Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Masa Dah Habis! – Siri 36 ‘antara masa dan jangkamasa…’

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Masa Dah Habis! – Siri 36 ‘antara masa dan jangkamasa…’

192
0

| Oleh Champ Hussain

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

“Masa dah habis!” Itu adalah kata-kata yang sangat mengerikan ketika zaman menduduki peperiksaan suatu ketika dahulu (dan untuk mereka yang masih menduduki peperiksaan sekarang ini) Apabila kita memperkatakan tentang kecemerlangan, banyak aspek yang perlu kita sentuh dan lihat secara menyeluruh untuk penambahbaikan, kadangkala pengubahsuaian dan seterusnya peningkatan dalam diri kita dan masa merupakan antara elemen penting yang begitu payah untuk diurus.

Setiap apa yang kita kejar dalam hidup dibatasi oleh masa. Setiap mereka yang berjaya adalah mereka yang tahu dan cekap menguruskan masa. Kita juga sering mendengar tentang berbagai-bagai kursus tentang pengurusan masa atau time management. Apa sebenarnya pengurusan masa dan apakah factor-faktor yang terlibat dalam pengurusan masa itu?

Pengurusan Masa ditakrifkan “sebagai pengorganisasian dan penyelarasan untuk memastikan agar masa seseorang individu itu disusunatur dengan licin, berkesan dan produktif untuk menghasilkan pencapaian sesuatu matlamat dalam sesuatu jangka masa yang ditentukan.”

Memang dari sejak kita lahir lagi kita telah dilatih untuk mengikut jadual yang tertentu. Mak kita akan menyusukan kita pada waktu yang tertentu, mandi pada waktu yang tertentu, tidur pada waktu yang tertentu, belajar pada waktu tertentu, bermain dan sebagainya pada masa-masa tertentu. Berbagai-bagai aktiviti yang telah dirancang dengan begitu teratur untuk memastikan agar kita dapat hidup dengan selesa menurut aturan waktu. Semuanya punya masa dan jangkamasa tertentu.

Begitulah seterusnya apabila kita melangkah ke alam persekolahan, kita telah dilatih dengan begitu sempurna untuk memastikan setiap mata pelajaran yang diajar seimbang agar kita dapat menerima pelajaran tersebut dengan berkesan sehingga pendidikan jasmani turut diselitkan untuk memberikan kita tubuh badan yang sihat untuk belajar mengikut jadual yang telah dirancang dan diatur dengan begitu rapi. Penjadualan ini berterusan sehingga kita menuntut di institusi penggajian tinggi seperti di universiti.

Apa yang menghairankan ialah apabila kita mula melangkah ke alam pekerjaan, ramai daripada kita yang tiba-tiba seperti hilang punca. Ramai di antara kita yang mula mengelabah seolah-olah sudah tiada esok lagi. Rungutan yang biasa kedengaran ialah ‘I takda masa lah’, ‘Tak bolehlah, saya sibuk malam ni!’, ‘Kerja kat ofis berlambak, saya balik lambat tau’. Saya faham sangat tentang kerja ofis yang berlambak tu kerana saya pun sentiasa bergelut dengan kerja yang tak sudah-sudah ni.

Persoalannya sekarang ialah ke mana perginya masa kita tu? Semua orang telah diperuntukkan oleh Allah SWT sebanyak 24 jam atau 1440 minit atau 86,400 saat setiap hari, tiada kurang tiada lebih. Ini dah tetap tak boleh tukar-tukar lagi dah. Kalau kita perhatikan, insan cemerlang adalah mereka yang walaupun nampak seperti sibuk namun masih mempunyai banyak masa untuk aktiviti-aktiviti lain. Mungkin ramai yang berpendapat, sebab mereka sudah berjaya maka mereka mampu untuk menggaji orang lain untuk membantu mereka untuk membuat itu dan ini. Ini mungkin benar tetapi pada hakikatnya, mereka sebenarnya bijak dalam membahagi-bahagikan masa mereka sejak sebelum mereka berjaya lagi.

Saya ingin menyarankan di sini beberapa langkah mudah untuk memudahkan kita menguruskan masa kita;

1)         Setiap hari buatlah satu senarai ‘Apa Nak Buat’

2)         Kategorikan mengikut keutamaan dalam 3 bahagian A, B, & C di mana A adalah yang paling penting (yakni macam hidup atau mati), B – penting tetapi mesti dilakukan namun boleh ditangguhkan sebentar dan C – tidak penting tetapi harus dilakukan dan mungkin boleh ditangguhkan lebih lama dari A dan B.

3)         Buat dan selesaikan A dulu dan tandakan pada perkara yang telah dilakukan.

4)         Untuk kerja-kerja yang agak sukar, jangan buang masa berfikir terlalu lama, tinggalkan dahulu (KIV – Keep In View) dan buat kerja yang lebih mudah kemudian baru buat balik apabila keadaan lebih tenang dan mudah untuk berfikir. Kadangkala idea akan datang sewaktu kita sedang mengerjakan perkara lain. Terus catit idea tersebut agar tidak lupa dan segera laksanakan bila berkesempatan.

5)         Tanya soalan ‘Apakah perkara yang paling baik yang patut saya lakukan sekarang ini?’

6)         Buat satu-satu sebagaimana ayat berikut:-

“Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain,” Surah Alam Nasyrah (94) ayat (7)

Pada penghujung hari, kita semak senarai yang telah dilakukan dan siapkan senarai untuk esok dengan memasukkan apa yang tidak dapat dibuat pada hari ini. Mungkin apa yang tidak penting hari ini telah menjadi penting esok. Banyak aplikasi dalam handphone atau komputer yang boleh memudah dan mengingatkan dalam melaksanakan kerja-kerja kita.

In shaa Allah, jika kita lakukan setiap hari sebagai rutin, kita akan mendapati masa kita akan lebih terluang untuk banyak perkara-perkara lain yang lebih berfaedah dalam kehidupan ini yang memerlukan keberadaan kita terutamanya untuk ibadah dan bersama keluarga.

Bukan semua masa kita harus digunakan hanya untuk bekerja, begitulah sebaliknya kalau kita hanya menggunakan masa kita hanya untuk bersuka-suka. Insan cemerlang adalah mereka yang tahu untuk mengimbangi masa untuk Allah SWT, diri, keluarga, kerja masyarakat dan negara. Ingat, jika kita tiada masa untuk-NYA, jangan harap kita ada masa untuk kita. Ianya bukan hanya tentang masa tetapi juga jangkamasa. Sebenarnya kita tidak boleh mengurus atau mengatur masa kerana ia tetap berjalan samada kita atur atau tidak. Yang kita boleh dan mampu urus atau atur adalah diri kita sendiri. Janganlah kita menjadi seperti mereka yang tau-taunya…masa dah ‘habis’!

Sebagai rangkuman: –

  1. Masa itu bukan emas tetapi umur kita kerana emas boleh dinilai tetapi masa tidak ternilai.
  2. Buat senarai kerja setiap hari dan susuli dengan gerak kerja sehingga selesai apa yang mampu diselesaikan pada hari itu.
  3. Imbangi masa untuk setiap perkara dan aturlah diri sendiri, bukan masa itu.

Siang malam tak habis kerja

Dalam mengejar hidup sejahtera

Bukan masa yang diatur sepatutnya

Tapi diri sendiri yang harus ditata dan bersedia

Salam cakna, ceria dan cemerlang…

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.