Home Inspirasi Niaga Dato’ Seri Vida: Gigih bangkit setelah berkali-kali jatuh

Dato’ Seri Vida: Gigih bangkit setelah berkali-kali jatuh

1661
0

Dato’ Seri Vida: Gigih bangkit setelah berkali-kali jatuh

Oleh: Sivananteni Chandra Segaran

Usahawan selebriti Datuk Seri Dr Hasmiza Othman lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida  merupakan pengasas Vida Beauty. Beliau mula menceburi bidang keusahawanan ini selepas mengambil keputusan mengorbankan kerjaya beliau sebagai seorang guru. Vida Beauty pengasas syarikat produk kesihatan serta produk kecantikan. Pada 1 Disember 2006, Vida Beauty telah ditubuhkan secara kecil-kecilan dan perniagaannya mula berkembang pesat pada 1 May 2008.

Kejayaan Vida Beauty berkembang sehingga 38 cawangan ditubuhkan di beberapa negeri menjadikan syarikatnya mempunyai imej dan pakaian seragam pekerja yang melambangkan syarikatnya. Oleh itu, secara tidak langsung syarikat beliau telah berkembang luas melalui pembinaan Vida Beauty ini. Beliau seorang usahawan wanita yang sangat proaktif dalam menguruskan perniagaan beliau. Hal ini dapat dilihatkan apabila beliau berusaha dengan gigih mengembangkan produknya ke seluruh Malaysia. Sikap proaktif yang dimiliki oleh beliau telah membawakan kejayaan dengan mengiklankan produk kosmetiknya Qu Puteh yang mendapat sambutan hebat daripada khalayak ramai. Beliau mula menjadi tumpuan orang ramai dalam kalangan masyarakat Melayu dengan tagline ‘Qu Puteh barulah puteh’ sambil menyentuh pipi dengan jari yang digayakan Datuk Vida itu menjadi viral sehingga ada yang menjadikannya sebagai bahan jenaka. Di laman sosial pula, Qu Puteh menjadi viral serta-merta dan hebat diperkatakan netizen. Tidak cukup dengan itu, Qu Puteh turut menjadi bahan troll di Internet. Tetapi beliau tidak berputus asa kerana beliau percaya bahawa beliau mempunyai hak untuk mempromosikan produk berkenaan. Hal ini jelas bahawa beliau seorang yang berani mengambil risiko dan sentiasa berfikiran positif dalam memajukan perniagaannya pada masa hadapan.

“Kita perlu berani mengambil risiko, tidak malu dan usaha keras untuk meraih populariti menjadi ‘senjata’ untuk bertarung dalam menerajui landskap perniagaan kosmetik,” kata Dato Vida.

Bukan ramai yang tahu betapa banyak cabaran dan dugaan kehidupan yang pernah beliau melalui sebelum berjaya melangkah ke peringkat seperti sekarang. Tidak siapa sangka dari hanya seorang insan biasa sebagai seorang guru kini beliau digelar ikon bidang perniagaan kosmetik. Segalanya bermula dari bawah. Pada tahun 2013, Dato Vida kehilangan dua anak kesayangannya dalam satu insiden penuh tragik melibatkan kebakaran di rumahnya.

Kejadian kebakaran bertempat di Meru Hill, Laluan Taman Meru. Pada waktu kejadian, Dato’ Vida dilaporkan tiada di rumah pada waktu kejadian kerana ada urusan di Pulau Pinang. Hal ini membuktikan Dato’ Vida seorang yang kuat dan tabah dalam menjalani kehidupan harian dan tidak pernah menyerah kalah dengan dugaan yang menimpa diri beliau. Pelbagai cabaran dan dugaan hanya mampu dilalui oleh seseorang yang bergelar usahawan seperti Dato Vida yang merupakan wanita kental.

Dato Vida membina empayar dengan menyusun strategi pemasaran serta penjenamaan melangkaui masa depan. Ketika memulakan perniagaan kosmetiknya, beliau berhadapan banyak cabaran termasuk kerugian beratus ribu ringgit sebelum bangkit dengan menukar strategi perniagaan.

Sebagai seorang usahawan, memang penting untuk bangkit semula apabila diuji kerana dalam konteks perniagaan, masalah sering timbul dan usahawan perlulah bijak untuk menyelamatkan perniagaan dengan berfikir di luar kotak secara kreatif dan berinovatif. Kini produk Vida Beauty Cosmetics, DSV Gold and Jewelry, Millenia Qu Puteh, Pamoga Vida Beauty dan Qu Puteh Beauty yang sudah kukuh dalam pasaran tempatan. Perkara ini, hendaklah diterapkan di dalam jiwa dan hati usahawan agar mereka mempunyai sikap yang tidak mudah berputus asa demi menyelamatkan perniagaan mereka dan sentiasa berani mencuba.

Dato Vida harus dicontohi oleh kaum wanita kerana beliau seorang wanita yang penuh sikap positif. Dato Vida tidak takut untuk menjadi diri sendiri dan tidak takut menghadapi sebarang risiko. Misalnya, lagu “I Am Me” yang melambangkan keyakinan diri sendirinya dilancarkan oleh beliau pada tahun 2017 dan lagu itu menjadi viral hampir di semua media sosial. Dato Vida memang diketahui sebagai seorang yang sukakan perhatian maka lagu ini memang menjadikan beliau popular.

Lirik dan melodi lagu itu ringkas untuk menceritakan tentang cara membina keyakinan diri. Beliau sangat bijak menggunakan peluang untuk mempromosikan diri sendiri dengan melancarkan lagu yang senang diingati walaupun beliau dikeji atau dikecam oleh orang. Dato Vida boleh dijadikan sumber inspirasi bagi usahawan yang ingin berjaya pada masa akan datang. Bukan semua bermula dari atas. Bak kata pepatah, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Usahawan ialah seorang yang memiliki sifat berpandangan jauh bagi menjangka apa yang akan berlaku pada masa akan datang dengan merancang, menganalisis dan mempunyai sikap merebut peluang yang ada di depan mata.

Tamsilnya, Dato Vida sanggup mengorbankan kerjayanya sebagai guru dan kini beliau seorang jutawan kosmetik. Beliau juga ke beberapa negara untuk mencari bahan terbaik bagi menghasilkan kosmetiknya. Dato Vida pernah berkata dalam satu temubual “Kalau ada RM10 buat meniaga cara RM10. Kalau ada RM100 buat bisnes yang sesuai dengan modal RM100. Contohnya jika ada RM10, apa perniagaan yang boleh dibuat. Jualah air ke, keropok lekor ke, kalau ada RM100, berniagalah barangan yang sesuai dengan modal RM100”. Dato’ Vida ialah antara salah seorang usahawan yang telah membuktikan kejayaan usahawan bukanlah hadir secara semula jadi, tapi perlu dengan usaha dari mulanya sesuatu perniagaan sehinggalah berjaya. Bukan setiap usahawan akan bermula dengan kesenangan dan modal yang besar, tetapi kebanyakan bermula secara kecil-kecilan dan membesarkan perniagaan dari semasa ke semasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.