebagai seorang pemimpin yang cemerlang kerana penguasaan ilmunya yang luas.

Jika kita hendak mencapai kecemerlangan, minat membaca ini adalah suatu perkara yang tidak boleh kita ambil mudah kerana kita tahu ilmu itu tangga kejayaan dan kecemerlangan.

Mungkin kadangkala kita merasa susah untuk membaca sebuah buku yang tebal, jadi mulakanlah dengan buku yang nipis. Kalau kita tidak faham dengan buku-buku atau bacaan-bacaan yang terlalu canggih, mulakanlah dengan buku-buku atau bacaan-bacaan yang mudah.

Tetapi janganlah kita ashik baca komik sahaja hanya kerana ianya melucukan walaupun kadangkala dalam komik tersebut ada unsur unsur yang positif. Bacalah buku buku yang berkait dengan kerjaya kita dahulu sebelum kita membaca buku buku lain contohnya kalau kita dalam bidang penjualan, bacalah buku buku yang  berkait dengan penjualan, caranya, bagaimana menangani tentangan,  buku buku motivasi dan lain lain yang mempunyai isi yang boleh digunakan untuk kerjaya kita itu.

Di samping kita membaca dan untuk kita memahami apa yang telah kita baca itu, terangkanlah kepada orang lain untuk menguji kefahaman kita. Kita juga harus terapkan semangat suka membaca ini kepada pasangan dan anak anak kita. Kalau anak-anak kecil pegang suratkhabar atau buku jangan marah dia kerana takut buku tersebut koyak sebab kita akan hanya membunuh minat dia untuk membaca. Kita harus ajar dia bagaimana untuk menjaga buku dengan baik dan terangkan faedah yang ada di dalam buku itu.

In shaa Allah banyak perkara yang kita tidak tahu dalam dunia ini akan dapat kita ketahui melalui pembacaan yang meluas dan kita akan dapat mencapai kecemerlangan yang kita cari dengan ilmu yang kita dapati dari pembacaan.

Sebagai rangkuman, 3 perkara yang boleh kita pelajari ialah: –

  1. Membaca membuka minda kepada perkara yang sebelumnya tidak diketahui.
  2. Membaca menjelaskan sesuatu yang suatu ketika mungkin kita ketahui tetapi kabur kepada pemahaman yang jelas dan memberi makna.
  3. Bacalah Al Qur’an setiap hari walau satu ayat atau satu muka secara konsisten, barulah baca bahan-bahan lain yang bermanfaat untuk kehidupan kita dan orang lain.

Kita sedia maklum bahawa masyarakat yang tidak membaca itu adalah masyarakat yang lemah, mundur dan ‘terpenjara’ sedangkan masyarakat yang rajin membaca itu merupakan masyarakat yang kuat, maju dan bebas. Sebagaimana yang telah dicontohkan pada Zaman Kecemerlangan Tamadun Islam di Andalusia sebagai model terbaik kerana ia telah memberi sumbangan yang sangat besar kepada dunia sehingga hari ini yang didasarkan pada ilmu (https://ejournal.um.edu.my/index.php/ADAB/article/download/14047/9354/). Dan bicara ilmu sekaligus merangkumi budaya minat membaca, mencerna dan mempraktikkan ilmu tersebut. Walau kita kurang minat membaca buku fizikal, bacalah e-book (yang bermanfaat) yang boleh didapati secara percuma di pelbagai website di internet. Ayoh, mari kita budayakannya…

Membaca itu sumber kuasa

Memberi pengetahuan kepada kita

Tanamkan semangat kepada ia

Walaupun hanya untuk seketika

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya…

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين

Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.