Home Education & Training DUNIA BELUM KIAMAT

DUNIA BELUM KIAMAT

141
0

Dalam usaha untuk membangunkan sesebuah perniagaan kita perlu ada keyakinan dan kita harus ingat bahawa dunia belum kiamat justeru banyak ruang yang boleh kita teroka dan perbaharui jika kita mendapati bahawa selama ini langkah kita salah tetapi kita harus mempersiapkan untuk terus maju.

 

Sebagai pemimpin sebuah organisasi kita harus merasa bahawa kita hidup di dalam kalangan orang-orang yang mempunyai hati-hati yang baik, muka-muka yang mesra dan jiwa-jiwa yang bertimbangrasa. Kita bukannya di antara orang-orang yang mempunyai kuku-kuku yang ganas dan taring-taring yang tajam.

 

Infaq kita adalah untuk kebajikan sekalipun dalam mengendalikan organisasi atau syarikat itu kita akan berhadapan dengan masalah. Malahan terkait sehingga kepada soal rumahtangga hingga kepada teman dan sahabat kita, begitu juga dengan rakan kongsi. Dunia perniagaan tidak lari dari masalah tersebut.

 

Maka apa yang penting ialah taqwa iaitu perasaan peka di dalam hati nurani, perasaan yang halus dalam kesedaran, perasaan takut dan waspada yang berterusan, dan lebih berhati-hati dari terkena duri di tengah jalan kehidupan yang yang semua ini terpaksa diharungi, kerana manusia ditarik oleh berbagai-bagai duri dorongan nafsu keinginan dan kebimbangan, dan ada yang memberi harapan palsu yang diletakkan pada yang tidak mampu dan hanya mengikut secara logik sedangkan mereka alpa tidak melihat disebalik kejadian-kejadian jalan cerita yang sebenarnya apa yang telah berlaku.

 

Kerana pagar-pagar pancaindera mereka tidak peka, dan roh-roh mereka tidak ada kekuatan, tenaga, untuk menganalisa apa yang berlaku. Justeru apa yang harus kita buat untuk membetulkan perkara yang dianggap biasa dan akhirnya menjadi luar biasa sehingga membawa kita rebah?

 

IANYA perlu tenaga dan pemikiran iaitu pekerja harus keluar dari kotak pemikiran yang statik untuk membolehkan mereka meneruskan agenda membangunkan syarikat melalui usaha ketua yang mempunyai nur pimpinan yang jujur dan jelas, selain langkah-langkah persediaan yang kukuh dan rapi.

 

Apa pun yang perlu kita lakukan hari ini ialah membuka buku baru, mempersiapkan langkah untuk berjaya dalam membentuk sebuah syarikat untuk berdaya maju. Kemaskinikan pentadbiran adalah perkara utama supaya tidak ada pekerja yang curi tulang, melenggahkan waktu hadir ke pejabat, arahan atau memo untuk kebaikkan cuba dielak, yang semua ini akan memberi kesan kepada produktiviti syarikat.

 

GURU pengurusan menyebut, pekerja yang lemah dan suka mengusik pentadbiran perlu ditukar atau ditamatkan sekalipun satu tindakan yang dianggap tidak berperikemanusiaan. Mereka sudah “lemak” sedangkan Sang Ketua bertungkus-lumus untuk menjayakan syarikat.

 

‘ Mengubah sikap manusia bukan kerja yang mudah. Tamak, malas, curiga, menipu yang semua ini perlu dihadapi oleh usahawan. Cuma caranya untuk mengendalikan karenah ini perlu teliti dan berhati-hati’

 

Dalam pengurusan mereka ini berpenyakit, sedang mereka beranggapan mereka tidak menipu diri sendiri. Mereka tidak sedar, apabila dinasihatkan mereka lebih beranggapan “kamilah orang yang terbaik melakukan kerja di pejabat”. Sebenarnya merekalah tangan-tangan yang melakukan kerosakan kepada syarikat.

 

Mereka tidak nampak kesalahan mereka, sedangkan tanggungjawab yang sepatutnya ialah mempercepatkan sasaran syarikat untuk lebih berdaya saing dalam pasaran yang lebih mencabar.

 

Mengubah sikap manusia bukanlah kerja yang mudah. Akan ada mereka yang tamak, malas, ego, curiga, menipu yang semua ini perlu dihadapi oleh usahawan. Cuma caranya untuk mengendalikan karenah ini perlu teliti dan berhati-hati. Sebuah syarikat yang berhadapan dengan nazak; ketua harus membulatkan kata dan bertekad membuat perubahan agar pembangunan syarikat tidak terus berkubur.

