MENELUSURI KECEMERLANGAN – Integriti Insani Bahagian 2 – Siri 7
‘menanggung amanah…’
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
“Mereka menjawab: “Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” Al Baqarah (2) ayat (32)
Dengan nama Allah SWT dan ilham dan petunjuk dari Nya…
Apabila kita berbicara tentang integriti, ianya tidak lengkap tanpa amanah kerana integriti adalah rangkuman jujur and amanah. Nilai Kejujuran sebagaimana yang kita bincangkan dalam siri ke-6 sebelum ini lebih banyak merangkumi aspek integriti pada diri sendiri dahulu sebelum dengan orang lain. Ianya sememangnya sesuatu yang sudah pasti berat untuk dilaksanakan sebab manusia itu tidak lekang dari suka menipu terutamanya diri sendiri. Dengan sebab itu, kejujuran adalah satu nilai yang sangat penting dalam menjadi insan cemerlang.
Amanah pula merupakan sesuatu yang dipercayakan kepada seseorang contohnya mengamanahkan barang, wang atau sesuatu ynag bernilai untuk disimpan untuk satu tempoh waktu sebelum diminta semula (seperti menyimpan wang di bank). Sebelum diangkat sebagai Nabi dan Rasul lagi, Rasullulah SAW telah menunjukkan sifat amanah yang sangat tinggi yaitu sebagai orang yang paling dipercayai di kalangan kaum Baginda sehingga Baginda mendapat gelaran ‘Al Amin’ yakni Yang Terpercaya atau Yang Boleh Dipercayai. Maka bukanlah menghairankan apabila Baginda Rasullulah SAW merupakan insan yang paling cemerlang di dunia dan tak mungkin dapat ditandingi oleh sesiapa pun dari kalangan manusia.
Sabda Rasulullah SAW menegaskan hal sebagaimana disebutkan di atas:-
“Tiada iman pada orang yang tidak menunaikan amanah; dan tiada agama pada orang yang tidak menunaikan janji.” (Ahmad dan Ibnu Hibban)
Seseorang yang amanah akan berusaha untuk memenuhi dasar, kod etika, undang-undang dan janji-janji mereka. Antara ciri-ciri amanah ialah memenuhi tanggungjawab dan amanah yang Allah SWT telah berikan kepada kita sebagai manusia iaitu menjadi Khalifah di muka bumi. Sememangnya ianya satu perkara yang begitu besar dan berat untuk ditanggung kerana manusia secara fitrahnya jahil namun menyanggupi untuk memikul amanah tersebut. Ianya tercantum dalam ayat berikut:-
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya (ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” Surah Al-Ahzab(33) ayat 72
Apabila diberikan amanah, insan cemerlang akan berusaha semaksimal dan seoptimal mungkin untuk melaksanakannya tanpa memberi sebarang alasan untuk menyempurnakannya sebaik mungkin dalam tempoh yang ditentukan di mana kita telah diajarkan tentang kepentingan masa. Maka insan yang cemerlang akan menggunakan masa sebaik mungkin dan melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya mengikut ruang masa dari satu masa solat ke satu masa solat yang lain tanpa meninggalkan ibadah paling utama tersebut disebabkan amanah yang diberikan kepadanya.
Insan cemerlang juga akan memastikan tiada penyalahgunaan sumber apa lagi kuasa yang ‘dipinjamkan’ sementara waktu kepadanya contohnya apabila memegang jawatan sebagai Pengurus, Pengarah atau apa sahaja jawatan yang disandangnya. Dia tidak akan menggunakan sumber atau kuasa tersebut untuk kepentingan peribadi yang akan menjejaskan integriti dirinya sendiri.
Di sinilah kebanyakan mereka yang memegang jawatan terjebak dengan godaan tiga TA iaitu tahta, kuasa dan wanita dan kecundang dengan fatamorgana kemewahan dunia. Sebab itu amanah bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng sebab ianya akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
Sebagai rangkuman, memikul amanah haruslah memenuhi ciri-ciri seperti berikut: –
- Nilai diri sendiri dari segi kekuatan dan kelemahan samada mampu atau tidak untuk memikul amanah tersebut. Andai mampu silakan, andai tidak tinggalkan.
- Laksanakannya amanah sebagaimana yang ditetapkan tempoh masa yang ditetapkan tanpa bertangguh.
- Menggunakan jawatan sebagaimana yang telah ditetapkan tanpa sebarang penyalahgunaan kuasa dan mengelakkan dari jeratan rasuah dan pembaziran.
Amanah dipikul hanya yang mampu
Walau tak mampu ramai yang mahu
Jawatan bukan hanya di dunia
Kelak di akhirat akan ditanya
Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya
هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.
* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.
* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474