Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Kemahiran dan Kompetensi Kendiri – Siri 11

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Kemahiran dan Kompetensi Kendiri – Siri 11

199
0

MENELUSURI KECEMERLANGAN – Kemahiran & Kompetensi Kendiri – Siri 11
‘mengasah ilmu kehidupan…’

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Untuk mencapai matlamat yang kita impikan, kita mesti mengenali dan memahami kemahiran yang ada pada kita. Dalam banyak keadaan kemahiran seseorang itu tidak begitu ketara apabila kita melihat sekilas pandang. Walaubagaimanapun apabila kita teliti betul-betul, semua orang ada kebolehan dan kemahirannya yang tersendiri.

Contoh contohnya tentang kemahirannya ialah:-

Memberi perhatian kepada butir butir yang kecil. Berkomunikasi dengan baik, menjadi perancang yang baik, kebolehan untuk melakukan lebih dari satu perkara pada sesuatu masa, sabra menghadapi cabaran, kemahiran untuk bertanya dan berbagai bagai lagi kebolehan yang kadangkala tidak kita sedari tapi kita boleh gunakan dari sudut yang positif.

Kadangkala sesetengah kemahiran kita terpendam (ini yang orang banyak kata ‘bakat terpendam’). Kadangkala ia hanya akan timbul pada masa-masa krisis ataupun dalam keadaan tertentu. Adakalanya kita hanya menggunakan sesuatu kemahiran kita itu pada kadar yang minima sedangkan kemahiran-kemahiran yang lain pula tidak langsung digunakan.

Apapun keadaan yang kita hadapi, kita telahpun diberikan oleh Allah SWT dengan kemahiran yang nyata ataupun terpendam, samada secara keistimewaan semulajadi ataupun dengan cara dipelajari yang perlu dikenalpasti, dibangunkan atau dilatih dan digunakan untuk tujuan yang baik.

Kita semua mempunyai kebolehan dan kemahiran yang menakjubkan. Jika kita hendak mencapai kecemerlangan yang sentiasa kita impikan, kita haruslah menganalisa dan menajamkan kebolehan kita ini sehingga ianya menjadi kompetensi.

Kadangkala kita terpaksa berhadapan dengan situasi situasi yang mencemaskan atau cabaran cabaran untuk mengetahui kemahiran tersebut. Manakala dalam keadaan biasa, kita banyak menggunakan pelbagai kemahiran contohnya menulis, menaip, memasak, berdandan, memanjat dan bermacam-macam lagi kemahiran yang kita miliki namun tidak kita sedari dan sering kita pandang ringan sedangkan apabila ianya ditarik oleh Allah SWT walaupun buat sementara waktu, kita akan jadi resah gelisah dan merasa tidak tentu arah. Contohnya apabila jari kita luka, fungsi motor kita akan terjejas dan sekaligus menjadikan kita janggal dalam perkara-perkara biasa yang kita buat tanpa berfikir misalnya makan yang biasanya begitu mudah untuk dilakukan.

Jadi ingatlah bahawa Allah telah berlaku adil kepada semua insan di muka bumi ini. Orang orang yang mempunyai cabaran tubuh badan atau anggota juga mempunyai kemahiran mereka sendiri apatah lagi kita yang sempurna ini. Jangan kita salahkan keadaan sekiranya kita tidak mencapai hasrat yang kita idam-idamkan. Lihatlah pada diri kita sendiri dan tanyalah “Apakah lagi kebolehan yang belum aku gunakan dalam menuju kecemerlangan?” dan berserahlah pada Sang Pencipta kerana tiada yang mungkin dapat dicapai tak kira semahir apapun kita andai belum diizinkan oleh-Nya.

Insan yang cemerlang itu adalah mereka yang bersyukur dengan apa yang ada pada mereka dan akan berusaha menajamkan kemahiran tersebut di samping menambah kemahiran-kemahiran lain untuk manfaat diri sendiri dan orang lain. Apabila sesuatu kemahiran itu telah diasah ke tahap yang tertinggi, ianya akan menjadi kompetensi yakni tahap yang dipanggil professional.

3 panduan mudah dalam mencungkil kemahiran sebagai berikut: –

1) Kenalpasti kemahiran yang ada pada kita sekarang dan tambah kemahiran lain yang kita rasa perlu samada sekarang atau untuk persiapan masa akan datang.
2) Kadanagkana kita harus meletakkan diri kita dalam sesuatu keadaan kritikal untuk mencungkil kemahiran terpendam yang kita sendiri tidak ketahui.
3) ‘Practice makes perfect’ suatu peribahasa Bahasa Inggeris yang sering kita dengar namun untuk mencapai kesempurnaan (perfection) ianya harus diasah dengan diulang berkali-kali sehingga ianya menjadi (second nature) atau kebiasaan pada diri kita ibarat bernafas, berjalan, berlari dan sebagainya.

Setiap manusia dilahirkan sama
Punya anggota yang cukup sempurna
Kemahiran, kebolehan semuanya ada
Mencari kecemerlangan kerana Yang Maha Esa

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya…

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.