Home Peristiwa Nasi Lemak makanan paling sihat di 10 negara di dunia

Nasi Lemak makanan paling sihat di 10 negara di dunia

295
0

KUALA LUMPUR Nasi lemak, hidangan kebangsaan yang digemari semua kaum di Malaysia, dinobatkan antara makanan paling sihat di 10 negara di dunia oleh majalah TIME, semalam.

Keenakan nasi lemak dengan aroma santan dan daun pandan yang semakin digemari ramai, termasuk pelancong luar negara itu digambarkan sebagai hidangan paling laris ketika sarapan.

Laporan majalah yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat itu antara lain mengakui nasi lemak mengandungi pelbagai khasiat untuk tubuh badan manusia.

“Biarpun makanan itu sedikit berlemak, ia seimbang kerana kaya dengan sumber protein dan karbohidrat. Cili dalam sambal yang dihidang bersama nasi lemak juga dapat meningkatkan metabolisme seseorang,” menurut majalah itu.

Perakuan mengenai khasiat nasi lemak itu turut disokong oleh fakta mengenai hidangan sampingan yang lazimnya disediakan sebagai pemangkin selera tatkala dijamah.

Antara hidangan sampingan nasi lemak adalah telur rebus kerana mempunyai kandungan Omega-3 yang tinggi, manakala timun pula kaya dengan folat atau asid folik, vitamin C dan K sebagai nutrien tambahan.

Selain itu, kerangupan ikan bilis goreng adalah sumber protein dan kalsium, malah kacang tanah sebagai pelengkap hidangan turut mengandungi vitamin larut lemak yang tinggi.

Pengiktirafan terhadap sajian warisan di Malaysia ini, sekali gus menjelaskan bahawa nasi lemak sewajarnya menjadi hidangan setiap pagi supaya memberi khasiat sepenuhnya untuk tubuh badan.

Bagaimanapun, kuantiti pengambilannya perlu dikawal bagi memastikan kesihatan tubuh sentiasa terjamin dan mengelakkan kemudaratan seperti penyakit disebabkan kolesterol berlebihan.

Turut disenarai dalam majalah TIME ialah sarapan dari Turki kerana mengandungi zaitun, tomato, keju putih, telur dan sosej.

Sup tulang diberi jolokan Pho dari Vietnam juga dinobat hidangan sihat apabila mengandungi campuran puluhan herba dan sayuran.

Tidak ketinggalan adalah Jepun dengan makanan bubur nasinya, iaitu eschews yang berunsurkan tofu, kicap soya, sayur jeruk, rumpai laut kering dan ikan.

Sumber BHONLINE https://www.google.com/amp/www.bharian.com.my/node/136196/amp

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.