Home Food & Beverages Emelia Idam Tawan Serata Dunia Dengan Sambal Bawang & Bilis Miliknya

Emelia Idam Tawan Serata Dunia Dengan Sambal Bawang & Bilis Miliknya

2723
0

Oleh Noorhidayah Abdul Latif & Suzilawani Mustapha

Seawal detik pertemuan, figura usahawan hebat ini memaparkan gayanya yang bersahaja. Emelia Abdul Malik anak jati kelahiran Pahang tampak anggun namun lantang dan petah berbicara mengenai liku-liku kehidupannya sepanjang menjalankan bisnes bagi produk Sambal Bawang dan Bilis keluaran syarikatnya sendiri iaitu Melia Empire.

Berbicara tentang kerjayanya yang lalu, amat mengejutkan beliau merupakan bekas pramugari Malaysia Airlines dan baru sahaja menamatkan perkhidmatan pada Disember 2015 setelah berkhidmat selama hampir 19 tahun.

Wanita yang berasal dari Kuantan, Pahang ini memulakan langkah serius dalam menjalankan perniagaan Sambal Bawang dan Bilis, sejurus bersara daripada bertugas di “awan biru”. Tidak mudah melatah, Emelia terus mengorak langkah dalam dunia perniagaan yang hampir memasuki dua tahun meskipun mengubah corak kehidupannya yang datang daripada industri penerbangan. “Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu”. Baru-baru ini, beliau terpilih sebagai usahawan harapan dalam RBC (Rural Business Challenge) yang mana menawarkan 1 juta geran kepada para usahawan untuk melebarkan sayap perniagaan. “Sentiasa pergi ke kursus-kursus berkaitan bisnes, banyakkan membaca buku motivasi kemudian baru diaplikasikan dalam memulakan perniagaan”. Itu prinsipnya sepanjang mengendalikan urusan perniagaan.

Puan Emelia Abdul Malek menerima  Anugerah Usahawan Harapan, Rural Business Challenge

Timbulnya minat apabila pertindihan masa waktu penerbangan menyukarkan krew-krew bertugas untuk mendapatkan makanan halal dan kebanyakan premis makanan sudah ditutup ketika mereka selesai bekerja. Sebagai langkah inisiatif, Emilia sekadar suka-suka mencuba resepi Sambal Bawang dan Bilis kerana faktornya yang tahan lama dan boleh dimakan begitu sahaja. Namun begitu, permintaan yang menggalakkan daripada rakan-rakan setugas membolehkan Emelia yakin tentang kebolehpasaran Sambal Bawang dan Bilis beliau. Ulas beliau lagi, “Saya memang minat dengan benda-benda yang bertradisi dan mempunyai nilai warisan sebagaimana Sambal Bawang dan Bilis yang berinspirasikan resepi tradisi keluarga ayah saya. Kalau boleh saya mahu generasi akan datang masih mampu menikmati warisan makanan melayu meskipun zaman kian berubah ke arah yang lebih moden”.

KELAINAN SAMBAL BAWANG & BILIS KELUARAN MELIA EMPIRE RASANYA MENYENGAT DAN MENAMBAT HATI PELANGGAN

Memegang prinsip “Pride towards your product” menjadikan  Emelia sangat teliti terhadap penjagaan yang  rapi bagi memastikan kualiti produk yang terhasil adalah yang  terbaik dan mampu bertahan lama  dalam jangka masa panjang. Melihat pada usahawan wanita yang berjiwa besar ini, beliau berani mencabar diri beliau dengan membawa suatu kelainan menerusi produk yang dijual. Menurut beliau, kebanyakan produk sambal di pasaran sering menjadikan “ikan bilis” sebagai watak utama namun berbeza bagi beliau yang memilih “bawang” sebagi karakter utama . Bawang yang mempunyai khasiat yang baik untuk kesihatan meyakinkan beliau untuk membawa suatu kelainan dalam industri pembuatan sambal tempatan.

Pada awal perjalanan bisnes Sambal Bawang dan Bilis beliau, resepi yang digunakan hanyalah secara ‘’Try & Error’’ menyebabkan kualiti sambal yang dihasilkan agak kurang memuaskan. Berbekalkan minat dan iltizam yang tinggi, Emelia mula  melakukan “study case” dengan mencuba pelbagai jenis bawang dan ikan bilis yang berbeza gred dan tempat supaya bahan mentah utama yang terpilih adalah yang terbaik dan sesuai untuk produk sambal beliau. Misalnya,  bawang yang dipilih adalah jenis yang mempunyai kandungan air yang minimum bagi mempercepatkan proses penggorengan  manakala bagi ikan bilis pula, Emelia lebih memilih ikan bilis dari Pangkor dan Langkawi kerana teksturnya yang lebih lembut dan bersesuaian dengan adunan sambal beliau.

