Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Si Tukang Kritik – Siri 37 ‘membina atau memangsa…’

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Si Tukang Kritik – Siri 37 ‘membina atau memangsa…’

306
0

| Oleh Champ Hussain

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Kritikan adalah sesuatu yang amat mudah dilakukan. Malang sekali dan selalunya, ia bertujuan hanya untuk menjatuh atau menghentam dan bukannya membina. Rakyat Malaysia terutamanya, amat pakar dalam soal kritik mengkritik ini. Ada sahaja yang tidak kena pada mereka, mesti ada sesuatu yang boleh dijadikan sebab untuk mengkritik. Ada yang sangat gemar mem’bodoh’ atau mem’bangang’kan orang lain apabila pandangan atau buah fikiran tidak seiring dengan Si Tukang Kritik. Samada ianya bersifat untuk memalukan, merendah-rendahkan, menunjukkan kepandaian @ ‘Aku lagi terer’, menghina atau sebaliknya, yakni memberi teguran, bertanya untuk penjelasan, memberi maklumbalas atau apa sahaja komentar, ia semua adalah bentuk kritikan.

Dalam keadaan ekonomi yang dihimpit tekanan pandemik tatkala ini, lebih ramai yang memberikan kritikan (kadangkala yang tidak berasas) tentang apa yang berlaku daripada menyumbangkan idea atau pendapat yang bernas untuk manfaat semua. Setiap apa yang dilakukan oleh orang lain tidak betul belaka sedangkan dia sendiri tidak pernah muhasabah diri sendiri. Apa yang saya katakan ini adalah satu bentuk kritikan juga kan? Mungkin ramai pembaca yang juga berfikiran sedemikian. Mengata dulang paku serpih namun itulah hakikatnya yang harus kita terima.

Sebenarnya apa yang ingin diutarakan kali ini ialah bagaimana insan cemerlang boleh mengunakan kritikan sebagai satu wadah untuk memperbaiki diri atau keadaan yang menjadi bahan kepada kritikan itu.

Sifat mengkritik sebenarnya adalah sesuatu yang baik jika ianya digunakan dengan betul contohnya kita sebagai pengguna yang sering membeli sesuatu barang atau menggunakan perkhidmatan, sekiranya terdapat kecacatan pada barangan tersebut seharusnyalah kita memberitahu penjual, pekedai atau pengilang tempat kita membeli barangan (atau perkhidmatan) tadi dan memberitahu ketidakpuasan hati kita agar ianya dapat diperbaiki, diperbetul atau ditambahbaik untuk manfaat kita pada masa depan atau untuk orang lain. Dengan cara ini, penjual, pekedai atau pengilang tersebut akan sedar tentang masalah yang dihadapi dan dengan itu dapat memperbetul, memperbaiki atau menambahbaik masalah atau kesilapan tadi. Maka dengan kritikan tersebut, pengguna lain juga akan mendapat barangan atau perkhidmatan yang lebih baik.

Sebelum kita mengkritik tentang sesuatu perkara itu, seelok-eloknya kita ambillah langkah-langkah yang betul agar kritikan kita itu berfaedah, bukannya semata-mata hanya untuk melepaskan geram dan berkata hanya untuk berkata tanpa tahu hujung pangkal, bukan berniat untuk menyelesai masalah tetapi sekadar menokok tambah. Bak kata pepatah ‘Seperti melepaskan batok di tangga’. (Nota: bukan batuk ya tapi BATOK.) Untuk penjelasan, sila klik http://swaliman.blogspot.com/2019/12/frj.html

Apabila kita hendak mengkritik, tanya soalan: ‘Apakah punca masalah yang dihadapi itu?’ Adakah ianya berpunca daripada kelalaian manusia contohnya apabila berlaku kemalangan, adakah puncanya kecuaian atau kerosakan salah satu alat keselamatan atau peralatan lain. Adakahnya masalah manusia, peraturan, peralatan atau persekitaran? Analisa segala sudut untuk menentukan punca tersebut agar kita tidak membuat tuduhan melulu pada mana-mana pihak tanpa bukti. Kemudian cadangkan alternatif bagaimana ianya boleh diselesaikan contohnya jika kita membeli barangan yang rosak, pergi balik berjumpa pekedai tersebut untuk memberitahu tentang masalah kita. Jikalau kita tidak mendapat layanan yang sempurna, jangan putus asa, pergilah ke persatuan pengguna untuk memberitahu tentang masalah kita agar ianya tidak memberi kesan negatif pula kepada orang lain. Dalam apa hal sekalipun, lakukanlah secara diplomatik agar ianya tidak menjejaskan nama baik mana-mana pihak. Pastikan niat kita ialah untuk memperbetulkan keadaan dan bukannya untuk menjatuh atau merosakkan imej seseorang atau sesebuah organisasi.

Hari ini netizen terdiri yang terdiri dari pelbagai latar belakang sangat gemar memberi komen di media sosial. Ada yang menjadikan ianya sebagai satu kerjaya, ada yang sebagai hobi, ada yang memang suka cari salah orang, ada yang berniat untuk memperbetulkan salah tanggapan dan atas pelbagai lagi sebab lain. Namun kita harus menjadikan aktiviti kritikan ini sebagai satu budaya yang boleh mendatangkan faedah dan bukannya satu budaya yang negatif seperti memfitnah, meviralkan gossip liar atau mengumpat. Insan cemerlang akan mengelak dari menjadikan medan kritikan sebagai tempat mendapat dosa tetapi menjadikan ianya ladang menimba pahala sesuai dengan ayat berikut:-

“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan purba-sangka (kecurigaan), karena sebagian dari purba-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan JANGANLAH MENGGUNJINGKAN satu sama lain. Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” Surah Al Hujurat (49) ayat (12)

Pada masa sekarang ini, setiap orang harus memainkan peranan untuk membantu negara mencapai kestabilan ekonomi dengan menyumbangkan idea, tenaga atau apa sahaja yang boleh membantu. Bersuara itu lumrah manusia, apa lagi jika ianya untuk mencegah kebathilan dan untuk mengajak kepada kebaikan. Namun kritiklah sewajarnya untuk memberi manfaat dan untuk membina, bukan sekali-kali mengkritik mengikut sedap mulut dan hati hanya semata-mata untuk memangsa yang akhirnya disebab mulut badan binasa.

Insan cemerlang adalah mereka yang tahu bahawa berkata dusta hanya menjadikan orang lain duka nestapa dan akan merosakkan amalannya sedangkan berkata apabila perlu dan bermakna akan mengembira dan menceriakan orang lain serta meningkatkan iman dan taqwa kepada Yang Maha Esa. Ingat sebelum bercakap dan bercakaplah untuk memanfaat, kelak manfaat akan memberi berkat dan pastinya ianya akan membawa rahmat, in shaa Allah…

Sebagai rangkuman: –

  1. Mengkritik merupakan lumrah manusia yang sudah menjadi budaya dan mandarah daging pada Rakyat Malaysia.
  2. Ambillah langkah-langkah yang sewajarnya seperti menilai, menentupastikan punca, mencadangkan penyelesaian dan sebagainya diambil sebelum mengkritik tanpa asas dan sesuka hati sahaja.
  3. Jadikan kritikan bukan sebagai punca dosa kerana memangsa tetapi sebagai ladang pahala untuk membina.

Hentam orang memang sedap

Kena sendiri baru sentap

Pendapat, idea dan pandangan masih kurang

Selesaikan masalah, bukannya ashik kritik semedang

Salam cakna, ceria dan cemerlang…

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين

Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.