Home Inspirasi Niaga Menjelajahi alam pekerjaan, Mastura tekad ambil risiko

Menjelajahi alam pekerjaan, Mastura tekad ambil risiko

461
0

Profil
Nama: Nurmastura Zulkafli
Tempat tinggal: Tangkak Johor
Pengajian: Komunikasi (Major Kewartawanan)
Pencapaian :
-Majlis Perwakilan Pelajar UPM 16/17
-Naib Presiden Persatuan Mahasiswa FBMK 16/17
-Presiden Kolej 16 15/16
-Ketua Unit sukarelawan MAHA 2016
-Misi bantuan banjir di Pahang 2017
-Setiausaha Program Mobiliti ke China 2017 (Ai D’China)
-Setiusaha Program Inter College English Debate (ICED 10)
-Ketua Operasi National Exhibition Science and Technology 2017
-Pengarah Program Mobiliti Thailand 2015 (Asean Youth Camp)
– Delegasi Malaysia ke Asean Student Leaders Forum 2016 di Filipina
-Ketua unit sukarelawan Program Temuduga Sekteriat Latihan 1 Malaysia (SL1M), PWTC (2017)

Bekerja separuh masa bukanlah satu perkara yang asing bagi pelajar universiti pada masa kini. Rata-rata pelajar yang memilih untuk melakukan kerja sambilan adalah untuk mencari pendapatan sampingan bagi menampung perbelanjaan harian. Menurut Nurmastura Zulkafli, 23, pelajar tahun akhir Universiti Putra Malaysia, beliau menegaskan bahawa bekerja sambilan bagi golongan yang memegang status pelajar sememangnya merupakan satu cabaran yang besar baik dari segi masa mahupun tenaga. Kekangan masa bagi seorang pelajar sememangnya merupakan sesuatu yang mencabar. “Kami perlu menyiapkan tugasan yang telah diberikan oleh pensyarah serta mengulangkaji nota-nota kuliah yang diberikan sebagai persediaan untuk menghadapi ujian akhir semester dan dalam masa yang sama kami perlu bekerja sambilan bagi menampung kos sara hidup yang semakin tinggi”, ujarnya memulakan bicara.

Namun begitu, beliau tidak pernah berputus asa dalam meneruskan perjuangannya sebagai pekerja disamping menjadi seorang pelajar. Menurut pelajar tajaan biasiswa JPA ini lagi, beliau tidak pernah terfikir untuk bekerja sambil belajar. Namun biasiswa tidak mampu untuk menanggung perbelanjaannya untuk mengikuti program mobiliti ke China. Oleh itu, salah satu cara ialah dengan bekerja dan dari situlah bermulanya pencarian beliau untuk mencari kerja, dan akhirnya beliau mendapat kerja di Fuel Shack, Ioi City Mall, Putrajaya sebagai pembantu jualan. Tambahan pula, beliau juga pernah berkerja sementara menunggu tawaran UPU di sebuah kedai roti Kings’ Cinfectionary, dan bekerja di kilang kayu. “Jadi saya tidak janggal apabila melakukan pekerjaan sambilan kerana sudah mempunyai pengalaman terdahulu”, ujarnya lagi.

Kesusahan hidup

Menurut pelajar ini lagi, beliau dilahirkan di kalangan adik-beradik yang ramai dan susah sejak dari kecil lagi. Oleh itu, beliau tekad untuk bekerja bagi mendapatkan apa yang diingini disamping meringankan beban keluarganya sendiri. “Adik-adik masih bersekolah jadi duit lebihan gaji saya, saya akan bantu adik-adik saya yang masih di bangku persekolahan dengan memenuhi keperluan mereka” katanya lagi.

Menggalas tanggungjawab sebagai salah seorang Majlis Perwakilan Pelajar bukanlah sesuatu tugas yang mudah. Menurut beliau yang juga memegang jawatan sebagai perwakilan dari segi pengangkutan, masa amat mencemburui dalam kehidupan seharian kerana beliau perlu membahagikan masa antara pelajaran dan tanggungjawab kepada kebajikan pelajar dan hampir setiap hari melayan aduan pelajar dari segi pengangkutan. “Masalah dari segi mendapat rungutan pelajar dan juga aduan pelajar, dan apabila terlepas pandang kita akan di viralkan oleh pelajar itu sendiri dan pelajar tidak memahami skop tugasan kami jadi kami dituduh tidak menjalankan tanggungjawab” tambah beliau lagi.

Cabaran berbeza

Ditanya tentang cabaran menguruskan masa sebagai seorang pelajar dan pekerja, beliau menyatakan masa haruslah disusun dengan bijak kerana beliau adalah pelajar tahun akhir. “Saya perlu menyiapkan final year project  jadi ia merupakan cabaran kepada saya kerana kawan-kawan mempunyai masa hujung minggu untuk mencari rujukan, tetapi masa hujung minggu saya dihabiskan dengan bekerja, oleh itu amat susah untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap kajian yang sedang saya lakukan dan sewaktu saya pulang dari kerja, waktu itulah saya gunakan untuk menyiapkan kerja-kerja yang ada” jelasnya lagi.

Walaubagaimanapun, setiap perkara yang dilakukan sememangnya mempunyai manfaatnya sendiri. Menurut Mastura, beliau dapat meringankan bebannya sendiri disamping dapat mengasah kemahiran insaniahnya sebelum melangkah ke dunia pekerjaan yang sebenar. Sikap berdikari, berani membuat keputusan di samping menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul juga merupakan kelebihan yang diperolehinya dan yang paling penting ia mengajarnya mencari wang sendiri.

Galakan kepada pelajar

Tambahan lagi, kerja sambilan yang dilakukan oleh pelajar mampu mempengaruhi kehidupan sebagai seorang pelajar itu sendiri. “Saya mengingati pesanan kedua ibu bapa saya untuk belajar agar dapat mengubah nasib keluarga serta mengenggam segulung ijazah dan menjadi anak yang dapat berbakti kepada kedua ibu bapa” katanya.

Sebelum mengakhiri perbualan, beliau turut menasihati pelajar yang ingin bekerja sambil belajar agar mempunyai hati yang kental kerana kekurangan masa bersama rakan-rakan akan mengubah tanggapan mereka kepada diri kita dan juga haruslah pandai mengawal emosi dengan perubahan diri dan rakan-rakan di sekeliling. “Tidak semua rakan-rakan yang memahami tanggungjawab yang digalas, menjadi seorang yang sibuk boleh menyebabkan kita kehilangan rakan kita sendiri” akhirinya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.