Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Aktiviti Produktiviti – Siri 28 ‘mengisi masa bererti…’

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Aktiviti Produktiviti – Siri 28 ‘mengisi masa bererti…’

221
0

| Oleh Champ Hussain

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Kadangkala ramai orang yang bertanya sesuatu yang mereka tahu jawapannya. Contohnya mereka selalu bertanya “Bagaimana dia tu berjaya?” Atau “Apakah rahsia kejayaannya?” Atau “Bagaimana untuk mencapai kecemerlangan?” dan berbagai-bagai lagi soalan yang sepatutnya boleh dijawab oleh mereka sendiri. Seperti kata pepatah “Kalau tak dipecahkan ruyung bagaimana nak dapatkan sagunya?” Atau dalam pepatah Inggerisnya “If you don’t scale the mountain, how do you expect to see the view?”.

Jawapan di sini tidak lain adalah dengan mengambil tindakan. Tindakan pula selalunya akan hanya berlaku apabila kita ada aktiviti. Aktiviti ini berasal dari perkataan aktif atau cergas. Aktiviti adalah perlakuan kita melakukan sesuatu perkara. Kita selalu mendengar tentang kempen kerajaan untuk meningkatkan kualiti melalui produktiviti. Ini hanya akan tercapai sekiranya ada aktiviti. Produktiviti pula adalah hasil yang diperolehi daripada tindakan atau aktiviti yang kita lakukan itu.

Jika kita tengok contoh kenapa ramai orang yang tidak menemui kejayaan jauh sekali kecemerlangan ialah kerana mereka kurang melakukan aktiviti. Kadangkala kita tengok ada orang yang pagi-pagi lagi pun sudah nampak keletihan, tak bermaya, datang kerjapun selalu lambat, berjalanpun bahu jatuh, tidak tegak. Dari perawakan orang yang begini, mudah untuk kita menyatakan bahawa dia tidak aktif. Dan orang yang tidak aktif ini tidak semestinya orang yang berbadan gempal kerana ramai orang orang yang badan lansing dan kurus juga kadangkala tidak aktif. Apabila kita tidak aktif secara fizikal, ia akan mempengaruhi mental kita juga sekaligus memberi kesan negatif terhadap apa sahaja yang kita lihat dan kita buat.

Itulah sebabnya kalau lepas makan tengahari terutamanya kita harus melakukan aktiviti aktiviti yang memerlukan kita untuk bergerak dan tidak melakukan kerja-kerja yang memerlukan kita untuk duduk kerana ianya sangat mempengaruhi tenaga kita.

Tentulah untuk mereka yang bekerja di pejabat seperti setiausaha, kerani, akauntan dan mereka yang banyak menulis, menaip atau menggunakan komputer, semestinyalah ini tidak dapat dielakkan. Namun adalah sangat disarankan agar mereka mengubah cara mereka bekerja dan melakukan sesuatu yang lebih bersifat fizikal dengan mengatur masa mereka dengan sewajarnya. Ia adalah kerana makanan yang mereka makan tadi tidak dapat bertukar bentuk kepada tenaga, sebaliknya ia akan menjadi lemak yang akan melekat pada salurnadi kita dan seterusnya menyebabkan kita menjadi letih dan mengantuk.

Di sini kita akan dapati aktiviti yang kita lakukan banyak mempengaruhi cara kita berfikir, melihat sesuatu perkara dan seterusnya bertindak. Salah satu contoh yang sangat memberi kesan buruk adalah apabila kita terlalu fokus dengan sesuatu perkara yang kita tidak tahu hujung pangkalnya dan bersifat untuk menjatuhkan seseorang atau sesuatu perniagaan (contohnya cerita hangat mengenai sebuah perniagaan dari Korea yang sedang berkembangluas) namun dikaitkan dengan sesuatu yang belum ada kepastian hitam putih tentang perkara tersebut. Sebagai umat Islam yang berpegang kepada Al Qur’an dan As Sunnah, kita harus sewajarnya meneliti sedalam-dalamnya mengenai sesuatu perkara tersebut sebelum menjatuhkan sesuatu hukum. Aktiviti negatif sebegini tidak lain hanya akan melemahkan dan membuang masa kita yang berharga. Namun sekiranya kita mempunyai aktiviti-aktiviti positif yang teratur dan tersusun dengan rapi, kita akan dapat mencapai matlamat kita untuk sesuatu hari itu dengan lebih produktif.

Dengan adanya juga berbagai aktiviti yang kita atur dan teratur, ia akan memastikan minda kita juga sentiasa aktif dan sentiasa berfikiran positif. Insan yang cemerlang akan sentiasa berfikir secara positif sekaligus menetapkan matlamat-matlamat dan aktiviti-aktiviti yang berfaedah untuk mencapai kejayaan yang diidam-idamkan. Kita juga harus faham bahawa aktiviti yang berfaedah untuk mencapai kejayaan tidak terhad hanya kepada tugas-tugas di pejabat, banyak aktiviti-aktiviti luaran dan di rumah yang boleh kita lakukan contohnya aktiviti sukan, membaca, menulis, menghias rumah, berkebun, berniaga secara online atau offline (samada secara sepenuh atau separa masa) dan berbagai-bagai lagi usaha lain asalkan ianya meningkatkan produktiviti kita secara peribadi, keluarga ataupun untuk organisasi yang kita wakili.

Berbalik kita kepada soalan, “Bagaimana untuk mencapai kejayaan?”, tepuk dada tanyalah selera. Kita tahu bagaimana orang lain berjaya jadi kenapa kita tidak suruh orang lain pula bertanya bagaimana kita berjaya. Soalannya pastinya pada, ya tentulah aktiviti yang produktif. Jadi carilah apa aktiviti yang boleh membawa kita kepada kejayaan yang kita ingin kecapi selama ini dan jangan harapkan ia akan datang bergolek dengan sendiri.

Sebagai rangkuman: –

  1. Mengambil tindakan dan menyusunatur aktiviti-aktiviti yang akan membuat kita semakin hampir dengan matlamat kita.
  2. Fokuskan masa, tenaga dan usaha ke arah aktiviti-aktivti yang berfaedah dan tinggalkan kerja sia-sia yang tidak bermakna dan akan hanya merugikan diri.
  3. Jangan hanya fikirkan bagaimana orang lain berjaya dan cemerlang tetapi sesekali fikirkan bagaimana orang lain pula sepatutnya bertanya bagaimana kita berjaya dan cemerlang.

Akhir kata: –

Aktiviti ada di sana sini

Setiap pagi setiap hari

Penuhkan masa jangan ada yang terkecuali

Untuk meningkat produktiviti berkualiti

Salam ceria cemerlang…

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين

Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

 

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.