Oleh: TunNurKhairulnissabintiTunMahadi / tunnurkhairulnissa@outlook.com
Dewasa ini, masyarakat sudah mula berfikiran terbuka dan menerima dengan baik usaha para pelajar khususnya mahasiswa IPT yang ingin bekerja untuk menambah pendapatan sampingan. Jika sebelum ini terdapat segelintir masyarakat yang prejudis serta memandang serong akan niat murni para mahasiswa ini sekaligus melabel mereka yang bekerja sering memberi alasan untuk mengelakkan diri dari perbincangan dan kerja berkumpulan. Hakikatnya, masyarakat harus faham bahawa setiap mahasiswa ini mempunyai sebab yang tersendiri untuk bekerja separuh masa ketika masih menuntut di IPT. Misalnya, mereka bekerja untuk menambah pendapatan disebabkan kos sara hidup yang semakin meningkat atau mungkin mereka berasal daripada keluarga berpendapatan sederhana atau rendah.
Selain daripada dapat menambah pendapatan sampingan, mahasiswa yang bekerja sambilan juga memperoleh pengalaman serta kemahiran insaniah dimana mereka dapat mempraktikkan kemahiran komunikasi sambil membuat persediaan untuk menghadapi alam pekerjaan. Hal ini kerana, mahasiswa terdedah dengan persekitaran baru di luar persekitaran pembelajaran di kampus dan ini dipercayai mampu mengajar mereka untuk menguruskan masa dengan lebih baik, berdisiplin, mempunyai sifat berdikari sertamenjadikan minda lebih matang dan terbuka.
Nurul Sofea binti Nasron atau lebih mesra dipanggil Sofea merupakan salah seorang penuntut sebuah IPT di tanah air yang melakukan dua kerja sampingan atas dasar minat dan ingin menimba pengalaman. Sofea merupakan seorang DJ di Putra Fm yang juga merupakan radio rasmi Universiti Putra Malaysia (UPM) iaitu tempat beliau menuntut ilmu sebagai pelajar tahun akhir jurusan Komunikasi Kewartawanan. Selain daripada menjadi penyampai radio, Sofea (23 tahun) yang berasal dari Johor ini juga menawarkan khidmat make-up dan henna dengan harga yang berpatutan.
Bercerita mengenai penglibatannya dalam bidang pengacaraan radio, pada mulanya beliau hanya mencuba nasib dengan mengisi borang permohonan tetapi akhirnya dipanggil temuduga dan lulus serta diterima sebagai penyampai radio Putra Fm. Sofea bertanggungjawab untuk mengendalikan slot Menu Putra, Menggapai Nur Illahi dan Muzik Tanpa Had. Menurutnya lagi sebagai seorang penyampai radio, beliau belajar ilmu baru serta perlu sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan dimana kecekapan adalah elemen yang sangat penting ketika bertugas sebagai penyampai radio.
Tidak hanya fokus sebagai mahasiswa dan penyampai radio, Sofea juga melibatkan diri dalam bidang yang diminatinya iaitu menawarkan khidmat make up dan melukis inai dengan harga yang mampu milik terutama kepada golongan mahasiswa. Apabila ditanya mengenai khidmat yang disediakan beliau menjelaskan bahawa perancangan untuk melakukan perkara ini sudah lama diimpikan namun terpaksa bertapak sedikit demi sedikit kerana modal untuk membeli peralatan solek yang berkualiti tinggi sangat mahal. Oleh itu, bermula pertengahan tahun 2016, beliau mula mengumpul modal sedikit demi sedikit dengan melakukan khidmat melukis inai di dalam UPM serta kawasan sekitarnya seperti di Putrajaya, Bangi dan Kajang kerana beliau menawarkan harga serendah RM5 untuk lukisan yang asas. Walaupun modal untuk melakukan khidmat ini sangat kecil, namun ianya memerlukan kemahiran dan ketelitian yang tinggi ketikamelukis inai.
Sofea juga berkongsi cerita mengenai cabaran yang dihadapi apabila mengambil keputusan untuk belajar sambil bekerja. Pada mulanya ibu dan bapa beliau bimbang jika pekerjaan yang dilakukan akan menganggu pelajarannya dan beliau juga telah dipujuk oleh bapaya supaya berhenti bekerja dan fokus dengan pelajaran sahaja. Namun, semua itu bukan penghalang bahkan telah menjadi pembakar semangat untuk beliau lebih maju dengan keputusan yang dipilih. Akhirnya ibu dan bapa beliau menyokong pilihannya selepas beliau berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang disamping dapat membahagikan masa dengan baik antara belajar dan bekerja. Dari sudut rakan-rakan pula, menurut beliau rakan-rakannya umpama adik-beradik dimana mereka sentiasa menyokong minat beliau dan turut sama membantu dalam mempermudahkan urusan sehariannya. Tambahnya lagi, ada antara rakannya yang turut meluangkan masa untuk menemani beliau semasa menjalankan khidmat solek atau inai.
Antara hasil kerja Sofea
Setelah bercerita mengenai pengalamannya, Sofea turut diajukan soalan mengenai usaha yang dilakukan untuk memajukan diri beliau. Menurutnya, beliau sentiasa mempunyai strategi yang tersendiri dalam menguruskan masanya dan wangnya dimana beliau akan mempunyai target pendapatan yang ingin dicapai dalam masa seminggu. Selain itu, beliau jugak akan melabur sedikit untuk mengikuti kelas make-up bagi menambah ilmu disamping menajamkan lagi bakat yang sedia ada. Baginya, yang paling penting ialah restu serta doa ibu dan bapanya yang merupakan sumber kekuatan untuknya terus berjuang sebagai seorang pelajar, pekerja dan usahawan.
Akhir kata, beliau turut berkongsi sedikit nasihat kepada mahasiswa yang bekerja sepertinya. Menurut Sofea, pengurusan masa merupakan elemen yang paling penting dalam hal ini dan jika seorang mahasiswa itu mengambil keputusan untuk berkerja, maka mahasiswa tersebut perlu menilai diri sendiri sama ada mampu untuk mengharungi cabaran yang mendatang atau sebaliknya. Namun harus diingat bahawa, kerja bukan alasan untuk mengabaikan pelajaran tetapi harus dijadikan pendorong untuk mematangkan pemikiran dan tingkah laku lebih lagi dalam membuat keputusan serta dalam menangani masalah.