Home Education & Training MENELUSURI KECEMERLANGAN: Aspek Kecemerlangan Menyeluruh – Siri 2

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Aspek Kecemerlangan Menyeluruh – Siri 2

150
0

MENELUSURI KECEMERLANGAN

 Aspek Kecemerlangan Menyeluruh – Siri 2

‘merangkum dan mencantum…’

 

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

“Mereka menjawab: “Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” Al Baqarah (2) ayat (32)

Dengan nama Allah SWT dan petunjuk-Nya…

Sebagai ulangkaji, kecemerlangan bermaksud keelokkan, keindahan atau kegemilangan agar definisi ini sentiasa segar dalam minda kita sentiasa.

Maka untuk mencapai kecemerlangan, seseorang insan cemerlang itu harus mencakupi dan meliputi semua aspek kehidupannya iaitu dari segi:

Rohani (iaitu ugama dan minda) & jasmani (iaitu tubuh badan)

Keluarga terdekat dan keluarga besar termasuk keluarga pasangan

Kerjaya dan industri yang terkait

Masyarakat yang merangkumi sahabat handai, jiran tetangga, budaya, adat resam, sosial serta segala yang berkaitan dengan hal-hal kemasyarakatan

Negara, Dunia dan Alam Semesta

serta berbagai-bagai lagi aspek aspek kehidupan lain yang berhubung rapat atau berkait yang boleh kita beri sumbangan untuk menuju ke arah kecemerlangan. Barulah kita boleh digelar insan cemerlang…itupun ianya bukan gelaran yang kita panggil untuk diri kita sendiri.

Insan cemerlang adalah mereka yang prihatin terhadap semua aspek kehidupan. Mereka ini adalah daripada golongan ‘all-rounder’ atau ‘semua boleh’. Maksudnya di sini, selain daripada memberikan tumpuan khusus terhadap diri mereka sendiri dan juga keluarga mereka, mereka juga akan memastikan atau membantu sedaya upaya untuk melihat kecemerlangan orang dan hal-hal sekelilingnya secara keseluruhan.

Saya ingin menyentuh di sini contohnya kalau di rumah, sekiranya lelaki, mereka akan menjadi ketua keluarga atau pemimpin kepada isteri dan juga anak anak mereka kerana merekalah yang akan mencorakkan kehidupan keluarga mereka tentulah dengan kerjasama serta muafakat dengan isteri isteri mereka. Kebahagiaan rumahtangga tersebut terletak pada tangan mereka. Mereka akan memastikan supaya si isteri tahu tanggungjawab beliau sebagai isteri dan ibu dan si anak pula memainkan peranan sebagai jambatan yang merapatkan silaturahim antara ayah dan ibu mereka. Sekiranya mereka memikul tanggungjawab tersebut  dengan sempurna, maka keluarga tersebut sudah tentu akan aman bahagia dan akan terselamatlah keluarga tersebut daripada porak peranda.

Adakalanya seseorang itu sangat cemerlang pada satu-satu aspek contohnya dia seorang yang sangat berjaya dalam kerjayanya di tempat kerja samada sebagai seorang Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurus atau Penyelia tak kira apa tugasannya pasti dilakukan dan dicermati dengan teliti dan begitu baik sekali. Namun pada sisi yang lain disebabkan kesibukan tugasnya, dia lupa dengan tanggungjawabnya sebagai samada suami/ayah atau isteri/ibu dan sebagai anggota masyarakat dan tidak pernah tunjuk muka pun pada majlis-majlis yang diadakan di kawasan perumahannya contohnya pada majlis-majlis kenduri kahwin atau gotong royong yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Perumahan tersebut (walaupun tatkala ini disebabkan wabak yang sedang melanda menyebabkan aktiviti-aktiviti ini terhenti buat sementara). Namun hakikatnya kecemerlangan insan tersebut lebih bersifat eksklusif dan bukan inklusif.

Di sini kita boleh lihat bahawa sekiranya seseorang itu ingin mencapai kecemerlangan secara keseluruhan, mereka harus bermula daripada rumah barulah budaya cemerlang ini dapat menular ke tempat kerja, dalam masyarakat tempatan mereka dan seterusnya pada peringkat negeri dan mungkin negara. Ibarat Swiss Army Knife pelbagai fungsi, dia mampu mencari dan memberi solusi pada setiap situasi atau kondisi.

Semua ini harus berpunca dari diri sendiri dahulu barulah kecemerlangan secara keseluruhan dapat dinikmati. Seseorang yang cemerlang secara menyeluruh adalah seseorang yang tidak menghukum tanpa befikir secara rasional tetapi mampu merangkum dan mencantum semua aspek dalam kehidupannya secara alami yakni tanpa merasa terpaksa tetapi secara semulajadi.

Kecemerlangan secara total inilah yang diseru oleh negara kita dan hanya menerusi cara ini sahajalah baru dapat negara kita mengecapi kejayaan sebenar dan bukan sahaja setanding dengan negara negara lain malahan lebih baik daripada negara negara tersebut.

Sebagai rangkuman, seorang insan cemerlang itu harus:-

 

  1. Tahu fungsi dirinya pada setiap masa, tempat, situasi dan kondisi.
  2. Cakna dengan segala yang berlaku bukan sahaja pada dirinya tapi pada persekitarannya juga.
  3. Mampu mewarnai norma-norma kehidupan dengan merangkum dan mencantum setiap aspek kehidupan

 

Kecemerlangan diri menjadi tujuan

Secara keseluruhan itulah persoalan

Mulakan dari diri, keluarga dan rakan taulan

Ke negara dan seterusnya pastikan jadi amalan

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين

Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

champgye@gmail.com

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.