 

Gemblengkan tenaga yang ada, membuat tambahan mengambil pekerja baru agar produktiviti terus berjalan lancar Mulakan dengan pentadbiran baru, kurangkan bercakap, jangan biarkan pekerja keluar masuk pejabat sesuka hati. Bila banyak masa di luar mereka akan jadi “pencuri”, tidak setia kepada syarikat. Apa yang penting setiap pergerakkan pekerja harus dinilai dan diambil perhatian sebagai langkah agar pekerja tidak mencuri tulang dan melakukan kerja luar.

 

Ianya ibarat virus sekiranya tidak dilakukan pemantauan, pekerja tidak ada “roh” suci untuk membangunkan syarikat. Hatta wang berjuta sekalipun sekiranya tindakan memperbetulkan pentadbiran tidak dilakukan dengan segera akan tempanglah lagi syarikat yang akhirnya semua akan terpalit termasuk tuan punya syarikat.

 

Dalam berhadapan dengan masalah kegawatan, pokok utamanya ialah “roh” atau semangat yang besar untuk berjuang dan bermatian bersama syarikat. Cara terbaik pemilik harus berani mengambil tindakan yang tidak popular kerana “lemak” yang membesar dalam badan pekerja sukar untuk dibuang dan makan minum mereka setiap hari semakin sedap.

 

Daya kreativiti dan innovasi dalam saat ini amat penting. Langkah utama dengan melihat setiap usaha secara positif sekalipun mendapat halangan. Sikap curiga kepada semua pekerja harus dibuang. Taat kepada ketua yang mengendalikan syarikat amat penting dan perlu diutamakan. Kalau memo yang diberikan tidak mahu dipersetujui atas arahan ketua, siapa lagi mereka akan ikut. Ketua adalah nakhoda yang akan menerajui halatuju syarikat. Segala urusan kerja harus digabungkan bersama mencari titik kelemahan syarikat dan perlu diperbaiki agar syarikat terus bergerak.

Begitu juga dalam syarikat, kebaikkan rakan kongsi adalah faktor yang memainkan peranan utama untuk berjaya, sekiranya ada gabungan untuk bekerjasama. Pengalaman sahaja tidak akan membawa kejayaan, hubungan dengan pembuat keputusan sahaja juga tidak menjanjikan kecemerlangan.

 

Apa yang penting perancangan syarikat untuk jangka panjang perlu diperbetulkan dulu. Sesebuah syarikat yang besar dan berduit akan merudum sekiranya hala-tuju kabur, pengarah menghabiskan duit, melarikan projek, mengajar pekerja melakukan kerja-kerja yang “menguruskan” syarikat sedangkan mereka itu adalah tuan punya syarikat. Kerana tamak dan irihati dan ingin cepat kaya mereka menjadi keliru. Apa pun kesabaran, selain sikap suka menipu perlu dibuang. Maka itu kita perlu sekali menunjukkan tauladan dan komitmen yang terbaik untuk membangunkan syarikat. Bukan hanya menjanjikan projek yang entah tidak banyak diberikan perhatian. Akhirnya hilang bagai angin, projek ke mana, sebaliknya liabiliti syarikat terpaksa ditanggung.

 

Dalam usaha dagang Rasulullah SAW banyak berpegang kepada kepercayaan sehingga menyebabkan Siti Khadijah begitu yakin kepada baginda yang akhirnya kagum dengan cara baginda berniaga dan sanggup mengambil baginda sebagai suami.

 

Mengendalikan syarikat yang berduit berbeza dengan syarikat yang kosong yang berhadapan dengan hutang berjuta ringgit. Dengan duit boleh dilakukan apa sahaja tetapi semasa syarikat berduit juga kerja masih tidak berjalan seperti dijangka sebaliknya ketika syarikat tenat semua kerja berjalan begitu lancar. Tetapi masalah besar ialah untuk operasi bulanan dan membayar kepada pembekal serta mengembangkan syarikat satu masalah yang besar. Maka itu cara terbaik ialah “kepercayaan” adalah tunggak utama untuk terus maju. Karenah pembekal an juga rakan kongsi yang kadang-kadang bermain silap mata harus kita tangani dengan cekap demi kebaikan semua.

 

Biar rintangan dalaman dan luar datang, yang penting pekerja harus seiiring dengan pengubah dasar syarikat dan tidak boleh berkecuali. Mereka yang berkecuali adalah mereka yang buta hati dan perasaan, roh mereka sudah mati dengan sikap ego kerana jawatan yang dipegang dikatakan penting sedangkan diluar sana banyak tenaga baru yang menanti untuk berjuang bersama-sama membangunkan sebuah syarikat yang lumpuh.

 

Jadi dunia belum kiamat, masa untuk kita berubah harus diperjuangkan. Nikmatnya akan kita perolehi setelah perjuangan kita begitu payah untuk ke puncak…

 

Disediakan oleh

Kamri Kamaruddin

Perunding Perniagaan

SC Creative Sdn Bhd

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.