PROGRAM TVET @TAHFIZ: SISTEM AKUAPONIK
Oleh: Ridzuan bin Khalid
KUALA ROMPIN: Seramai 12 orang pensyarah dari Kolej Komuniti Rompin telah terlibat dalam Program Tanggungjawab Sosial – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) @ Tahfiz : Sistem Akuaponik yang telah berlangsung dari 23 Februari 2019 hingga 11 April 2019. Program ini merupakan kolaborasi di antara Kolej Komuniti Rompin dengan Pondok Rahmat Project dan seramai 13 orang pelajar tahfiz dari Maahad Tahfiz Al – Jauhari telah dipilih sebagai pelatih bagi program ini.
Dalam memperkasa sistem pendidikan pondok dan tahfiz, kerajaan telah memperkenalkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) iaitu TVET@Tahfiz bagi mendedahkan pelajar tahfiz di negara ini dengan kemahiran. Persaingan tinggi dalam dunia pekerjaan menuntut pembaharuan dalam bidang pengajian tahfiz, antaranya melengkapi pelajar dengan nilai tambah dalam bidang berasaskan vokasional. Transformasi sekolah atau pusat tahfiz di negara ini yang dahulunya hanya tertumpu kepada pendidikan menghafaz al-Quran adalah hasil daripada usaha kerajaan melalui rancangan menyeluruh dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.
Perkara utama yang perlu dititik beratkan dalam soal ramuan sesuatu makanan itu adalah mengenal pasti sumbernya sama ada ia halal atau tidak. Kesucian makanan amat dititik beratkan oleh masyarakat Islam terutama bagi pelajar pendidikan pondok dan tahfiz. Isu ini amat sensitif kepada masyarakat Islam terutamanya di negara ini kerana ia memberi implikasi terhadap ibadah yang dilaksanakan. Jesteru itu, pihak Kolej Komuniti Rompin dan Pondok Rahmat Project telah berkerjasama dalam penghasilan Sistem Akuaponik bagi pusat ini.
Sistem yang menggabungkan kombinasi di antara akuakultur (ternakan ikan) dan hidroponik (tanaman tanpa tanah) yang mana jika diusahakan secara komersial mampu menjana punca pendapatan yang lumayan. Pelbagai jenis sayur-sayuran yang telah ditanam antaranya kacang bendi, tomato, cili dan bagi ternakan ikan pula adalah ikan tilapia merah. Paling menggembirakan juga adalah pokok strawberry tumbuh segar melalui Sistem Akuaponik ini.
Program ini telah diketuai oleh Encik Qamaruddin bin Abdul Rahman, yang juga bertindak sebagai Penyelaras PISH, Kolej Komuniti Rompin. Sebanyak 10 kursus (bermodular) telah dijalankan bagi menyempurnakan keseluruhan sistem akuaponik ini. Berikut adalah senarai kursus-kursus yang terlibat:
- Kursus Penggunaan Peralatan Tangan
- Kursus Asas Welding MIG
- Kursus Pembinaan Rumah Kebun
- Kursus Pemasangan Bumbung Sistem Akuaponik
- Kursus Semaian Biji Binih
- Kursus Pembinaan Sistem NFT
- Kursus Pembinaan Sistem Akuaponik Ternakan Ikan
- Kursus Penjagaan Sistem Akuaponik Ternakan Ikan dan Sistem NFT
- Kursus Pemindahan Semaian ke Sistem NFT dan Pelepasan Ikan
- Kursus Asas Keusahawanan
Program ini diharapkan dapat meningkatkan kemahiran pelajar tahfiz serta menyediakan pelajar yang bukan sahaja memiliki ilmu berkaitan al-Quran tetapi juga kemahiran berbentuk teknikal. Sistem Akuaponik ini diharapkan juga menjadi salah satu cabang keusahawanan kepada pelajar dan Maahad Tahfiz Al – Jauhari, Kuala Rompin di samping itu menjadi yang alternatif terbaik dalam pengurusan kewangan bagi pusat ini.
Sebahagian pelajar dari Maahad Tahfiz Al- Jauhari yang telah terlibat di dalam Program TVET@ Tahfiz: Sistem Akuaponik