Oleh Loo Mei Yee & Ain Farhana Mohd Fairuzi
Maya Salon diuruskan oleh Maya Larourita, 52, yang berdekatan dengan kolej serumpun di Universiti Putra Malaysia, Serdang, telah menjadi tempat yang sering dikunjungi oleh para mahasiswi dari hari Isnin hingga Jumaat (11am – 7pm) serta Sabtu (temu janji sahaja).
Sebarang servis termasuklah gunting rambut, rawatan muka, spa, sauna dan lain-lain amat menepati kehendak mereka sehingga servis tersebut berjaya menarik hati ramai pelanggan tidak kira pelanggan lama mahupun yang baru. “Ada pelanggan yang meminta gaya rambut bob, tapi layer sepatutnya lebih sesuai dengan mukanya,” kata Maya. Bukan sahaja mendengar permintaan mereka, beliau juga memberi cadangan yang sesuai supaya mereka boleh mendapatkan servis yang terbaik.
Tempat ini juga membolehkan pelanggan merehatkan badan dengan harga yang murah berbanding dengan salon yang lain. “Bagi pakej rawatan itu, harganya ialah RM458 apabila saya bekerja di kedai orang lain, tetapi di sini, ia hanya RM275 dengan menggunakan produk yang sama,” kata Maya. Tidak berfikir untuk mendapatkan jumlah wang yang besar, Maya menentukan harga pakej menjadi lebih rendah bagi kebanyakan pelajar untuk menikmati servisnya. Menurut pendapat beliau, sekiranya ramai mahasiswi yang datang, bisnesnya juga dikira untung.
Pelbagai jenis servis disediakan di Maya Salon seperti gunting rambut dan rawatan terapi rambut.
Segala produk yang digunakan amat berkualiti kerana beliau hanyak memilih produk yang berasal dari Perancis dan Itali. Pengalaman bekerja sebagai seorang jurusolek di 11 kedai menjadi panduan kepadanya supaya untuk memberikan servis yang bermutu kepada pelanggan, beliau tidak menggunakan produk yang mengandungi bahan kimia yang kuat. “Produk yang lain tidak sesuai terhadap kulit di mana sesetengah pelanggannya mengalami kulit sensitif, menyebabkan muka mereka membengkak dan menjadi kemerah-merahan,” kata Maya. Sekiranya pelanggan menunjukkan kurang keyakinan pada produk luar negara itu, beliau juga bersikap sabar dan sanggup menerangkan dengan lebih teliti mengenai produk itu.
Bagi Maya, kesabaran amat diperlukan semasa melayan pelanggan. “Kita perlu berbudi bahasa, bukannya bersikap garang apabila bercakap dengan orang lain.” Katanya, pernah juga beliau terserempak dengan beberapa pelanggan yang bersikap keras kepala dan sangat menguji kesabaran, namun Maya tetap bertenang semasa berusaha untuk menyelesaikan pertelingkahan di antara mereka. “Tanpa mengira orang kaya atau miskin, kita juga perlu menyambut mereka dengan baik,” katanya dengan ramah. Ini menunjukkan Maya amat mementingkan hubungan dengan setiap orang yang mengunjungi salonnya.
Maya sedang mencuci rambut seorang gadis sebelum memberi rawatan.
Sebelum mencari rezeki di bandar, Maya telah mengambil kelas jurusolek sejak tahun 1993 dan membuka salon sendiri di kampungnya. Namun, ekonomi ketika itu kurang baik, dan anak Maya juga mendapat tawaran kemasukan ke universiti. “Bukannya ada dapat sebarang pinjaman, malah kita perlu membayar sendiri. Jadi, kita terus datang ke sini, dan saya mengikut orang lain menjadi pekerja,” kata beliau. Pada tahun 2012, beliau telah berjaya membuka salon sendiri apabila mendapat peluang untuk menyewa kedai kepunyaannya melalui pihak PJSD Holding.
Sehingga ke hari ini, Maya Salon masih diuruskan oleh pemiliknya sendiri. Setelah mencuba beberapa kali untuk mengambil pekerja dari luar, Maya lebih cenderung melakukannya secara sendirian. “Terdapat pelajar yang tidak selesa dengan pekerja lain dan permintaan mereka juga ada yang tidak dipenuhi,” kata beliau.
Selain dapat memenuhi komitmen dalam perniagaan perkhidmatannya, pengurusan bisnes secara sendirian juga menyenangkan Maya dan pelanggannya untuk melakukan temu janji. Menurut beliau, pelajar yang sering datang amat memahami situasi beliau dan membuat temu janji pada masa yang lain sekiranya ternampak Maya yang sedang sibuk bekerja. Hal ini menunjukkan bahawa ikatan dan kepercayaan antara Maya dan pelanggannya telah lama wujud dalam masa yang panjang.
Bilik untuk rawatan spa badan dan facial muka juga disediakan di Maya Salon.
“Kita perlu buat kerja bersungguh-sungguh sebagai tanda komitmen kepada pelanggan,” kata Maya sambil menunjukkan kesungguhannya terhadap bisnes tersebut. Beliau menumpukan tenaga untuk memuaskan hati pelanggan serta beliau merasakan kita tidak boleh melakukan kerja dengan tanpa rela walaupun kadang kala beliau mengalami kekangan masa. “Kita tidak boleh menghabiskan kerja dengan cepat kerana ada pelanggan yang sedang menunggu gilirannya. Sekiranya buat acuh tak acuh, nampak servis yang diberikan kepadanya tidak bersungguh-sungguh,” katanya. Oleh itu, kualiti servis merupakan unsur yang terpenting untuk mendapatkan pelanggan setia.
Bagaimanakah bisnes itu dikira cemerlang dan berjaya? Setiap individu mungkin mempunyai jawapan kepada diri sendiri. Bagi Maya, ia bukan pendapatan yang berjuta-juta, tetapi ia merupakan kebebasan untuk membuka kedai sendiri pada bila-bila masa dan memberi servis jurusolek terbaik yang digemari oleh para pelanggan.