Home Inspirasi Niaga Dulu Berniaga Di Pasar Malam dan Di Tepi Jalan, Kini Jus Mangga...

Dulu Berniaga Di Pasar Malam dan Di Tepi Jalan, Kini Jus Mangga AYAQ WORLD Boleh Dirasai Di Seluruh Malaysia!

531
0

Oleh: Mohd Rizzua Haizad / UPM

Siti Aisyah Kamaruddin 27 tahun, seorang wanita muda yang mempunyai iltizam yang tinggi. Pada usia yang masih muda, Siti Aisyah telah membangunkan syarikat dengan usaha dan modal sendiri. Berkelulusan di dalam bidang perakaunan, Siti Aisyah amat mementingkan pengurusan dan pentadbiran yang holistik bagi memastikan pembangunan syarikat sentiasa berada di landasan yang betul. Minat dalam bidang keusahawanan yang tinggi telah menyuntik semangat beliau untuk terus memacu perniagaan bumiputera dan sekaligus komited membuka peluang kepada usahawan kecil lain untuk bersama beliau mengembangkan ekonomi kendiri dan keluarga. Siti Aisyah telah dianugerahkan NONA Best Young Enterpreneur Award pada tahun 2018 atas pencapaian beliau di dalam bidang perniagaan.

Siapa sangka bermula berniaga di pasar malam dengan hanya sekitar 50 botol air mangga dijual sehari, kini mampu membina syarikat pengeluar jus buah-buahan dengan jualan sehingga 100,000 botol sebulan. Ayaq World Sdn Bhd pada asalnya dikenali dengan jenama Ayaq Mangga memulakan operasi dengan menawarkan jus mangga namun kini terdapat sembilan perisa berbeza seperti durian belanda, nanas, kedondong, khatira, teh hijau, mata kucing dan jagung. Nama Ayaq Mangga ditukarkan kepada Ayaq World pada tahun 2017 bagi menepati kepelbagaian jenis minuman yang ditawarkan dan tidak lagi tertumpu kepada air mangga saja. Produk berkenaan boleh didapati pada harga hanya RM10 sebotol untuk semua perisa dan boleh bertahan selama enam bulan pada suhu bilik.

Semangat dan usaha gigihnya dalam menggapai bintang di langit wajar dijadikan contoh. Perniagaan air mangga yang hanya bermula di pasar malam membawa tuah buat empunya nama Siti Aisyah Kamaruddin, 27 atau lebih mesra disapa Aisyah. Manakan tidak, kini wanita kelahiran ibu kota Kuala Lumpur ini mampu membina empayar perniagaan Ayaq World Sdn. Bhd. dengan titik peluhnya sendiri dan amat membanggakan. Beliau mula fokus berniaga jus mangga di pasar malam pada tahun 2011 di Sentul dan HKL. Daripada pemerhatian beliau, kebanyakan jus mangga yang dijual di kedai tidak menepati citarasa. Rasa kecewa tersebut mencetuskan ilham buat Aisyah untuk menghasilkan dan menjual jus mangga yang lebih pekat, segar dan tanpa bahan pengawet.  Ia bersesuaian dengan tagline produk beliau iaitu iaitu ‘Pekat, Likat, Melekat.

Pada tahun 2016, air minuman berasaskan mangga seperti mango shake dan mango float mendapat sambutan yang cukup hangat. Fenomena ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada perniagaan yang beliau usahakan. Dari situ tercetusnya idea untuk menukar strategi dengan membotolkan jus mangga tersebut. Segalanya bermula apabila seorang rakan menghubungi Aisyah untuk memesan jus mangga. Apa yang beliau lakukan ketika itu, beliau membeli air mineral kemudian membuang air di dalam botol, dan digantikan dengan jus mangganya. Kiranya itulah pertama kali beliau ‘membotolkan’ jus mangganya. Sejak detik itu, jus beliau mula dijual di serata tempat, berdekatan bank, di tepi kedai makan dan lain-lain lagi. Perniagaan ini semakin berkembang dan mula diagihkan kepada agen dan stokis, kata beliau.

Keperitan dan segala cabaran yang dilalui Aisyah menjadikan siapa dirinya pada hari ini. Tidak hairanlah empayar perniagaan yang diusahakan wanita berkulit sawo matang ini semakin berkembang tahun demi tahun. Beliau sangat menjaga orang-orang di sekelilingnya terutama pekerja beliau dan itulah rahsia kejayaannya. Beliau sangat menjaga kebajikan mereka termasuk rumah, makan dan sebagainya. Sehingga kini, Aisyah mempunyai staf seramai 12 orang. Selain itu, beliau juga menjaga stokis serta agennya dengan menitikberatkan soal perasaan dan semangat mereka.

Tambahan pula, untuk memulakan bisnes, perasaan takut harus dibuang daripada dalam diri. Bergelar seorang wanita bukanlah penghalang untuk mengecapi sebuah kejayaan.Ramai orang diluar sana takut untuk menjadi usahawan terutama mereka yang bergelar wanita, kerana merasakan diri itu terlalu lemah. Apa yang boleh Aisyah katakan ialah “try and adjust! not try and error!” Kita tidak tahu jika kita tidak mencuba. Seterusnya, untuk memulakan sesuatu bisnes, kita perlu memberikan sepenuhnya fokus, komited itu sangat penting dalam perniagaan.

Alhamdulillah, kejayaan beliau selama ini di dorong oleh keluarga , adik beradik dan suami. Tanpa mereka, tidak mungkin Aisyah berada di tahap sekarang ini. Pekerja beliau  juga merupakan kekuatan Aisyah. Tambahan pula, jika berlaku sesuatu pada perniagaan ini, para pekerja juga akan turut terjejas pendapatan. Jadi yang benar-benar membuatkan beliau kuat bertahan ialah “team” beliau. Ujar beliau dengan penuh semangat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.