Turut menceritakan proses pembuatan Sambal Bawang dan Bilis beliau yang memakan masa hampir lapan jam sehari, Emelia berkata proses pengupasan bawang dan ikan bilis serta bahan mentah lain akan dilakukan sehari sebelum proses menggoreng. Ikan bilis perlu dikupas dan dibasuh terlebih dahulu sebelum dimasak dalam tempoh yang panjang supaya tahan lama dan tidak berkulat sebagaimana proses penggorengan bawang yang sangat menitikberatkan penjagaan dan pengawalan suhu haba yang sekata  agar bawang yang digoreng tidak hangus dan kemanisan bawang masih dapat dikekalkan. Tambah Emelia lagi, sepanjang proses penghasilan produk, tiada sebarang bahan pengawet ditambah dan mereka masih mengekalkan rasa asli bawang tersebut.

“Kita sendiri ada rasa masing-masing terhadap makanan, jadi saya harapkan apabila orang makan, mereka akan rasa sebagaimana apa yang saya rasa”. Jelasnya,“Bila kita melibatkan diri dalam proses pembuatan makanan, sikap ikhlas dan menjaga kebersihan itu aspek yang paling penting supaya makanan yang dihasilkan adalah dalam kondisi yang memuaskan.”

STRATEGI PEMASARAN MELIA EMPIRE

Dalam memenuhi permintaan ramai terhadap Sambal Bawang dan Bilis, Emelia dan para pekerjanya seramai lima orang meneruskan legasi perniagaan beliau dengan menghasilkan dua produk baharu iaitu pekasam dan daging dengdeng. Namun begitu, buat masa kini permintaan dua produk tersebut adalah secara “open order” sahaja. “Setakat ini, di bawah saya terdapat 50 ejen yang aktif dan stok-stok yang dibekalkan setakat ini cukup dengan permintaan tinggi orang ramai.” Ejen Melia Empire telah berada di serata tempat di Semenanjung Malaysia , Sabah dan Sarawak termasuk ejen di London, Paris, Qatar dan lain-lain. “Saya daripada dulu memang suka dengan glob. Dekat rumah saya ada glob, jadi setiap hari saya akan tengok glob dan pastikan sambal saya berada di setiap tempat dalam glob itu. Alhamdulillah para pelanggan saya sangat membantu dan sporting. Setiap kali mereka repeat order mereka akan post di laman sosial Facebook dan Instagram tentang Sambal Bawang dan Bilis saya”.

Sambal Bawang dan Bilis MeliaEmpire enak dimakan bersama roti

SAMBUTAN PELANGGAN

Sambal Bawang dan Bilis memasuki pasaran antarabangsa dan boleh didapati di Malaysia Deli, London
Antara ejen MeliaEmpire yang berada di Doha, Qatar    
Puan Melia bersama salah seorang pelanggan beliau di Market Fair Casa D’Artisans, Hartamas Shopping Centre
Dato Fazley Yaakob tidak melepaskan peluang membeli Sambal Bawang dan Bilis MeliaEmpire

Nasihat beliau, “Apa yang saya boleh katakan, anda semua golongan yang beruntung kerana lahir dalam zaman teknologi. Walaupun duduk di rumah, tapi dengan jari-jemari yang mengusahakan  bisnes atas talian, anda mampu memperoleh pendapatan pada bila-bila masa . Kalau boleh manfaatkan peluang yang ada sekiranya berimpian untuk hidup dalam keadaan yang lebih selesa pada zaman ini.  Berusaha mengetengahkan bakat atau kelebihan lain untuk mendapatkan extra money”. Ujar beliau sejurus wawancara tamat.

Bagi mereka yang berminat untuk merasai keenakan Sambal Bawang & Bilis MeliaEmpire bolehlah mendapatkannya menerusi jualan atas talian Instagram bawangdanbilisofficial atau laman Facebook sambal bawang dan bilis. Tempahan Raya masih dibuka dan para pelanggan boleh mendapatkan sambal bawang dan bilis sebagai santapan  tambahan sepanjang bulan Ramadhan yang bakal tiba.

Oleh Noorhidayah Abdul Latif & Suzilawani Mustapha                                        

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.