Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Derma Hingga Kaya – Siri 38 ‘bagi tak miskin, simpan...

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Derma Hingga Kaya – Siri 38 ‘bagi tak miskin, simpan tak kaya…’

432
0

| Oleh Champ Hussain

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sebagai manusia mungkin kebanyakkan kita tidak dapat lari dari pernah merasa kedekut atau bakhil. Ramai di antara kita yang mungkin tidak tahu bahawa walaupun hampir sama, kedua-dua istilah itu tidak serupa. Kedekut adalah keadaan apabila seseorang itu ada duit tapi duit itu hanya digunakan untuk dirinya sendiri. Misalnya dia akan merasa sangat susah hati apabila makan dan minum dengan keluarga atau kawan-kawan kerana takut terpaksa membayar atau belanja mereka. Bakhil pula adalah keadaan apabila seseorang itu menjadi ‘Hamba Duit’ yakni keadaan di mana duit yang ada tidak mahu dibelanjakan untuk diri sendiri apatah lagi untuk orang lain. Kadangkala kehidupan orang-orang seperti ini kelihatan begitu dhaif sekali seolah-olah mereka sangat miskin sedangkan ianya adalah keadaan di mana mereka sebenarnya menzalimi diri mereka sendiri.

Ramai di antara kita termasuk saya sendiri pernah merasa bahawa setiap sen yang masuk ke kantong atau akaun bank itu adalah milik kita secara mutlak sedangkan ada bahagian untuk orang lain di situ. Di sinilah permainan dan bisikan syaitan yang akan membuatkan kita sukar untuk melepaskan bahagian orang lain apabila ianya sudah berada dalam genggaman kita. Namun dalam setiap hal, Allah SWT telah mengaturkan segala-galanya kerana saat kita takut untuk kehilangan wang yang kita cari dengan titik peluh kita sendiri itu (konon-kononnya, tanpa pernah mengira bahawa kita sebenarnya telah dibantu oleh Allah SWT yang melapangkan rezeki kita itu), datanglah segala macam parasit yang kita tidak sangka yang akan menyedut atau menghirup rezeki kita tadi. Tak kiralah samada motor atau kereta tiba-tiba rosak atau cukai jalan tamat tempoh, paip atau atap rumah bocor, kena saman parking atau apa sahaja ‘musibah’ yang menyebabkan duit tadi mengalir melalui pelbagai saluran yang kita tak dapat tahan. Kadangkala perkataan yang paling sesuai untuk diri sendiri ialah ‘Padan Muka!’

Inilah antara kaedah Allah SWT mendidik kita untuk tidak takut melepaskan harta dunia untuk mencari keredhaanNya semata-mata. Walaupun kita sedia maklum bahawa sudah ramai orang yang menderma, bersedeqah, berinfaq, berwaqaf dan mengeluarkan bermacam-macam lagi sumbangan namun sebenarnya LEBIH RAMAI yang masih tidak mahu mengeluarkan duit mereka kerana kekhuatiran mereka akan menjadi miskin. Sedeqah, sumbangan dan sebarang bentuk derma hanya sinonim dengan bulan Ramadan (yang bakal menjelma tak lama lagi). Apa tidaknya kadangkala untuk mengeluarkan zakat fitrah yang hanya sekadar RM7 (bergantung kepada negeri) pun tunggu sehingga saat akhir seolah-olah sepanjang bulan Ramadan itu tiada masa langsung untuk singgah sebentar di kaunter amil yang banyak terdapat bukan sahaja di masjid-masjid atau surau-surau sahaja tetapi di pusat-pusat membeli belah dan bazar-bazar Ramadan namun seperti tidak kelihatan kerana terlalu sibuk mencari juadah dan pakaian untuk hari Raya.

Insan cemerlang adalah mereka yang tahu bahawa dengan mendermalah yang akan menyebabkan mereka akan menjadi kaya, bukan sebaliknya yakni tunggu sehingga kaya dahulu barulah hendak menderma. Mereka adalah insan yang yakin dengan ayat Allah SWT seperti berikut:-

Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui. Al Baqarah (2) ayat (261)

Ramai di antara kita yang sering mendengar ayat ini dibacakan dan sering diulas oleh para azatizah samada di masjid, surau atau di ceramah-ceramah di media sosial tetapi berapa ramaikah yang benar-benar yakin bahawa janji Allah SWT itu benar? Bayangkan ganjaran pahala sedeqah itu sehingga 700 kali ganda! Sistem kapitalis yang terbaik mana sekalipun tak mungkin akan dapat menandingi sistem yang Allah SWT sendiri jamin. Terdapat banyak ayat-ayat dalam Al Qur’an dan hadis-hadis Baginda Rasullulah SAW yang menjelaskan kebaikan mengeluarkan sedikit dari harta ke jalanNya yang akhirnya akan membawa kepada pembebasan dari kelaparan dan ketakutan, menjamin jiwa yang tenang dan syurga di akhirat nanti. Adakah kita masih merasa ragu?

Yakinlah bahawa bukan yang kita keluarkan dari kocek atau akaun bank itu akan menjadikan kita miskin dan yang masuk itu walau sebanyak mana sekalipun tidak semestinya akan menjadikan kita kaya ANDAI yang kita keluarkan itu semata-mata keranaNya dan yang masuk itu tidak berkah dan tidak mendapat redhaNya. Marilah kita menderma dan menderma sehingga kita kaya. Walau tidak kaya dengan harta dunia, kita tetap akan kaya dari segi budi bahasa, jiwa raga, budi pekerti serta pahala dan ganjaran berterusan yang akan kita raih di akhirat nanti dengan amal yang soleh itu in shaa Allah.

Akhir kata, mendermalah yang bermanfaat, janganlah kita dermakan sesuatu yang tiada manfaat agar manfaat derma tersebut akan memberi faedah dan kebaikan kepada orang lain. Kadangkala, kita juga akan mendapat manfaat dari derma yang kita keluarkan contohnya apabila kita menderma di masjid atau surau, kita boleh menggunakan kemudahan yang disediakan seperti mengambil wudhu’, solat di ruang yang disediakan dengan selesa dan sebagainya. Jadi apabila kita melihat mereka yang berumah besar, berkereta Ford Mustang, Hummer, Evoque, Jaguar dan sebagainya, janganlah kita bersangka buruk terhadap mereka. Mungkin sahaja mereka ini adalah orang-orang yang sangat ikhlas dalam menderma. Maka dengan segala manfaat yang kita dapat dari rezeki yang Allah SWT anugerahkan, marilah kita terus menderma untuk terus menyebarluaskan manfaat kepada orang lain pula. Demikianlah hikmah dan kelebihan dalam menderma. Jom menderma hingga kaya…

Sebagai rangkuman: –

  1. Perasaan kedekut dan bakhil adalah lumrah manusia namun ianya boleh diatasi dengan niat untuk mensucikan diri hanya kerana Allah SWT.
  2. Sebahagian rezeki yang kita dapati mempunyai bahagian orang lain di dalamnya seperti untuk kedua orang tua kita, isteri, anak-anak dan untuk asnaf.
  3. Mendermalah walau sedikit sehingga menjadi tabiat yang menyebabkan kita akan merasa gelisah sekiranya ada hari yang kita tidak menyumbang.

Nak keluar duit memang susah

Pasal nak dapatkannya pun bukan mudah

Jangan takut menderma, walau seringgit bagilah

Rezeki takkan putus, itukan janji Allah

Salam cakna, ceria dan cemerlang…

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين

Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.